Blog Archive

Sunday, July 12, 2009

Bila Janji-Janji Ditaburi

Suasana hari-hari terakhir kempen PRK Manek Urai bertambah rancak. Pemimpin pusat dan negeri silih berganti datang mengunjungi dan rakyat Manek Urai semakin banyak ditaburi janji. Apakah janji-janji itu akan dilaksanakan pada suatu hari nanti ataupun ianya akan tinggal dalam lipatan kenangan para pengundi. Hanya masa yang akan mengadili, dan tentunya di Padang Mahsyar, Allah Yang Masa Esa akan menghitung dan menentukan nasib untung dan rugi, anak-anak adam selama di dunia ini!

Alhamdulillah, sepanjang kempen PRK ianya berjalan dengan anamn tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Amat jauh bezanya dengan suasana tahun-tahun 60an dan 70an dahulu. Ini menunjukkan bahawa rakyat semakin matang dan bertambah celik politik. Tidak mustahil suatu hari ini kita akan dapat menyaksikan debat umum antara calon-calon yang bertanding sebagaimana yang biasa kita lihat di negara-negara yang lebih maju, bahkan di Indonesia dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia baru-baru ini.

Berbalik kepada soal janji ini. Adalah lebih baik sekiranya janji itu dilaksanakan segera dalam masa kempen atau selepasnya dan janganlah diletakkan syarat-syarat tertentu pula. Ini kerana pengalaman sebelum ini yang pernah dilalui seperti mana pengundi di Pengkalan Pasir, Pasir Mas dahulu masih segar dalam ingatan. Banyak janji diberikan tetapi selepas selesai PRK itu semuanya hilang entah ke mana dan rakyat di sana tetap dengan masalah air banjir bertakung ketika hujan lebat dan masalah jejantas keretapi.(kini kerajaan negeri melalui JKR sedang melaksanakan projek lintasan keretapi ini)Tidak hairanlah pengundi yang mengundi BN dalam PRK Pengkalan Pasir lalu telah mengundi PAS pula dalam PRU yang lalu.

Untuk itu baik BN atau PAS, belajarlah dari janji-janji terdahulu dan janganlah menggula-gulakan rakyat dengan seribu janji tetapi amat berat untuk ditepati. Janji yang ditaburi dan tidak ditepati kelak akan memakan diri sendiri, lambat laun akan dihukum oleh rakyat menerusi peti undi.

No comments:

Post a Comment