Blog Archive

Thursday, July 9, 2009

Pilihan Raya Presiden Indonesia dan PRK Manek Urai

Pilihan Raya Presiden Indonesia (PPI) telah berlangsung semalam dalam suasana aman. Tahniah kepada pihak pemerintah Indonesia yang berjaya menyelenggarakan PPI itu dengan aman dan baik sekali. Pada perkiraan tak rasmi Presiden Susilo telahpun mendahului calon lain. Beliau telah memperolehi 51 peratus undi dan sekiranya peratusannya bertambah besar kemungkinan pusingan kedua PPI tidak akan dilaksanakan dan beliau akan diisytharkan pemenangnya,

Persoalannya di sini bukan siapa-siapa pemenangnya, tetapi hubungan akkrab dengan tetangga Malaysia. Dalam kempen PPI baru-baru ini beberapa isu panas berkaitan Malaysia telah diungkitkan bagi memancing undi. Isu itu termasuklah soal Ambalat, penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan sebagainya. Diharapkan setelah selesai PPI tersebut pemimpin Indonesia perlulah mengeratkan semula hubungan yang sedia terjalin.Hal ini sudah terbayang bila mana pihak Indonesia dikatakan akan menarik balik pemberhentian penghantaran pembantu rumahnya serta perbincangan menyelesaikan isu Ambalat.

Cuma satu perkara yang agak "menggelikan" juga bila Pak Susilo Bambang Yudhoyono ada menyatakan pada hari terakhir kempen bahawa lawannya banyak menggunakan ilmu hitam dan beliau dan orang-orangnya telah membaca Al-Quran dan Solat Hajat dirumah bagi mengatasi penggunaan ilmu hitam ini. Nah, ternyata dalam PPI di sana soal ilmu hitam juga berbangkit, walaupun pada waktu lain kita lihat ada ketelusan bila ketiga-tiga calon Presiden telah mengadakan Debat terbuka sebagaimana lazim di USA.

Say teringat di Malaysia juga dulu ada wakil Rakyat yang tertipu dengan ilmu hitam bomoh sehingga beliau sendiri dibunuh oleh bomoh tersebut gara-gara ingin menang dalam pertandingan jawatan dalam partinya.

Berbalik pada PRK Manek Urai, hari ini masuk hari ke 3 kempen PRK tersebut dan masing-masing pihak bekerja keras bagi mencapai kemenangan. Di atas kertas nampak calon PAS sedikit mendahului dari segi sokongan dan para penyelidik bebas memberikan 55-45 kepada calon PAS sehingga hari ke 3 kempen ini.Masa masih panjang dan banyak gerak kerja yang perlu dilaksanakan.Tidak mustahil keadaan akan berubah pada saat saat akhir dan faktor pengundi yang berada di luar yang akan kembali mengundi juga mustahak. Saya akan cuba memberikan berita terkini untuk posting yang akan datang.

No comments:

Post a Comment