
Sejak dari kempen PRK Manek Urai isu royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan masih lagi tiada hitam putihnya. Masing-masing pihak mempunyai pandangan sendiri dan tiada sebarang keputusan. Pihak PETRONAS yang diminta kerajaan pusat untuk memberikan penjelasan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti juga masih belum kata apa-apa. Pihak yang menuntut iaitu kerajaan Kelantan mendakwa mempunyai bukti yang kukuh mengapa Kelantan berhak mendapat royalti sebanyak 5%.
Pihak kerajaan pusat pula masih mengatakan ianya diluar perairan Kelantan, tetapi bukan berdasar hujah yang kukuh. Menteri Penerangan DS Rais Yatim semasa PRK Manek Urai baru-baru ini secara berlapek menyatakan pemberian royalti itu adalah ehsan kerajaan pusat. Sedangkan pemimpin UMNO lain kebanyakannya menyatakan Kelantan tidak layak berdasar hujah yang mereka sendiri pun tak berapa tahu.
Rasanya jika benar Kelantan tak layak, sudah awal-awal lagi PETRONAS buka mulut, apatah lagi bila diminta oleh TPM memperjelaskannya semasa kempen PRK Mu baru-baru ini. Jadi mengapa PETRONAS masih lagi membisu, ini menimbulkan sedikit kemunasabahan kepada pihak yang menuntut. Ditambah lagi dengan kenyataan KU Li seorang tokoh UMNO sendiri yang pernah menerajui PETRONAS yang seakan menyokong pada tuntutan itu demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan keseluruhannya. Tahniah kepada Ku Li atas sikap terus terang beliau, kerana seperti diketahui umum perjanjian dengan PETRONAS dikatakan dibuat semasa pemerintahan Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang mengetuai parti BERJASA ketika itu. (Masa itu BERJASA dan UMNO berkongsi kuasa mentadbir Kelantan)
Banyak blog terutama dari Kelantan yang membuat perincian tentang isu tuntutan royalti ini, yang paling terperinci dan analitikal tuan-tuan boleh melihat dalam blog sdr.kickdefeela. Tahniah buat saudara yang telah membuat kajian dan penyelidikan yang begitu mendalam. Harap teruskan usaha-usaha perjuangan murni saudara.
Esok 1 Ogos PM DS Najib melawat Kelantan. Beliau dikatakan akan merasmikan persidangan 4 bahagian UMNO serentak di salah sebuah sekolah di Wakaf Mek Zainab sebelum bersama-sama dalam program Pemimpin Bersama Rakyat pada sebelah petangnya di tempat sama. Apakah esok PM akan membuka mulut mengenai isu tuntutan royalti minyak ini. Sama-sama kita tunggu.
No comments:
Post a Comment