
Pada selasa 9 Jun 2009 saya bersama keluarga berkunjung ke Jogjakarta bagi menjengok anak sulung kami yang mengikuti kuliah ijazah perubatan (kedoktoran) di Universitas Gajah Mada, Jogja. Telah dua tahun dia belajar di sana dan hanya pada kali ini kami berkesempatan melawatnya. Kota Jogja yang terkenal sebagai Kota Budaya dan juga Kota Pelajar di diami sekotar setengah juta penduduknya. Dan masyarakat Jogja juga terkenal sebagai masyarakat yang halus budi pekertinya dan paling bersopan santun di Indonesia. Kalau di India di Negeri Uttar Pradesh terutama di bandar Lucknow terkenal sebagai masyarakat berbahasa sopan, begitulah juga di Jogja.
Pada 11 Jun 2009 sambil berehat di Lobby Hotel Ibis, Malioboro tempat penginapan kami, saya tertarik melihat tajuk Koran ( akhbar) Harian Jogja yang menyentuh hubungan dengan Malaysia. Saya terus ke kedai berdekatan membeli akhbar tersebut dan membacanya dengan teliti dalam bilik hotel. Ternyata dua tiga isu besar sedang diperkatakan oleh surat khabar dan juga berita di TV di sana. Pertamanya berkaitan cerita Manohara yang dikatakan kononnya didera oleh suaminya Tengku Temenggong Kelantan, isu penderaan pembantu rumah warga Indonesia di Kuala Lumpur dan juga isu berkenaan tuntutan bertindih kawasan Ambalat, kawasan yang dipercayai kaya dengan galian petrolium di Laut Sulawesi itu.
Isu Manohara sememangnya panas di sini. Sebelum kami ke Jogja pun isu tersebut telah diperkatakan dalam blog di Malaysia. Apabila saya berbicara dengan pemandu pelancong kami, Pak Tony, saya secara jenaka menyatakan saya berasal dari Klaten (Klaten satu daerah dalam Jogja) bagi mengelakkan dia bertanyakan tentang isu berkaitan keluarga Diraja Kelantan itu. Beliau juga menyatakan isu ini memang hangat di Indonesia, tetapi bagi masyarakat Jogja yang agak terbuka tidaklah begitu fanatik sangat. Tetapi katanya jika di Surabaya lain ceritanya. Malah majalah Surya keluaran Surabaya di Jawa Timur telah highlight isu ini pada muka depannya dam masyarakat Surabaya juga katanya agak fanatik dan boleh mengerahkan tunjuk perasaan bagi sesuatu isu seperti ini.
Manohara seperti di laporkan dalam berita Harian Jogja telahpun membuat laporan polis di Indonesia dan juga membuat pemeriksaan doktor. Sepasukan peguamnya telah pun bersiap sedia bagi tujuan pendakwaan. Bagaimanapun pihak peguam juga menyatakan ianya agak sukar kerana perkara ini berlaku di Malaysia, dan tentunya ia hanya boleh dibicarakan di Malaysia. Dan pemeriksaan perubatan Manohara juga perlu dilakukan sekali lagi di Malaysia... jadinya ramai penganalisa melihat perkara ini hanya tinggal laporan atas kertas sahaja...kecuali Manohara tega untuk membuat laporan polis di Malaysia sebagaimana yang dibuat Tengku Temenggong dan membuat pemeriksaan perubatan juga di Malaysia.
Isu penderaan tenaga kerja Indonesia khususnya pembantu rumah juga hangat di perkatakan setiap kali berlakunya peristiwa tersebut. Anehnya bila terjadi peristiwa ini pelaku atau majikan dari Malaysia yang terlibat adalah berbangsa Cina. Ini yang menghairankan masyarakat Indonesia. Malah Pak Tony ada bertanyakan saya mengapa sampai begitu sekali majikan Cina Malaysia mendera pembantunya...seolah bagi "membalas dendam" ! tetapi beliau juga menyatakan isu ini yang dilakukan segelintir majikan Malaysia telah merosakkan moral keseluruhan majikan di Malaysia. Saya akui pendapatnya dan beliau menggesa pemerintah Malaysia bertindak tegas ke atas pelakunya yang terbukti bersalah di mahkamah. Dulunya peristiwa Nirmala Bonat...sekarang Siti Hajar, pelaku kekejaman atau penderaannya majikan berbangsa Cina juga, apakah ini kebetulan?
Isu panas ketiga yang mengambil tempat dalam akhbar di sana isu Ambalat iaitu kawasan yang kaya petrolium yang dituntut Indonesia dan Malaysia. Isu ini perlu dibincang secara diplomasi antara pemimpin kedua-dua negara. Di antara tajuk-tajuk artikel yang agak panas ialah " DPR datangi Malaysia pertanyakan Ambalat", "Jusuf Kalla: Soal Ambalat RI siap perang", "WaPres (Wakil Presiden) RI siap perang Demi Ambalat" dan " Perang pilihan Terakhir". Isu ini walaupun tidak dibicarakan secara meluas di Malaysia tetapi di Indonesia agak panas. Malah ada akhbar yang membuat perincian kekuatan ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia yang katanya Indonesia jauh ketinggalan dari segi peralatan senjata dan teknologi serta jumlah pesawat dan kapal perang. Hanya jumlah tentera darat darat sahaja diungguli Indonesia.
Apakah perlu sampai ke situ sekali analisis dalam akhbar Indonesia. Bagi kita soal ini masih boleh dirundingkan dan PM Malaysia dalam lawatan ke Jakarta April lalu juga menyetakan persediaan untuk terus berunding. hanya satu...dapat saya simpulkan iaitu pada waktu ini pilihan raya presiden Indonesia sedang rancak dan calon-calonnya akan cuba untuk menjadi jaguh bagi menunjukkan kepada rakyat Indonesia mereka harus dipilih menjadi presiden. itu sahaja. ( boleh Para pembaca boleh menjengok http://harianjogja.com/ bagi membaca isu Ambalat ini)
Apa yang perlu akhbar Malaysia tidak perlu mengikuti gaya akhbar Indonesia berkenaan isu-isu panas antara kedua negara tersebut. Dan kita menaruh kepercayaan kepada para pemimpin kita bagi merundinginya khususnya para pemimpin pemerintah. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Malaysiakini dilaporkan juga telah bercakap meminta pemerintah Malaysia bertindak bijak mengatasi permasalahan tersebut agar kerjasama erat yang sedia terjalin antara kedua-dua buah negara berjiran tidak menjadi keruh.
baca berita ini bikin teringat tahun 2009 di malaysia... hmm banyak sekali isu tentang indonesia.
ReplyDeleteOh iya min kalau butuh Produksi Tas Jakarta kami siap membantu