Blog Archive

Monday, July 13, 2009

Firasat keputusan MU

Hari ini hari terakhir kempen PRK MU. Kelmarin BN janjikan pembinaan jambatan RM 7 juta telah diberikan kepada penduduk Manek Urai Lama bagi menggantikan jambatan sempit satu lorong di kampung itu. Ramai yang menyifatkan ianya sebagai satu rasuah politik yang tidak sepatutnya dijanjikan sama ada oleh pihak kerajaan pusat atau negeri. Ia adalah satu tanggungjawab pemerintah terhadap rakyatnya sama ada pemerintah itu yang menguasai pusat ataupun negeri.

Hari ini dalam nada yang lebih lunak dilontarkan oleh PM di majlis perasmian Kompleks Pejabat Persekutuan Anak Bukit, bahawa penduduk Manek Urai seharusnya memberi kepercayaan kepada BN bukannya mengekalkan status quo, yakni mengekalkan PAS mewakili DUN tersebut. Walaupun beliau tidak datang langsung ke MU pada PRK ini yang tidak diketahui sebabnya; dari jauh beliau seolah masih berharap penduduk Manek Urai sudi sekali lagi (selepas tahun 2004) menerima BN.

PAS pula menerusi MB Kelantan Tok Guru Nik Aziz telah mengisytiharkan esok sebagai cuti peristiwa bagi semua pejabat negeri dan persekutuan di Kelantan. Ini bagi membolehkan penduduk asal MU yang bertebaran di daerah lain kembali mengundi. Usaha memberikan cuti ini nampaknya seakan lebih telus kerana PAS terkilan dengan pihak SPR yang memilih hari bekerja sebagai hari mengundi. Sebab saya berkata demikian kerana PAS tidakpun mengetahui orang yang akan balik mengundi itu menyokong PAS, orang BN pun dapat menggunakan kemudahan cuti yang diberikan ini.

Dari risik-risik pada saat akhir, firasat saya berat mengatakan PAS akan memenangi PRK ini jika separuh pengundi atas pagar menyokong PAS, tetapi majoritinya mungkin sekitar 1000 undi atau lebih sedikit sahaja. Bagaimanapun jika pengundi atas pagar memihak kepada BN lebih dari separuh, BN berkemungkinan besar akan memenangi PRK ini tetapi dengan majoriti yang tipis sekitar 200-300 undi sahaja. Kawan-kawan saya yang membuat liputan di sana, ramai mengatakan PAS akan menang tak kiralah berapa majoritipun kerana ini PRK kecil dan agak susah mendapat majoriti besar. Apapun semuanya terletak di tangan para pengundi MU. Selamat mengundi kepada penduduk MU...soal pilihan, tepuk dada tanya iman!

No comments:

Post a Comment