Saturday, June 20, 2009

Bicara Dari seberang 2

Berita terbaru dari seberang seperti mana dalam laporan akhbar yang dipetik dari agensi Berita Antara bahawa pihak pemerintah Indonesia akan membekukan pengiriman pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia. Seperti mana dalam posting saya sebelum ini soal penderaan "amah Indonesia" oleh majikannya di Malaysia telah mendapat laporan meluas dalam media di Indonesia. Semasa saya berada di sana dari 9-13 Jun 2009, boleh dikatakan setiap hari media melaporkannya dan peristiwa terbaru ialah penderaan ke atas Siti Hajar seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh majikannya yang sedang dalam kes mahkamah.

Media Indonesia juga percaya ada banyak lagi kes seumpama itu tetapi tak tercium oleh pihak media atau tidak dilaporkan kepada pihak berwajib. Dengan pengumuman terbaru oleh Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi Indonesia , Erman Suparmo itu bakal mengeruhkan hubungan antara dua negara berjiran khususnya dalam soal tenaga kerja. Menurut beliau pada 23 Jun ini satu mesyuarat akan diadakan pemerintah Indonesia bagi memutuskan perkara ini dan kemungkinan pemberhentian sementara pengiriman tenaga kerja pembantu rumah akan dilaksanakan.

Memang. Pemberhentian pengiriman pembantu rumah dari Indonesia tidak menjejaskan Malaysia kerana tenaga kerja itu telahpun ramai di Malaysia. Tetapi dari sudut hubungan antara dua negara ianya tidak elok. Ianya semacam ada "kedinginan" perhubungan antara kedua negara. Apalagi soal-soal Ambalat dan kes Manohara masih lagi dimainkan oleh media Indonesia. Dalam soal ini pemerintah antara kedua negara perlu bertindak menyelaraskan kembali perhubungan yang baik selama ini dan tidak membiarkannya berlarutan.

Ianya demi kebaikan bersama antara kedua-dua negara serumpun dan berjiran itu. Semuanya bisa diselesaikan secara baik jika ada keinginan yang kuat bagi mengatasinya.

No comments:

Post a Comment