Sunday, June 28, 2009

Isu PPSMI...bila kesudahannya

Semasa Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan PPSMI semasa era pentadbirannya bertujuan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Bagaimana pun sehingga ke hari ini pencapaian itu amat sedikit sekali berbanding dengan kekalutan dan keciciran para pelajar luar bandar yang dipaksakan PPSMI ke atas mereka. Banyak kajian dan penyelidikan yang dibuat oleh para penyelidik dan pakar-pakar dari beberapa universiti tempatan mendapati impaknya amat kecil sekali yakni pencapaian kemajuan bahasa Inggeris itu sendiri amat kecil di kalangan pera pelajar, sedangkan lebih ramai golongan pelajar khususnya dari luar bandar semakin tercicir.

Tetapi sehingga ke hari ini juga pihak pemerintah masih dalam kajian sama ada akan menghapuskan PPSMI atau melakukan perubahan ke atasnya. Terlalu susahkan untuk membuat keputusan tersebut! Ramai para cendekiawan rata-rata tidak bersetuju dengan PPSMI, malah ahli-ahli politik juga termasuk dari UMNO tidak bersetuju dengannya. Cuma mereka barangkali sedikit segan untuk mengucapkan secara terbuka.

Saya masih ingat lagi seorang tokoh politik di Kelantan iaitu seorang Wakil Rakyat UMNO semasa merasmikan satu Mesyuarat Agung PIBG telah menyatakan rasa tidak setujunya dengan PPSMI di hadapan para ibubapa. Katanya juga beliau telah diarahkan oleh seseorang supaya berucap menyokong PPSMI, tetapi mengambil tindakan sebaliknya kerana hati nuraninya merasakan PPSMI ini telah merugikan anak bangsanya sendiri.

Kita bukannya menentang Bahasa Inggeris malah mengakui bahasa itu penting untuk dikuasai bagi tujuan ilmu pengetahuan tetapi menggunakan bahasa itu untuk pengajaran Matematik dan Sains bukanlah cara terbaik bagi menguasai bahasa tersebut. Banyak cara lain bagi menguasai bahasa itu termasuklah memperuntukkan masa yang lebih bagi pembelajarannya. Saya teringat kata-kata seorang Ustaz yang pernah mengajar bahasa Arab semasa di Universiti dahulu. Katanya bagi menguasai, memahami dan memahirkan bahasa Arab seseorang itu perlu mempelajari sastera Arab itu sendiri. Bagi Bahasa Inggeris mengapa tidak diajarkan sastera Inggeris sebagai salah satu subjek bagi memahirkan bahasa Inggeris, bukannya mengajar untuk Matematik dan Sains. Seperti kata Prof. Diraja Ungku Aziz matematik adalah bahasa angka, simbolik dan semua simbol-simbol. Mustahil seseorang itu akan mahir dalam bahasa Inggeris sekadar menggunakan bahasa itu bagi menyebut simbol dan angka sahaja.

Adalah diharapkan menjelang Julai nanti seperti yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan untuk mengumumkan kepuutusan isu ini; pihak kerajaan hendaklah mengambil kira semua pandangan pakar dan penyelidikan yang telah dilakukan sama ada oleh UKM atau UPSI yang telah mendapati PPSMI tidak membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris. Malah ianya akan menjerumuskan para pelajar khususnya pelajar Melayu luar bandar ke arah keciciran yang teruk sekiranya pelaksanaannya diteruskan.

PRK Manek Urai...Calon-Calonnya




Perkembangan PRK Manek Urai semakin menggamit ramai orang untuk mengikutinya. Maklumlah PRK jarang-jarang terjadi di Kelantan dan pertembungannya pula antara dua buah parti politik utama orang Melayu UMNO dan PAS. Setakat ini belum dapat dipastikan ada calon lain yang akan tumpang semangkok atau buat kacau daun saja. Biasanya kalau ada tentu dah "geger" mengatakannya. Mungkin calon Bebas takut hilang wang pertaruhan jika turut ambil bahagian. Parti AKIM pun tak kedengaran untuk turut serta walaupun baru-baru ini ada kedengaran akan menurunkan calonnya.


Ada kawan yang telefon dan SMS saya bertanyakan sama ada calon UMNO yang berkebetulan ada pangkal nama Tuan itu ada kena mengena dengan saya. Saya katakan setakat saya tahu tidak ada kena mengena atau kemungkinan waris. Sebabnya yang ada nama pangkal Tuan ( kalau di Indonesia dikatakan marga seperti Lubis, Nasution dll nama keluarga) itu memangnya asal Kelantan, tetapi ada jurai keturunannya. Saya pun tak tahu Tuan Aziz ini jurai keturunan sebelah mana, sama ada Kubang Labu, Long Ghaffar atau Jembal. Saya adalah berketurunan dari Raja-Raja Jembal yang pernah memerintah Kelantan pada abad 16 dahulu. Pusat pemerintahannya di Kota Jembal (kawasan Kedai Lalat sekarang) dan tinggalan pusara Raja-Raja Jembal masih dijaga dengan baik oleh pihak Pertubuhan Kerabat Diraja Jembal (PKRJ)Kelantan. YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nin Nik Mat Bin Raja Banjar juga adalah keturunan dari titih Raja Jembal.


Calon PAS seperti yang diperkenalkan oleh Mursyidul Am PAS jumaat lalu ialah Mohd. Fauzi Abdullah, Bendahari PAS Kuala Krai yang juga seorang Peniaga Ikan. Beliau telah sekian lama berjuang bersama-sama kepimpinan PAS Kawasan Kuala Krai dan dikatakan amat rapat dengan masyarakat setempat. Ciri-Ciri beliau yang senang didampingi dan mudah kira-bicara ini menjadi salah satu ukuran penting pemilihannya. Kalaupun tidak dapat menyamai ciri-ciri "Mudah Bbaso, Sene Kkira" dan ramah pergaulan Gemuloh Pak Su Weil, bekas Wakil Rakyat PAS dahulu Mohd. Fauzi diharapkan dapat sedikit sebanyak mewarisi feel perangai Gemuloh itu yang disayangi ramai dan dihormati kawan dan lawan.


Manakala Tuan Aziz Tuan Mat adalah seorang Pengurus KESEDAR yang beribu pejabat di bandar Gua Musang. Bagi masyarakat peneroka mungkin mengenali beliau dengan lebih dekat kerana berurusan secara langsung. Namun tidak dapat dipastikan beliau berasal dari kawasan mana sementara Mohd. Fauzi berasal dari Bukit Marak tetapi telah lama menetap di kawasan Kuala Krai.


Pada mulanya bila mendengar nama Tuan Aziz saya terlintas kepada kawan baik saya dari Kuala Besar, sejak Tingkatan Enam di SMIP dulu yang juga Pegawai KESEDAR. Nama dan bin pun serupa; lantas saya teringat Tuan Aziz Bin Tuan Mat kawan baik saya itu telahpun berhenti dari KESEDAR dan kini bertugas sebagai Guru di SMK Sungai Pinang.


Apa pun kita harapkan mereka bertandinglah dalam semangat demokrasi yang sebenar dan dengan tujuan bagi membela masyarakat setempat sesudah bergelar Wakil Rakyat.


Saturday, June 27, 2009

Perginya...Michael Jackson


Kita masih lagi ternanti-nanti bagaimana kesudahan pengkebumian arwah Michael Jackson atau nama Islamnya Mikhaeel selepas arwah meninggalkan alam yang fana ini. Marilah kita bersangka baik terhadap arwah dan sepertimana menurut abangnya Jermaine Jackson yang telah lama memeluk Islam dan kini tinggal di Dubai berkata, "semoga Allah sentiasa bersama Anda". Mikhaeel dilaporkan telah memeluk agama Islam pada November tahun lepas dan abangnya juga dikatakan telah memain peranan utama pengislamannya. Dalam laporan yang tidak dapat dipastikan kesahihahnya menyatakan bahawa seorang jutawan Arab di Dubai yang juga kenalan abangnya telah membantu arwah mengatasi sedikit sebanyak masalah kewangannya.




Lewat petang semalam agensi berita ada menyatakan keluarga Jackson ada bertemu dan berbincang dengan imam Johari Abdul Malek dan ada yang menyatakan imam masjid tempat yang selalu Jermaine solat juga ada membuat perbincangan. Ini memberikan kemungkinan jasad Mikhaeel akan disempurnakan secara Islam. Malah ada juga maklumat menyatakan ianya akan dilaksanakan disemadikan secara Kristian. Oleh itu persoalan ini telah mengundang penantian para peminat Mikhaeel bagi mengetahui selanjutnya memandangkan pengislamannya sendiri tidak dibuat pengisytiharan beliau sendiri semasa hayatnya.




Tetapi yang pastinya berita kematian Jackson seakan telah menggerhanakan berita tentang Iran yang mengambil tempat slot berita sebelum ini. Lebih-lebih lagi masalah demonstrasi di Iran cuba dimanipulasi oleh agensi berita Amerika bagi memberikan gambaran buruk terhadap Republik Islam Iran.




Sama-samalah kita tunggu kesudahannya episod pemergian selama-lamanya Raja Pop Dunia itu. Dan yang pasti ramai pemuja dan peminatnya diserata dunia merasai kehilangannya.

Awas kalau melawat ke Bangkok, Thailand


Pada tahun lepas bagi mereka yang "terkandas' di Bangkok Thailand gara-gara tunjuk perasaan anti kerajaan yang memasuki sehingga ke Lapangan Terbang Swarnabhumi menyebabkan para pelawat tergendala. Hatta, Sidang Kemuncak ASEAN yang sepatutnya berlangsung di Pataya juga terpaksa dibatalkan gara-gara tunjuk perasaan. Ada antara pelawat terpaksa menaiki keretapi pulang ke sempadan Malaysia bagi meneruskan perjalanan.


Kali ini gelombang penunjuk perasaan berbaju merah kembali mewarnai Bangkok. Seperti yang dilaporkan kebanyakan akhbar perdana kelmarin kira-kira 12,000 orang penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Sinawatra yang digulingkan telah berkumpul disuatu lapangan dan di Kota Bangkok. Mereka menganggarkan sekitar 50,000 orang lagi akan menyertai tunjuk perasaan bagi mendesak Perdana Menteri Abhisit Vejjajeva supaya membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.


Persoalannya di sini bukannya masalah politik Thailand yang kita ambil perhatian tetapi masalah para pelancong khususnya dari Malaysia yang akan terkandas kelak jika tunjuk perasaan bertukar ganas dan tidak dapat dikawal. Walaupun pihak kerajaan telah mengerahkan 3000 anggota polis dan 1000 askar bagi mengawal keadaan tetapi jika penunjuk perasaan bertambah ramai akan menyukarkan keadaan. Pada masa ini jurucakap penunjuk perasaan menyatakan mereka akan mengadakan tunjuk perasaan secara aman, akan tetapi segala kemungkinan boleh berlaku jika gelombang para demonstran berlipat ganda jumlahnya. Gelombang para demonstran yang berbaju merah ini mula berkumpul dan memprotes terhadap apa yang disifatkan kegagalan kerajaan Thailand mengatasi masalah kebajikan rakyat. Para penyokong Thaksin ini yang rata-rata terdiri dari rakyat bawahan yang telah mendapat manfaat ketika di bawah pemerintahan Thaksin semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.


Para pelancong Malaysia seharusnya perlu berhat-hati dan sentiasa mengikuti berita keadaan semasa di Bangkok atau jika perlu hindari dari melawat Kota Bangkok, sebaliknya berjunjunglah ke kota-kota lain seperti Chiengmai di Utatara atau ke ke tempat bersejarah di Kanchanaburi. Waspadalah jangan terperangkap dalam suasana kekalutan gara-gara tunjuk perasaan yang dibimbangi akan mencetuskan kekacauan.

Friday, June 26, 2009

Pilihan Raya Presiden Indonesia 8 Julai 2009...Isu Kecil Jadi Besar


Pilihan Raya Presiden Indonesia akan berlangsung pada 8 Julai iaitu kira-kira 13 hari lagi. Kempennya juga semakin panas. Tiga regu yang telah menawarkan diri iaitu Susilo Bambang Yudhoyono-Boediono, Megawati Sukarnoputri-Prabowo Subianto dan regu Jusuf Kalla-Wiranto akan berentap bagi menjadi Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi tempoh 2009-2014. Dalam demam pilihan raya tersebut pelbagai perkara kecil akan menjadi isu besar.

Pada ketika ini media Indonesia masih lagi hangat memperkatakan isu-isu yang menyentuh kepentingan Indonesia berkaitan Malaysia. Apa juga isu berkenaan Malaysia akan cuba dieksploitasikan bagi memberikan gambaran seolah-olah mereka adalah jaguh bagi mempertahankan kepentingan Indonesia. Untuk itu tidak hairan jika isu penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia, isu Manohara; apa lagi yang menyentuh wilayah kedaulatan Indonesia yang masih dalam pertikaian seperti isu Ambalat. Di antara tokoh calon Presiden tersebut Jusuf Kalla agak terkedepan dalam mengekspliotasi isu berkaitan Malaysia. Beliau dilaporkan pernah berkata (seperti dilaporkan dalam koran Harian Jogja) bahawa "Indonesia sedia berperang" bagi mempertahankan Ambalat.

Kata-kata sebegini agak kurang menyenangkan bagi pembaca di Malaysia, seolah-olah "big brother" sana suka membuli sebagaimana yang pernah dilemparkan oleh pemimpin Singapura kepada Indonesia sebelum ini. Bagi kita di Malaysia, pemimpin kita tidak pernah menggunakan isu berkenaan Indonesia dalam kempen-kempen pilihan raya Malaysia. Mungkin juga kebetulan isu-isu tempatan sudah mencukupi untuk diperdebatkan.

Apa yang perlu bagi kita ialah tidak usah melayan sangat kerenah tersebut apa lagi kata-kata itu timbul ketika kempen pilihan raya. Dipercayai juga kes pemberhentian pengiriman pembantu rumah Indonesia ke Malaysia juga mungkin ada kaitannya dengan demam pilihan raya ini dan kebetulan ada berlakunya peristiwa penderaan tersebut. Ini pastinya memberi "mileage" kepada pemerintah sekarang yang dilihat mengambil berat masalah rakyat Indonesia di seberang laut.

Kita percaya selepas pilihan raya presiden kelak, masalah bersama ini akan dapat dibincang semula dengan pemimpin yang baru dipilih oleh rakyat Indonesia, dan diharapkan semangat bangsa serumpun akan mempertautkan kembali hubungan yang akrab sebelum ini.

Thursday, June 25, 2009

Pemberhentian penghantaran pembantu rumah Indonesia berkuatkuasa serta merta

Pada 14 Jun baru-baru ini saya ada membuat posting tentang kemungkinan besar kerajaan Indonesia akan memberhentikan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia dalam masa terdekat. Pada masa itu saya baru sehari pulang dari lawatan ke Jogja dan media masa di sana sememangnya setiap hari higlightkan peristiwa penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia yang menyanyat hati.

Pada hari ini 25 Jun kerjaan Indonesia secara rasmi mengeluarkan kenyataan pemberhentian itu mula berkuatkuasa 26 Jun 2009. Mengikut Menteri Tenaga Indonesia, Suparno pemberhentian itu akan dilaksanakan sehingga pihak berkuasa di Malaysia melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang terjamin bagi pembantu-pembantu rumah dari Indonesia. Menurut Suparno lagi delegasi Indonesia dan Malaysia dijadualkan akan mengadakan perbinacngan pada 15 Julai bagi membincangkan perkara-perkara yang dihadapi pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia. Dalam pertemuan tersebut pihak Indonesia katanya akan mencadangkan untuk dikaji semula beberapa klausa di dalam MoU kerjasama tenaga kerja yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada awal tahun lepas. Di antara kaluasa tersebut ialah hak-hak dan perlindungan bagi para pekerja Indonesia dan juga berkenaan gaji atau upah.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 300,000 pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan setiap bulan kira-kira 3000 orang pembantu rumah akan dihantar bagi memenuhi keperluan di Malaysia. Dengan pemberhentian ini Malaysia nampaknya terpaksa mencari pembantu rumah dari negara-negara lain sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Pelaksanaan pemberhentian pengiriman pembantu rumah ini juga dibuat dalam masa pihak berkuasa di Malaysia sedang berura-ura untuk melaksanakan pemberian satu hari cuti seminggu bagi pembantu rumah.

Seperti yang saya katakan terdahulu, pemberhentian ini bukanlah satu masalah besar bagi Malaysia tetapi ianya akan memberikan gambaran suasana hubungan yang tidak berapa baik bagi kedua-dua negara, apatah lagi soal tuntutan Ambalat masih lagi menjadi pertikaian yang belum dapat diselesaikan.

Hal gerombolan komunis tanahair mahu pulang

Pada waktu kebelakangan ini banyak diperkatakan tentang golongan komunis yang telah meletak senjata dan telah menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan ingin pulang ke tanah air. Mereka yang berada di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand begitu berhasrat untuk menghabis sisa-sisa hidup mereka di tanah tumpah darah mereka sendiri. Dan tokoh yang paling diperkatakan ialah Chin Peng bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya yang terkenal itu.

Bagi mereka yang bersimpati dengan Chin Peng, apalah ada pada lelaki yang telah meletak senjata itu dan telahpun berusia lebih 80 tahun itu. Apa lagi yang dapat dilakukannya pada usia begitu lanjut dan tenaganya juga terlalu lemah untuk kembali berjuang dalam politik tanah air yang sah. Takkan ke mana pun jika beliau memasuki mana-mana parti politik yang sah dalam negara.( itu pun jika kerajaan membenarkan beliau boleh menyertai parti politik)

Bagi golongan yang menentang kembalinya Chin Peng ke tanah air, tentunya mempunyai pelbagai alasan tersendiri mengapa belia harus dihalang dari kembali ke tanahair. Malah menurut Prof Khoo Kay Kim, Chin Peng adalah warga British lantaran kelahirannya di kawasan yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Golongan bekas tentera dan pasukan polis tentu sekali tidak bersetuju dengan kepulangan Chin Peng. Mereka yang terpaksa melawan kekejaman komunis pada waktu Darurat tentu sekali tidak dapat melupakan peristiwa pahit dan keganasan yang ditimbulkan golongan komunis ini. Perjuangan dari tahun 1948 hingga tahun 1960 itu memakan masa yang lama dan panjang dan tidak hairanlah kebanyakan masyarakat terutama sekali yang telah mengalami suasana pahit getir termasuk kehilangan orang tersayang atau mengalami kecacatan anggota akibat kekejaman komunis tidak sekali-kali akan melupakannya. Malah ura-ura Chin Peng ingin kembali ke tanah air ditentang habis-habisan.

Sejarah juga mencatatkan kebinasaan yang dialami negara ekoran angkara komunis ini. Hakikat ini tidak dapat dinafikan sama sekali. Telitilah rekod-rekod kekejaman pasukan pasukan komunis seperti Bintang Tiga misalnya yang telah menghuru-harakan negara selepas Jepun menyerah kalah tahun 1945. Mereka telah berkuasa dan bermaharajalela selama 14 hari di Tanah Melayu!

Mungkin ada yang mengandaikan bahawa mereka menentang orang Inggeris iaitu penjajah Tanah Melayu dan kebetulan orang-orang yang bekerja dengan Inggeris termasuk orang Melayu akan dianggap tali barut penjajah juga. Tetapi bagaimana pula dengan suasana apabila negara telah mencapai kemerdekaan tahun 1957. Inggeris telah kembali ke England dan negara telah diperintah oleh anak negeri sendiri di bawah kerajaan Parti Perikatan. Tetapi komunis masih meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan yang dipilih rakyat secara sah. Di sinilah saya kira rata-rata mereka yang berpandangan sederhana pun tidak dapat menerima perjuangan komunis itu. Apa lagi kalau dilihat dari sudut agama Islam, sememangnya ia harus ditentang sejak awal kemunculannya lagi.

Cuma persoalan berbangkit di sini ialah bagaimana bekas komunis seperti Shamsiah fakeh, Musa Ahmad dan beberapa yang lain itu telah dapat kembali ke tanah air bagi menghabiskan sisa-sisa hidup mereka. Apakah mereka telahpun "bertaubat nasuha" dan telah meninggalkan ideologi yang bertentangan dengan Islam itu dan kerajaan telah menerimanya. Berbalik kepada soal Chin Peng, maklumat menyatakan beliau telah bersetuju untuk meletak senjata dalam Perjanjian Damai dan tidak lagi akan menentang kerajaan. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah dia juga telahpun menanggalkan ideologi komunis yang digenggam erat selama ini dan apakah ada kepastian beliau tidak akan menyebarkannya jika dibenarkan pulang.

Kini terpulang kepada kebijaksanaan pihak kerajaan untuk memutuskannya sama ada beliau dibenarkan pulang atau tidak. Kerajaan juga seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya kesan daripada sebarang keputusan yang diambil terutama sekali jika dibenarkan pulang bagi menjaga sensitivi masyarakat yang banyak.

Sunday, June 21, 2009

Mat Rempit...Satu Perbandingan Perbandingan

Bilamana sebut sahaja perkataan Mat Rempit semua orang akan sedia maklum bahawa mereka adalah sekumpulan penunggang motorsikal yang berlumba di jalan-jalan raya tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain. Mereka ini berlumba di jalan raya biasanya pada waktu-waktu tertentu sama ada petang atau malam hari dan disaksikan oleh golongan mereka dan orang yang lalu lalang.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah satu perbandingan ketara antara golongan Mat Rempit ini dengan penunggang motorsikal yang terdapat di negara jiran Indonesia. Semasa saya berkesempatan di Jogjakarta baru-baru ini, kelihatan penunggang motorsikal di sana lebih banyak jumlahnya. Malah di jalan-jalan raya di sana jumlah motorsikal melebihi jumlah kereta. Bagaimana pun saya tidak mendengar golongan ini berlumba di jalan raya di sana. Saya sempat juga bertanyakan kepada beberapa orang penunggang motorsikal di sana dan didapati bahawa tiada istilah Rempit di tempat mereka dan juga tiada aktiviti serupa iaitu berlumba sesama penunggang! Nah rupanya aktiviti rempit ini hanya berlaku di Malaysia sahaja. Anak-anak muda di sana ramai yang memiliki motor tetapi penggunaannya untuk kemudahan bagi ke tempat kerja atau yang berfaedah lainnya.

Saya merasakan budaya tidak sihat ini menular dikalangan remaja kita kerana pelbagai faktor dan antaranya ialah kesenangan hidup kerana rata-rata Mat Rempit tidak bekerja dan hanya mengharapkan wang dari ibubapa masing-masing. Kalau ada yang bekerjapun mereka masih lagi ada bantuan dari keluarga. Bayangkan mereka yang ditangkap polis kerana aktiviti tidak sihat ini akan dijamin oleh ahli keluarga untuk membebaskannya. Ini memuakan lagi si Rempit ini. Anehnya rata-rata Mat Rempit kita adalah dari kalangan belia-belia Melayu sendiri! Di sana juga mereka adalah serumpun dan beragama Islam tetapi tiadapun aktiviti rempit dikalangan mereka.

Untuk itu pihak berwajib perlu mengambil usaha yang bersungguh-sungguh bagi mengatasi perkara ini dan ahli keluarga serta ibubapa juga haruslah mengambil daya usaha yang sama mengawal anak-anak mereka dari terlibat aktiviti tidak sihat ini.

Saturday, June 20, 2009

Berita Seberang 1

Manuskrip Lama Melayu memang tidak ternilai harganya. Bayangkan sebuah manuskrip melayu lama bertulisan tangan yang biasanya ditulis Jawi mencecah harga ratusan ringgit di pasaran gelap. Mungkin sebab itulah ramai penyimpan (collector) berminat membuat koleksi manuskrip lama tersebut dan ada antaranya mengusahakan penerbitannya dalam bentuk CD atau DVD dan dijual, manakala yang asalnya disimpan sampai bila-bila.

Kita mungkin masih ingat akan cerita pada zaman penjajahan tentang tenggelamnya kapal yang membawa manuskrip melayu ke England diperairan Laut China Selatan dan banyak manuskrip lama musnah. Kebenaran ceritanya masih menjadi persoalan. Semasa era penjajahan juga nama-nama seperti Hugh Clifford dan Raffles adalah antara mereka yang meminati manuskrip Melayu dan Cliford adalah antara pegawai Inggeris yang boleh berbahasa Melayu dengan baik dan pandai membaca Jawi. Dalam buku Malay Letters yang diusahakan oleh British Library memaparkan 100 buah surat Raja-Raja Melayu(dan juga surat Raja-Raja Eropah) yang berurusan dengan Raja Inggeris , Sepanyol dan juga Belanda. Dan yang terawal dari tahun 1600 sehinggalah tahun 1900. Pegawai di British Library, Annabel Teh Gallop yang bertanggungjawab mengusahakan penulisan ini sendiri adalah keturunan Cina campuran dan kelahiran Pulau Pinang sebelum menjadi rakyat Britain. Menurut beliau banyak surat-surat Melayu lama dan juga manuskrip yang tersimpan di British Library dan juga di institusi lain di Eropah yang belum diterbitkan lagi. Semuanya itu amat bernilai dan berharga sekali.

Awal bulan ini ada berita dari Indonesia yang diungkitkan berkenaan manuskrip lama ini. Tidak dapat dipastikan apakah ianya diungkitkan kerana adanya persoalan Ambalat dan kes penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia. Jadi hal manuskrip ini juga diungkitkan sebagai satu pakej bersama. Judul beritanya " Naskhah Kuno Indonesia digelapkan ke Malaysia" dan kata sumber berita itu, dipercayai sejumlah Naskhah kuno milik Indonesia sudah beralih tangan ke negara tetangga Malaysia. Anehnya Singapura juga setahu saya telah lama berusaha memiliki naskhah-naskhah Melayu lama tersebut kerana ada Collector di Malaysia yang menjual ke Singapura kerana harganya lebih mahal.

Menurut Budayawan Riau, Al-Azhar, pemerintah Indonesia tidak ambil peduli soal pemboyongan cagar budaya asli tersebut. Antara yang sudah menjadi milik Malaysia adalah naskhah-naskhah berbentuk syair, hikayat dan puisi yang bertulisan Arab Melayu (Jawi). Begitu juga naskhah kuno Al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan oleh para pujangga di semenanjung pantai timur Sumatera. Menurut Al-Azhar lagi sehingga kini kebanyakan naskhah yang telah terlepas tangan itu kebanyakannya dari provinsi Riau. Menurutnya ada naskhah lama itu ditawarkan oleh Collector di Malaysia dengan harga minima RM 300 atau Rp 1 juta dan boleh menjangkau berkali ganda lagi, sementara pustaka Pemprov Kepri ( Riau ) katanya hanya menghargai satu naskhah paling mahal pun Rp 200,000 sahaja.

Mungkin bagi masyarakat biasa tidak begitu prihatin soal manuskrip lama ini. Baik di Indonesia atau Malaysia sama sahaja, jika ada yang menawarkan harga yang lebih mahal ianya akan bertukar tangan. Bagaimana pula dengan manuskrip milik kita ( Indonesia dan juga Malaysia) yang berada di London, UK atau Leiden, Belanda yang dulunya sama diambil percuma atau dibeli murahan oleh pegawai penjajah Inggeris dan Belanda lalu di bawa pulang ke negara mereka. Dan sekarang ini jika para penyelidik atau mahasiswa lanjutan yang membuat tesis mereka dalam bidang ini terpaksa ke sana bagi membuat penyelidikan. Hatta dalam persoalan mencari maklumat soal pertindihan sempadan yang dituntut seperti soal Batu Putih antara Malaysia dan Singapura, soal Sipadan - Ligitan , kita terpaksa ke Public Record Office di London bagi mencari bahan buktinya.

Jadi bagi masyarakat massa yang memiliki manuskrip lama simpanlah dengan baik atau menjualnya kepada pihak pemerintah sendiri dengan merundingi harganya supaya manuskrip itu tidak terlepas tangan ke negara lain.

Pulang Ke Kampung Laman...Lalui Manek Urai

Sejak posting pertama saya dahulu ada dalam tiga empat hari saya gagal updatekannya. Sebenarnya pada 17 Jun 2009 saya berkereta pulang ke kampung setelah ditukarkan untuk bertugas di negeri Kelantan. Surat pertukaran bermula 1 Jun tetapi saya memohon dua minggu menangguhkannya untuk uruskan hal keluarga. Buat permulaan saya pulang "bujang" dahulu dan tinggal bersama ayahbonda tercinta di Kota Jembal.

Sambil memandu tanpa henti dari jam 9 pagi dari Bandar Baru Selayang, selepas pekena nasi dagang di Restoran Wau Bulan, sekitar jam 1 tengahari saya lewati Manek Urai dan Lakloh. Wah,...hebat benderanya di kiri kanan jalan dan nampaknya bendera bulan lebih banyak dari bendera dacing. Itu pandangan di sepanjang jalan utama sebelum sampai di Guchil, Kuala Krai. Saya singgah minum di Lakloh bagi merehatkan badan dan membasahkan tengkok yang kering memandu berseorangan dan saja bertanyakan khabar tentang demam pilihan raya kecil Manek Urai...Pakcik tuan kedai yang saya minum itu menjawab...awe orang kelate ko? nak kelik ke mano. Saya jawab nak kelik Kota Jembal...dia tersengih tak tau Kota Jembal...saya jelaskan nama asalnya Kedai Lalat dan atas daya usaha Pertubuhan Kerabat Diraja Jembal Kelantan (PKRJ), YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bersetuju mengisytiharkan penukaran nama Kota Jembal tersebut. kalau anda melalui Kampung Pulau Melaka ke Kedai Lalat (Lama) akan akan melihat papan tanda besar nama Kota Jembal berhampiran pekan Kedai Lalat (Kota Jembal). Syabas kepada PKRJ yang mengusahakan penukaran nama ini.

Kembali pada soal pilihan raya kecil Manek Urai...saja saya pancing pertanyaan, Pakcik tuan kedai kata...awe tok sah runsing lah...orang Manek Urai ingat jasa PokSu Weil dan dan akan tetap dengan sokong semangat gemuloh yang amat disanjung tinggi itu.

Lain ceritanya dengan semasa saya di KOta Bharu. Pada tengah hari rabu, masa rehat saya bergunting rambut di kedai gunting Pakcik Hamid di bawah Bangunan Kelab Pas yang sederet dengan Kedai Jaafar Rawas. Isu di sini bukannya soal pilihan raya kecil Manek Urai, tetapi soal Kerajaan Perpaduan. Rata-rata orang pas Kelantan tak sokong kerajaan perpaduan, kata Pakcik yang saya tanyakan di Kedai Gunting tersebut. nampaknya di Kota Bharu soal nasional itu hangat dibincangkan di kedai-kedai kopi dan kebanyakannya membantah dan akan juga yang sokong jika pihak kerajaan yang memerintah Pusat hari ini menunjukkan keikhlasan terlebih dahulu dengan pelbagai perkara.

Itu ceritanya di Kota Bharu dan minggu depan akan saya postkan pandangan dan penemuan baru kerana hujung minggu ini ( jumaat, sabtu, ahad) saya akan pulang ke Kl bagi urusan keluarga yang masih di KL.

Bicara Dari seberang 2

Berita terbaru dari seberang seperti mana dalam laporan akhbar yang dipetik dari agensi Berita Antara bahawa pihak pemerintah Indonesia akan membekukan pengiriman pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia. Seperti mana dalam posting saya sebelum ini soal penderaan "amah Indonesia" oleh majikannya di Malaysia telah mendapat laporan meluas dalam media di Indonesia. Semasa saya berada di sana dari 9-13 Jun 2009, boleh dikatakan setiap hari media melaporkannya dan peristiwa terbaru ialah penderaan ke atas Siti Hajar seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh majikannya yang sedang dalam kes mahkamah.

Media Indonesia juga percaya ada banyak lagi kes seumpama itu tetapi tak tercium oleh pihak media atau tidak dilaporkan kepada pihak berwajib. Dengan pengumuman terbaru oleh Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi Indonesia , Erman Suparmo itu bakal mengeruhkan hubungan antara dua negara berjiran khususnya dalam soal tenaga kerja. Menurut beliau pada 23 Jun ini satu mesyuarat akan diadakan pemerintah Indonesia bagi memutuskan perkara ini dan kemungkinan pemberhentian sementara pengiriman tenaga kerja pembantu rumah akan dilaksanakan.

Memang. Pemberhentian pengiriman pembantu rumah dari Indonesia tidak menjejaskan Malaysia kerana tenaga kerja itu telahpun ramai di Malaysia. Tetapi dari sudut hubungan antara dua negara ianya tidak elok. Ianya semacam ada "kedinginan" perhubungan antara kedua negara. Apalagi soal-soal Ambalat dan kes Manohara masih lagi dimainkan oleh media Indonesia. Dalam soal ini pemerintah antara kedua negara perlu bertindak menyelaraskan kembali perhubungan yang baik selama ini dan tidak membiarkannya berlarutan.

Ianya demi kebaikan bersama antara kedua-dua negara serumpun dan berjiran itu. Semuanya bisa diselesaikan secara baik jika ada keinginan yang kuat bagi mengatasinya.

Sunday, June 14, 2009

Berita Seberang...Isu Panas berkaitan Malaysia



Pada selasa 9 Jun 2009 saya bersama keluarga berkunjung ke Jogjakarta bagi menjengok anak sulung kami yang mengikuti kuliah ijazah perubatan (kedoktoran) di Universitas Gajah Mada, Jogja. Telah dua tahun dia belajar di sana dan hanya pada kali ini kami berkesempatan melawatnya. Kota Jogja yang terkenal sebagai Kota Budaya dan juga Kota Pelajar di diami sekotar setengah juta penduduknya. Dan masyarakat Jogja juga terkenal sebagai masyarakat yang halus budi pekertinya dan paling bersopan santun di Indonesia. Kalau di India di Negeri Uttar Pradesh terutama di bandar Lucknow terkenal sebagai masyarakat berbahasa sopan, begitulah juga di Jogja.






Pada 11 Jun 2009 sambil berehat di Lobby Hotel Ibis, Malioboro tempat penginapan kami, saya tertarik melihat tajuk Koran ( akhbar) Harian Jogja yang menyentuh hubungan dengan Malaysia. Saya terus ke kedai berdekatan membeli akhbar tersebut dan membacanya dengan teliti dalam bilik hotel. Ternyata dua tiga isu besar sedang diperkatakan oleh surat khabar dan juga berita di TV di sana. Pertamanya berkaitan cerita Manohara yang dikatakan kononnya didera oleh suaminya Tengku Temenggong Kelantan, isu penderaan pembantu rumah warga Indonesia di Kuala Lumpur dan juga isu berkenaan tuntutan bertindih kawasan Ambalat, kawasan yang dipercayai kaya dengan galian petrolium di Laut Sulawesi itu.






Isu Manohara sememangnya panas di sini. Sebelum kami ke Jogja pun isu tersebut telah diperkatakan dalam blog di Malaysia. Apabila saya berbicara dengan pemandu pelancong kami, Pak Tony, saya secara jenaka menyatakan saya berasal dari Klaten (Klaten satu daerah dalam Jogja) bagi mengelakkan dia bertanyakan tentang isu berkaitan keluarga Diraja Kelantan itu. Beliau juga menyatakan isu ini memang hangat di Indonesia, tetapi bagi masyarakat Jogja yang agak terbuka tidaklah begitu fanatik sangat. Tetapi katanya jika di Surabaya lain ceritanya. Malah majalah Surya keluaran Surabaya di Jawa Timur telah highlight isu ini pada muka depannya dam masyarakat Surabaya juga katanya agak fanatik dan boleh mengerahkan tunjuk perasaan bagi sesuatu isu seperti ini.






Manohara seperti di laporkan dalam berita Harian Jogja telahpun membuat laporan polis di Indonesia dan juga membuat pemeriksaan doktor. Sepasukan peguamnya telah pun bersiap sedia bagi tujuan pendakwaan. Bagaimanapun pihak peguam juga menyatakan ianya agak sukar kerana perkara ini berlaku di Malaysia, dan tentunya ia hanya boleh dibicarakan di Malaysia. Dan pemeriksaan perubatan Manohara juga perlu dilakukan sekali lagi di Malaysia... jadinya ramai penganalisa melihat perkara ini hanya tinggal laporan atas kertas sahaja...kecuali Manohara tega untuk membuat laporan polis di Malaysia sebagaimana yang dibuat Tengku Temenggong dan membuat pemeriksaan perubatan juga di Malaysia.




Isu penderaan tenaga kerja Indonesia khususnya pembantu rumah juga hangat di perkatakan setiap kali berlakunya peristiwa tersebut. Anehnya bila terjadi peristiwa ini pelaku atau majikan dari Malaysia yang terlibat adalah berbangsa Cina. Ini yang menghairankan masyarakat Indonesia. Malah Pak Tony ada bertanyakan saya mengapa sampai begitu sekali majikan Cina Malaysia mendera pembantunya...seolah bagi "membalas dendam" ! tetapi beliau juga menyatakan isu ini yang dilakukan segelintir majikan Malaysia telah merosakkan moral keseluruhan majikan di Malaysia. Saya akui pendapatnya dan beliau menggesa pemerintah Malaysia bertindak tegas ke atas pelakunya yang terbukti bersalah di mahkamah. Dulunya peristiwa Nirmala Bonat...sekarang Siti Hajar, pelaku kekejaman atau penderaannya majikan berbangsa Cina juga, apakah ini kebetulan?




Isu panas ketiga yang mengambil tempat dalam akhbar di sana isu Ambalat iaitu kawasan yang kaya petrolium yang dituntut Indonesia dan Malaysia. Isu ini perlu dibincang secara diplomasi antara pemimpin kedua-dua negara. Di antara tajuk-tajuk artikel yang agak panas ialah " DPR datangi Malaysia pertanyakan Ambalat", "Jusuf Kalla: Soal Ambalat RI siap perang", "WaPres (Wakil Presiden) RI siap perang Demi Ambalat" dan " Perang pilihan Terakhir". Isu ini walaupun tidak dibicarakan secara meluas di Malaysia tetapi di Indonesia agak panas. Malah ada akhbar yang membuat perincian kekuatan ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia yang katanya Indonesia jauh ketinggalan dari segi peralatan senjata dan teknologi serta jumlah pesawat dan kapal perang. Hanya jumlah tentera darat darat sahaja diungguli Indonesia.




Apakah perlu sampai ke situ sekali analisis dalam akhbar Indonesia. Bagi kita soal ini masih boleh dirundingkan dan PM Malaysia dalam lawatan ke Jakarta April lalu juga menyetakan persediaan untuk terus berunding. hanya satu...dapat saya simpulkan iaitu pada waktu ini pilihan raya presiden Indonesia sedang rancak dan calon-calonnya akan cuba untuk menjadi jaguh bagi menunjukkan kepada rakyat Indonesia mereka harus dipilih menjadi presiden. itu sahaja. ( boleh Para pembaca boleh menjengok http://harianjogja.com/ bagi membaca isu Ambalat ini)




Apa yang perlu akhbar Malaysia tidak perlu mengikuti gaya akhbar Indonesia berkenaan isu-isu panas antara kedua negara tersebut. Dan kita menaruh kepercayaan kepada para pemimpin kita bagi merundinginya khususnya para pemimpin pemerintah. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Malaysiakini dilaporkan juga telah bercakap meminta pemerintah Malaysia bertindak bijak mengatasi permasalahan tersebut agar kerjasama erat yang sedia terjalin antara kedua-dua buah negara berjiran tidak menjadi keruh.

Salam perkenalan

Assalamu'alaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, saya gagahkan diri untuk turut sama-sama berblog setelah sekian lama menjadi penjengok setia ratusan blog-blog yang ada di tanah air. Bagaimanapun tidaklah semua saya dapat menjengoknya, hanya beberapa sahaja yang popular baik blog yang berunsur politik ataupun yang berkaitan kemasyarakatan ataupun budaya.

Untuk post yang pertama ini saya ingin menghulurkan salam perkenalan kepada semua dan mengharapkan tunjuk ajar daripada pihak-pihak yang lebih berpengalaman dalam hal penulisan blog ini. Terus terang saya nyatakan bahawa blog saya ini akan lebih menjurus membicarakan hal kemasyarakatan dan budaya walaupun saya amat meminati politik. Lantaran kekangan tertentu saya akan menjuruskan kepada dua aspek di atas. Biarlah blog lain yang membicarakannya dan kalau perlu saya sentuh sedikit-sedikit sahaja.

Untuk itu sekali lagi saya menghulurkan salam perkenalan dan persahabatan kepada semua rakan bloggers dan saya berharap akan dapat menyumbangkan sesuatu kepada dunia bloggers di tanah air yang kian berkembang pesat ketika ini.
Sekian, wasallam.