

Perkembangan PRK Manek Urai semakin menggamit ramai orang untuk mengikutinya. Maklumlah PRK jarang-jarang terjadi di Kelantan dan pertembungannya pula antara dua buah parti politik utama orang Melayu UMNO dan PAS. Setakat ini belum dapat dipastikan ada calon lain yang akan tumpang semangkok atau buat kacau daun saja. Biasanya kalau ada tentu dah "geger" mengatakannya. Mungkin calon Bebas takut hilang wang pertaruhan jika turut ambil bahagian. Parti AKIM pun tak kedengaran untuk turut serta walaupun baru-baru ini ada kedengaran akan menurunkan calonnya.
Ada kawan yang telefon dan SMS saya bertanyakan sama ada calon UMNO yang berkebetulan ada pangkal nama Tuan itu ada kena mengena dengan saya. Saya katakan setakat saya tahu tidak ada kena mengena atau kemungkinan waris. Sebabnya yang ada nama pangkal Tuan ( kalau di Indonesia dikatakan marga seperti Lubis, Nasution dll nama keluarga) itu memangnya asal Kelantan, tetapi ada jurai keturunannya. Saya pun tak tahu Tuan Aziz ini jurai keturunan sebelah mana, sama ada Kubang Labu, Long Ghaffar atau Jembal. Saya adalah berketurunan dari Raja-Raja Jembal yang pernah memerintah Kelantan pada abad 16 dahulu. Pusat pemerintahannya di Kota Jembal (kawasan Kedai Lalat sekarang) dan tinggalan pusara Raja-Raja Jembal masih dijaga dengan baik oleh pihak Pertubuhan Kerabat Diraja Jembal (PKRJ)Kelantan. YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nin Nik Mat Bin Raja Banjar juga adalah keturunan dari titih Raja Jembal.
Calon PAS seperti yang diperkenalkan oleh Mursyidul Am PAS jumaat lalu ialah Mohd. Fauzi Abdullah, Bendahari PAS Kuala Krai yang juga seorang Peniaga Ikan. Beliau telah sekian lama berjuang bersama-sama kepimpinan PAS Kawasan Kuala Krai dan dikatakan amat rapat dengan masyarakat setempat. Ciri-Ciri beliau yang senang didampingi dan mudah kira-bicara ini menjadi salah satu ukuran penting pemilihannya. Kalaupun tidak dapat menyamai ciri-ciri "Mudah Bbaso, Sene Kkira" dan ramah pergaulan Gemuloh Pak Su Weil, bekas Wakil Rakyat PAS dahulu Mohd. Fauzi diharapkan dapat sedikit sebanyak mewarisi feel perangai Gemuloh itu yang disayangi ramai dan dihormati kawan dan lawan.
Manakala Tuan Aziz Tuan Mat adalah seorang Pengurus KESEDAR yang beribu pejabat di bandar Gua Musang. Bagi masyarakat peneroka mungkin mengenali beliau dengan lebih dekat kerana berurusan secara langsung. Namun tidak dapat dipastikan beliau berasal dari kawasan mana sementara Mohd. Fauzi berasal dari Bukit Marak tetapi telah lama menetap di kawasan Kuala Krai.
Pada mulanya bila mendengar nama Tuan Aziz saya terlintas kepada kawan baik saya dari Kuala Besar, sejak Tingkatan Enam di SMIP dulu yang juga Pegawai KESEDAR. Nama dan bin pun serupa; lantas saya teringat Tuan Aziz Bin Tuan Mat kawan baik saya itu telahpun berhenti dari KESEDAR dan kini bertugas sebagai Guru di SMK Sungai Pinang.
Apa pun kita harapkan mereka bertandinglah dalam semangat demokrasi yang sebenar dan dengan tujuan bagi membela masyarakat setempat sesudah bergelar Wakil Rakyat.
No comments:
Post a Comment