Blog Archive

Sunday, August 30, 2009

Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke- 52


Esok tanggal 31 Ogos merupakan hari ulang tahun kemerdekaan negara kita ke 52. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan saya ucapkan kepada semua lapisan rakyat Malaysia semoga negara akan terus aman, maju dan makmur.

Saturday, August 29, 2009

Indonesia tuduh Malaysia pencuri budaya...


Alkisah timbul lagi tuduhan yang tidak sedap didengar itu terhadap Malaysia. Rasanya telah banyak kali tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan kepada Malaysia oleh negara jiran Indonesia itu. Dalam masa lain apabila mereka berdiplomasi dan inginkan sesuatu mereka akan katakan Malaysia dan Indonesia adalah "negara serumpun" dan banyak lagi kata-kata manis yang lain. Namun apabila mereka marah akan Malaysia, lain pula kata-katanya.

Kalau semasa PEMILU Presiden pada JUlai lalu, mungkin ahli-ahli politik mereka ingin menunjukkan kejuaraan dengan memperli Malaysia sehingga ada ahli politik yang mempersoalkan isu Ambalat dengan emosi hatta mengatakan Indonesia sedia berperang dengan Malaysia demi Ambalat. Begitu juga kata-kata pedas dilempar ekoran penderaan tenaga kerja Indonesia di Malaysia sehingga penghantarannya diberhentikan sementara.

Namun Malaysia tetap tidak menunjukkan tindak balas secara emosi tetapi secara berunding demi semangat bangsa serumpun itu. Dalam posting saya yang lalu pada 20 Jun 2009 di bawah tajuk " Berita Dari Seberang 1" ada budayawan Indonesia yang mempersoalkan "Naskhah kuno Indonesia digelapkan ke Malaysia" . Mengikut budayawan itu "pemboyongan cagar budaya asli Indonesia tersebut" telah lama berlaku terutama naskhah-naskhah dari Riau.

Nah, sekarang isu berkenaan timbul semula bila Indonesia mengatakan " Malaysia pencuri budayanya. Ini berikutan dalam promosi pelancongan Malaysia di Discovery Channel yang memuatkan Tarian Pendet yang merupakan satu tarian di Bali. Ahli politik yang juga wakil rakyat Bali lantas menggelar Malaysia " kurang ajar dan pencuri budaya". Agak keras kenyataannya itu dalam konteks hubungan antarabangsa apa lagi ia diucapkan seorang ahli politik pemerintah. Menteri pelancongan Indonesia juga menyatakan akan menyaman Malaysia kerana menggunakan tarian pendet itu dalam promosi pelancongan Malaysia. Bagi kerajaan Malaysia promosi ini bukannya dibuat oleh kerajaan tetapi oleh swasta, tetapi pada masa akan datang ianya juga perlu diperhalusi.

Sebelum ini juga timbul isu serupa iaitu Malaysia dituduh mencuri tarian barongsai, malah masakan seperti masakan padang, alat muzik angklong, pembuatan batek dan sebagainya adalah telat dicuri dari Indonesia. Betulkah begitu? Apa kata kalau India yang merupakan leluhur agama Hindu sehingga kini mendakwa Indonesia juga banyak mencuri budaya India. Tetapi apa yang nyata semasa saya berada di India selama setahun iaitu dari 1990-1991 dahulu, mereka bangga kerana agama Hindu dan adat budaya Hindu diamalkan di Bali, Indonesia.

Janganlah hanya kerana perkara kecil sahaja hendak diperbesarkan. Janganlah Indonesia berbaik-baik dan menganggap Malaysia negara serumpun ketika ditimpa bencana dan musibah sahaja seperti gempa bumi, tsunami dan lain-lain. Apabila memerlukan bantuan sahaja ingin bersahabat. Bagaimanapun dengan lebih 1 juta warga Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia dan dibawa pulang, Malaysia tidak pernah mempersoalkannya. Bagaimana dengan jenayah yang dilakukan warga Indonesia di Malaysia sama ada yang mmasuki secara haram atau sah yang semakin menjadi-jadi kini. Fikirkanlah sendiri sebelum membuat tuduhan yang tidak menguntungkan.

Kenangan berpuasa di New Delhi


Berpuasa di rantau orang buat pertama kali kami sekeluarga agak menyedihkan juga. Maklumlah nun jauh di rantau orang dan makanannya juga asing dari kebiasaan. Namun kerana India juga mempunyai ramai penduduknya beragama Islam, masalah makanan tidak terasa. Cuma tinggal lagi kena rajin memasak sendiri sesuai dengan selera masakan Melayu.

Barangan seperti bahan mentah tidak susah didapati. Pergi sahaja ke Ina Market, semuanya ada. Pasarnya tidak jauh tempat kami tinggal setahun di New Delhi iaitu di Green Park Extension. Ayam ada dan boleh kita minta untuk sembelih sendiri ayamnya bagi pastikan halal. Tetapi kalau peniaga muslim memanglah kita yakin halal. Daging kambing jangan dikira kerana rata-rata masyarakat India baik yang beragama Hindu atau Islam gemar memakan daging kambing. Cuma daging lembu memang sukar didapati. Yang ada hanya daging kerbau dan kena rajin ke Pasar di Nizamuddin.

Bila sebut Nizamuddin, teringat tempat berkumpulnya para Jamaah Tabligh( di Masjid Nizamuddin) dan saya sering temui Jamaah dari Malaysia di Nizamuddin. Di sini ada dijual daging kerbau yang tidak jauh bezanya dari daging lembu kerana kerbau yang disembelih adalah kerbau muda. Restoran-restoran di Nizamuddin juga boleh kita jumpai Nasi Briani, Bukhari dan sebagainya.

Bulan puasa di sini amat meriah juga. Pada waktu malam Solat Tarawihnya penuh masjid dan pada kebiasaannya Solat Isya' akan diimamkan Imam Masjid, tetapi bagi Solat Tarawih diimamkan oleh kanak-kanak atau belia yang hafiz quran. Di Malaysia sekarang pun trend menjemput para huffaz menjadi Imam Tarawih telah berkembang. Ahli Jamaah terutama golongan kaya muslim sentiasa memberikan derma dalam bulan berkat ini sama ada makanan atau wang. Pendeknya kemurahan rezeki bulan mulia ini amat dihargai oleh para gelandangan atau fakir miskin yang mendatangi masjid.

Kemeriahan dan pergaulan dengan masyarakat setempat membuatkan hati lupa bahawa kami berpuasa sebulan di New Delhi. Kemesraan semasa bertegur sapa setelah selesai Solat Tarawih benar-benar menjalinkan silatur rahim antara saudara sesama muslim. Sayangnya saya tidak sempat Solat Tarawih di Masjid Jame' Old Delhi iaitu masjid terbesar yang agak jauh sikit dari tempat kami tinggal. Dalam masa sebulan Ramadhan kami hanya solat di Masjid Hauz Khas sahaja. Walaupun agak kecil Masjidnya tetap diimarahkan oleh masyarakat setempat.

Friday, August 28, 2009

Kepala Lembu ...demo bantah kuil


Nampaknya Lembu agak sinonim atau seakan menjadi trade mark pada Selangor akhir-akhir ini. Pernah MB TS Khalid dituduh salah guna kuasa pasal agihkan lembu korban sedikit masa dahulu dan isu itu senyap begitu sahaja. Tidak ada bukti kot sebab ianya diadu pada SPRM dan dibuka penyiasatannya. Kalau ada tentu dah diheret ke muka pengadilan MB Selangor itu.

Kemudian Angkatan Muda Keadilan juga bawa lembu pergi ke pejabat SPRM dan membuat aduan. Kononnya sebagai memperli SPRM yang dikatakan bertindak mengikut telunjuk pihak-pihak atasan politik tertentu sahaja. Lembu yang dibawa hidu-hidup itu dan ditarik tali hidungnya menggambarkan apa yang disifatkan AMK keadaan SPRM.

Kelmarin demo bantah pembinaan kuil hindu di Seksyen 23 Shah Alam juga bawa Kepala Lembu dan diletakkan dipagar Pejabat Kerajaan Negeri Selangor. Demo yang dikatakan disertai kira-kira 50 orang itu tidak dapat dipastikan mewakili penduduk Seksyen 23 atau pihak-pihak tertentu yang dikatakan berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

Apapun cukuplah menyeret binatang tersebut dalam isu yang melibatkan kita manusia yang berakal waras. Di samping itu ia juga dikatakan berunsur penghinaan pada kaum India dan dikhuatiri akan mencetuskan tindakbalas dan kejadian kekacauan. PM sendiri telah minta KPN untuk menyelesaikan isu ini kerana dibimbangi boleh menimbulkan isu perkauman seperti yang terjadi di Kampung Medan dulu.

Berkenaan pembinnaan kuil itu, perundingan perlu diadakan secara telus dan jika benar masyarakat India tidak begitu ramai di Seksyen 23, mengapa perlu pada kuil jika yang sedia ada sudah mencukupi. Yang penting rundingan secara langsung dengan penduduk dan secara telus, jangan hanya kerana kita wakil rakyat, ada kuasa, nak dipaksakan supaya masyarakat terima sahaja. Itu bukan demokrasi lagi, kitakan negara demokrasi.

Ustaz Ismail Kamus: Usah bergurau mengatakannya meninggal


Ekoran beredarnya sms dan juga dalam ruang sembang blog beberapa hari lalu mengatakan Ustaz Ismail Kamus telah meninggal dunia, ramai yang terkejut bukan sahaja ahli keluarganya tetapi juga para murid dan pengikut guru agama itu. Perkara "kematian" tak usahlah dibuat gurauan, apalgi dalam bulan yang mulia ini.

Nampaknya masyarakat hari ini memang cepat mendapat maklumat walaupun maklumat itu palsu sebenarnya, malah ada yang tanpa usul periksa memberi sedakah fatihah dan sebagainya. Teringat saya bagaimana berita "kematian" TG Nik Aziz semasa beliau mendapat rawatan jantung dahulu. Heboh satu negara mengatakan berita kematiannya yang kemudiannya didapati berita itu palsu dan TG NIk Aziz sehingga kini tetap sihat dan memberikan kuliah agama disamping mentadbir Kelantan dengan baik.

Ustaz Ismail Kamus juga seperti diberitakan adalah sihat walafiat dan sedang mengerjakan umrah di Makkah. Pendapat yang mengatakan kematiannya mungkin disebabkan pemergian seorang lagi tokoh tanahair yang juga bernama Ismail iaitu Prof Datuk Dr. Ismail Salleh tidak dapat diterima. Walaupun namanya juga Ismail tetapi "orang yang menyebarkan khabar angin' itu sebenarnya mencari alasan sahaja. Tujuannya hanya untuk membuat heboh dan kepada mereka ini "ingatlah kepada Allah" dan dalam bulan yang mulia ini tidak usahlah bergurau melampau seperti itu lagi, kelak kamu yang akan mendapat balasan Allah di atas muka bumi ini.

Berbuka puasa di hotel mewah , halalkah makanannya?


Kepekaan umat Islam dalam memilih makanan halal masih lagi ditahap yang rendah. Terutama dalam bulan puasa ini trend berbuka puasa di hotel telah menjadi ikutan semua lapisan masyarakat. Bahkan ada jabatan kerajaan menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel ternama walaupun hotel itu tiada sijil halal.

Sedarkah kita bahawa mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada kira-kira 2000 hotel diseluruh negara, hanya 1.4% sahaja yang mempunyai sijil halal dalam aspek penyediaan makanannya. Mengikut data JAKIM dan Persatuan Hotel Malaysia juga, sehingga Mei 2009, hanya 27 buah hotel sahaja di seluruh negara yang dapur utamanya diiktiraf halal. Yang selebihnya bagamana?

Persoalannya di sini bukannya aspek masakan bercampur yang tidak halal, tetapi aspek penyimpanan bahan mentahnya juga perlu diambil kira. Katalah Tukang masaknya memang tahu dan tidak akan memasak bahan halal bersama yang haram. Senang cakap tukang masak tak akan memasak babi campur untuk hidangan semua pengunjungnya, tetapi bahan mentahnya adakah disimpan bersama dalam peti sejuk bercampur halal-haram, alat memasak juga seperti kuali, periuk dll adakah sama juga. Sampai ke situ sekali diambil kira kalau nak mencari yang halal. Dan sememangnya mencari yang halal itu adalah suruhan agama.

Mungkin ramai orang beranggapan "tak wajib usul" dan pakai "bedal" sahaja lebih-lebih lagi ada yang mempamerkan "Ditanggung halal" walaupun ianya tidak dipastikan benar atau tidak dan siapa yang "menanggungnya". Saya ada dengar cerita bagaimana seorang mengatakan "makanan mee yang dimakannya itu sedap sekali kuahnya, tapi dia tak makan dagingnya (daging babi), hanya makan mee sahaja". Kalau dah sampai tahap tu, tak dapat nak kata apalah...

Kalau pasal penyakit selsema babi ramai yang takut sekali... kerana boleh membawa mati. Dalam mencari makanan halal di hotel-hotel mereka tak kisah pula walaupun ada kemungkinan bahan makanan atau bahan mentah disimpan bersama daging babi.

Oleh itu sayugia kita semua beringatlah, pastikan makanan yang kita berbuka terutama di hotel atau restoran mewah itu adalah halal. Sayangkanlah puasa kita sehari suntuk jika berbuka dengan makanan yang tidak halal.

Al Fatihah buat Prof Datuk Ismail Salleh


Kelmarin 27 Ogos, Negara dikejutkan dengan pemergian seseorang yang amat istimewa bagi saya iatu Allahyarham Prof Datuk Ismail Salleh. Allahyarham adalah contoh seorang OKU yang telah mencapai tahap kejayaan yang tinggi, dari seorang pensyarah ekonomi sehingga menjadi profesor dan pakar ekonomi dan pendidikan negara. Allahyarham juga adalah senator yang pertama dari kalangan OKU di Malaysia. Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar pada negara. Semoga roh Allarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Nostalgia semasa di UKM masih lagi mesra dalam jiwa. Allahyarham semasa itu sebagai pensyarah ekonomi dan abang Allahyarham adalah orang yang memimpin Allahyarham ke bilik-bilik kuliah dan ke aman sahaja di UKM lantaran Allahyarham OKU penglihatan. Bagaimanapun kekurangan ini tidak menghalang Allahyarham menyampaikan kuliah kepada para mahasiswanya.

Sebagai murid Allahyarham saya mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan ahli keluarganya dan tabahkan hati menghadapi kesedihan dan ujian Allah ini, dan kita doakan Allahyarham diterima Ilahi sebagai hambaNya yang beriman. Amin.

Wednesday, August 26, 2009

Apakah Chua kedua akan ada dlm PKR ?


Kesan PRU 12 lalu masih terasa. BN kalah dlm PRK di Semenanjung 7 kali berturut-turut dan yang terakhir di Pengkalan Pasir 25 Ogos lalu. MIC juga bergolak ekoran Datuk Samy Vellu masih ingin terus berkuasa; Parti PPP pula bergaduh antara Datuk T Murugiah dan Datuk M Kayveas masing-masing ingin jadi ketua atau presiden parti. Anehnya disebalik semua kemelut besar di atas, kemelut melanda PKR yang dijadikan bahan berita dan diperbesarkan akhbar arus perdana seperti ADUN PKR melompat parti dan perselisihan dalaman lain.

Semalam berita besar dalam MCA yang menuju kemuncak pergaduhannya bila Majlis Presiden MCA telah bertindak memecat Datuk Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA ekoran skandal seksnya. Apakah dengan pemecatannya ini akan menyebabkan Soi Lek akan berpatah arang dengan MCA dan menyertai PKR. Sebelum ini seorang Chua iaitu Datuk Chua Jui Ming bekas orang besar MCA telahpun masuk PKR. Tidak mustahil Chua Soi Lek juga akan masuk PKR jika telah tiada ruang untuknya dalam MCA. Walaupun beliau menafikan akan menyertai PKR, tetapi dalam politik sebarang kemungkinan boleh terjadi. JIka beliau masuk PKR akan ada 2 Chua dalam PKR.

Buat masa ini Soi Lek dikatakan mententeramkan diri dengan bercuti dan beliau juga dikatakan tidak akan membuat rayuan ke atas hukuman yang dikenakan itu. Beberapa bekas orang kuat MCA seperti Datuk Fong Chan Onn dikatakan meminta Soi Lek membuat rayuan, nampaknya Soi Lek tidak akan berbuat demikian pada masa ini.

Pergolakan dalam MCA juga dijangka akan berterusan dan isu PKFZ yang didedahkan Datuk Ong Teae Keat akan terus mengocakkan lagi suasana politik panas dalam MCA. Peristiwa dedah mendedah antara Tee Keat dengan Datuk Tiong Kin Siong jika berlarutan akan menyeret sama UMNO dalam isu ini kerana ada maklumat yang dikatakan dari orang MCA juga bahawa "pemimpin UMNO juga ada nama" dalam "senarai payroll" Datuk Tiong seperti mana Tee Keat dikatakan diberikan 10 juta untuk Dana MCA. JIka terburai senarai nama yang melibatkan pemimpin UMNO, ianya akan menjadi lebih parah lagi.

Apapun kita tunggu apa perkembangan selanjutnya isu pemecatan Soi Lek ini dalam seminggu dua ini.

Tuesday, August 25, 2009

Tahniah Ustaz Salleh Man PRK Pmtg Pasir


Sepertimana di duga ramai PAS berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pasir menerusi calonnya Ustaz Salleh Man. Tahniah kepada Ustaz Salleh dan selamat berkhidmat sebagai wakil rakyat, dan contohilah wakil rakyat terdahulu Allahyarham Datuk Hamdan.Ustaz Salleh memperolehi 9618 undi, manakala Rohaizat memperolehi 5067 undi iaitu majoriti 4551 undi. Peratusan keluar mengundi 73.1 % agak rendah berbanding sasaran 80%.

Bagaimanapun apa yang tidak diduga ialah kemenangan yang besar majoritinya itu bagi PRK ini. Pada kebiasaannya dalam PRK calon pembangkang sukar untuk mencapai majoriti yang begitu besar. Ini membuktikan pemulihan UMNO seperti yang dilaungkan tidak berlaku sebenarnya dan impak Manek Urai tidak menjadi di Permatang Pasir. Lalu para pemimpin UMNO dalam gundah gulana telah bermadah mengatakan kes Permatang Pasir adalah terpencil. Mereka mengharapkan apa yang berlaku di Manek Urai berulang di Pengkalan Pasir iaitu walaupun kalah tetapi dapat mengurangkan majoriti dengan banyak.

Tetapi harapan itu tidak menjelma dan sebagai mencari dalihnya mereka katakan orang Permatang Pasir menolak usaha-usaha pembangunan. Ini satu lagi sindrom penafian (denial syndrome) yang masih tidak berubah di kalangan para pemimpin UMNO. Sebenarnya faktor kekalahan calon UMNO bermula seawal pemilihan calon hinggalah kepada gerak kerja kempen yang masih ditakuk lama iaitu bermodalkan pembangunan. Rakyat telah sedar sesiapa pun yang menjadi kerajaan adalah wajib melaksanakan pembangunan dan memancing undi dengan pembangunan adalah taktik dekad-dekad yang lalu dan tidak sesuai lagi sekarang. Semoga para pemimpin UMNO belajar dari kekalahan ini untuk bangkit kembali. JIka tidak rakyat akan menolak mereka dalam PRU 13 akan datang.

Apa pun kedua-dua pihak yang bertanding perlu membuat post mortem ke atas hasil PRK itu sama ada yang menang atau yang kalah. Kajian terperinci perlu dilakukan dan memahami kehendak rakyat dan tulus ikhlas dalam membela kepentingan rakyat.

Saturday, August 22, 2009

PRK Permatang Pasir: Tugas Berat BN


Tinggal 2 hari lagi kempen PRK sebelum hari mengundi pada selasa ini 25 Ogos, BN sekali lagi terpaksa memikul beban yang amat berat berikutan apa yang ramai menyifatkan kesilapan besar memilih calon yang bermasalah. Anehnya bagaimana sesuatu perkara yang menjerat calonnnya sendiri terlepas dari tapisan semasa pemilihan. Bukankah ramai lagi calon yang ada.

Akibat kesilapan memilih calon itu BN nampak dalam keadaan yang amat tertekan dan berada dalam keadaan "defensif". Ramai beraanggapan BN akan kalah lagi dan saya sendiri berasakan begitu juga dan kalau dapat mengurangkan sedikit majoriti 5000 PAS dalam PR Umum lalu dikira agak baik. Memang dalam PRK pihak kerajaan ada kelebihan tetapi memandangkan majoriti PAS agak besar dalam PR Umum lalu, agak sukar BN untuk mengatasinya. Dan ditambah dengan masalah yang membelenggu calonnya adalah menjadi "tugas berat" BN bagi mengurangkan majoriti PAS, bukan lagi soal untuk menang kerana bayangan kemenangan sudah jauh berbalam.

Saya tertarik dengan kata-kata bekas PM Tun Dr.Mahathir tentang calon BN ini. Beliau seakan menyindir calon pilihan BN ini berikutan masalah peribadinya. " saya tidak tahu orang seperti itu layak atau tidak dipilih menjadi wakil rakyat...saya tak tahulah.." ujar Dr.Mahathir seperti dipetik Malaysian Insider. Beliau juga secara sinis menyatakan " jika anda memberikan seseorang sebab yang baik untuk mensabotaj anda, mudahlah disabotaj dan ia adalah salah anda sendiri".

Dalam PRK Kuala Terengganu dahulu Dr.Mahathir juga ada menyatakan calon BN kurang tepat dan "tidak mesra rakyat" dan dalam PRK itu ternyata rakyat menolak calon BN. Selain Dr. Mahathir yang memperkatakan tentang kekurangan calon BN ini, YBM Tengku Razaleigh Hamzah juga menyentuh dalam blognya yang UMNO seolah-olah ketandusan calon sehingga calon yang bermasalah seperti itu dipilih. Bila 2 orang tokoh besar UMNO ini bersuara menampakkan ada yang tidak kena dalam pemilihan calon UMNO/BN itu. Cuma sehingga kini kita belum nampak lagi komen dari Perdana Menteri DS Najib yang baru pulang bercuti. Mungkin esok lusa beliau akan bersuara juga walaupun tidak turun membantu kempen saat-saat akhir.

Friday, August 21, 2009

Kg Buah Pala: Akan Lenyapkan 1 September?


Pada hari ini 21 Ogos, Mahkamah Persekutuan telah keputusan mengekalkan keputusan 24 Jun lalu iaitu penduduk Kg Buah Pala di Pulau Pinang mesti mengosongkan rumah mereka dan menyerahkan hartanah itu yang seluas 2.6 hektar kepada pemaju. Itu dari segi undang-undang dan seperti dipersetujui semasa bantahan penduduk pada 14 Ogos lalu ketika operasi meroboh, kedua-dua pihak akan tunggu keputusdan rayuan di Mahkamah. Hari ini Mahkamah telah memutuskannya dan apakah penduduk masih berdegil mendiami kampung setinggan di tapak tanah orang lain itu.

Kerajaan Pulau Pinang nampaknya seakan membisu dan menyatakan kerajaan negeri tiada peruntukan bagi mengambil balik tanah tersebut. Walaupun mereka dikatakan telah berjanji dalam PRU umum lalu akan membela penduduk Kg Buah Pala tersebut. Itu janji sebelum menang Pilihan Raya, dan janji pilihan raya tidak ada hitam putihnya. Mungkin juga ada faktor lain yang lebih bersifat "politik" menyebabkan kerajaan negeri seolah mahu Pusat mengendalikan dan menyelesaikan masalah ini. Dan kerajaan Pusat pula bertegas tidak akan membantu dan membiarkan kerajaan negeri menyelesaikannya sendiri kemelut ini.

Rasanya kalau setinggan Melayu telah lama rumah-rumah itu dirobohkan seperti mana berlaku ke atas setinggan Kampung Puah di Kuala Lumpur dan lain-lain. Dalam hal ini kita "tabik" kepada semangat kaum India dalam mempertahankan kediaman setinggan mereka. Setinggan Melayu di bandar-bandar tidak mempunyai semangat sedemikian dan mudah ditundukkan tanpa mendapat apa-apa pampasan, walaupun sesetengah kampung setinggan itu kawasan kuat UMNO sekalipun. Dalam hal ini saya bukanlah memihak kepada setinggan Kampung Buah Pala yang ternyata "salah" dari segi undang-undang, tetapi semangat mereka yang bersatu padu mempertahankannya supaya memperoleh pampasan setimpal, itu yang dibanggakan.

Kita lihatlah nanti pada 1 September, apakah mereka sekali lagi membentuk "kubu manusia" bagi mempertahankan kampung itu atau tidak . Atau tegakah pihak berkuasa untuk "berkeras" setelah dua tiga kali operasi merobohkan kampung tersebut tergendala. Akah terjadikah peristiwa tembakan gas pemedih mata seperti mana dalam pertembungan operasi merobohkan setinggan-setinggan sebelum ini. Semuanya akan terjawab pada 1 September nanti.

Apapun kita harapkan sempena bulan Ramadhan ini semua pihak patut berunding dan mencapai kata sepakat dalam situasi menang-menang supaya peristiwa tidak baik berlaku, dan pihak penduduk Kampung Buah Pala juga perlu sedar tanah yang mereka duduki itu dipunyai orang lain dan mahkamah telah memutuskannya untuk mereka kosongkan.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak


Bulan penuh keberkatan dan keampunan telah datang lagi menyapa kita semua. Sejuta syukur kita panjantkan kepada Allah SWT kerana telah panjangkan umur kita dan menemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia ini dan kita tidak tahu lagi tahun hadapan kita akan menemui Ramadhan lagi atau tidak. Semoga bulan yang mulia ini kita sama -sama memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan untuk menemuiNya.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK DARIPADA BLOGER POKKUAMIT

Friday, August 14, 2009

PRK Permatang Pasir, UMNO tentang PAS



PRK Permatang Pasir menemukan dua musuh tradisi dalam politik negara UMNO dan PAS. Pada petang tadi , TPM telah mengumumkan Rohaizat Othman, 38 Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calonnya. Pada sebelah malam pula TG Dato' Abdul Hadi, Presiden PAS mengumumkan Ustaz Salleh Man,52 Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sebagai calon PAS untuk PRK ini.

Dari segi latar belakangnya, calon UMNO yang juga seorang peguam lulusan UIAM adalah golongan muda yang mana sejak PRK Manek Urai UMNO meletakkan calonnya dari golongan muda. Manakala calon PAS adalah seorang ustaz yang berkelulusan bidang syariah dari Universiti Malaya (UM) dan kini sebagai pentadbir Sekolah Agama. Berdasarkan pencapaian akademik kedua-duanya adalah golongan terpelajar dan kelebihan nampaknya kepada PAS yang memberi laluan kepada golongan agama sebagai calonnya, sesuai dengan kawasan pengundi di Permatang Pasir.

Berdasarkan "mood" pengundi semasa kelebihan nampaknya kepada calon PAS tambahan pula kawasan ini merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat iaitu dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili DS Anwar Ibrahim, dan Permatang Pasir sendiri dipegang oleh PAS selama 3 penggal berturut-turut.

Walaupun di atas kertas, ahli berdaftar PAS agak kurang berbanding ahli berdaftar UMNO dalam kawasan DUN ini, tetapi pengundi atas pagar serta dari parti-parti BN sendiri nampaknya mengundi PAS berdasarkan pilihan raya yang lepas-lepas.

Calon Bebas dikatakan akan turut serta bersama calon Parti AKIM dalam PRK ini, tetapi belum dipastikan lagi. Penentuannya akan diketahui pada hari penamaan calonm 17 Ogos ini dan pengundian 25 Ogos. PRK ini diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Haji Hamdan Abdul Rahman, ADUN PAS kawasan ini pada 31 Julai yang lalu.

Thursday, August 13, 2009

Wabak selsema babi, minggu depan 100 mati


Wabak penyakit selsema babi nampaknya semakin menggila babi dan pihak berkuasa nampaknya "terkapai-kapai" dalam mengawal merebaknya penyakit ini. Dan boleh kita katakan Menteri Kesihatan telah gagal dalam menangani kes ini. Pada jangkaan saya menjelang minggu depan angka kematian akan mencecah 100 orang. Apakah bila angka itu nanti kerajaan masih lagi menganggapnya tidak sampai lagi tahap darurat.

Baik Menteri Kesihatan ataupun TPM , kedua-duanya nampal terkapai dalam usaha menangani masalah merebaknya penyakit ini. Khususnya di kalangan anak-anak sekolah, kerajaan masih teragak-agak sama ada untuk menutup atau tidak. Mengikut kata Menteri Kesihatan, kalau tutup pun , bila buka semula penyakit boleh merebak semula.

Manakala berita-berita dalam akhbar arus perdana masih lagi memaparkan angka kematian sahaja dan tumpuan lebih kepada hal politik seperti isu Kampung Buah Pala, Inkues kematian Beng Hock dan PRK Permatang Pasir. Mungkin minggu depan isu PRK akan lebih menjadi tumpuan akhbar arus perdana bila penamaam calon PRK Permatang Pasir.

Kalau begini keadaannya, agak malang bagi rakyat jembel Malaysia yang hanya menunggu untuk didatangi virus selsema babi sahaja. Atau mungkin ianya akan membuka mata banyak pihak terutamanya pihak berkuasa sekiranya wabak ini menyerang keluarga para pemimpin besar negara. Di sini bukannya saya bertujuan mendoakan mereka diserang penyakit ini, tetapi sebagai kiasan apakah apabila golongan mereka terlibat dengan wabak ini baru hendak bertindak segera.

Bagi orang politik mungkin kemaslahatan politik mereka lebih penting dan diberi tumpuan. Bagaimanapun saya tabik kepada pihak Hospital terutama doktor serta kakitangannya yang bertugas dengan penuh jujur dan amanah. Mereka dalah penjawat awam yang dedikasi dalam melaksanakan tugas dan arahan pihak atasan. Kita berharap pihak atasan khususnya kepimpinan politik memberikan tumpuan yang lebih kepada mengawal wabak ini daripada soal politik mereka kerana wabak ini tidak mengenal ahli MCA, MIC, UMNO, DAP ataupun PRK dan sebagainya.

Wednesday, August 12, 2009

Al-Fatihah buat Ustaz Asri, Rabbani


Penyanyi utama Kumpulan Nasyid Rabbani, Ustaz Asri Ibrahim, 42 telah kembali ke Rahmatullah di Hospital Pantai pagi ini dan disahkan akibat serangan jantung. Allahyarham telah jatuh pengsan semasa mengendalikan program "Syahadah" di RTM, Angkasapuri kira-kira jam 10.30 pagi dan dikejarkan ke Hospital Pantai.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Nasyid tanahair. Allahyarham menubuhkan Kumpulan Nasyid Rabbani pada 1997 dan kumpulan ini dianggotai 9 orang termasuknya. Allahyarham telah bersama-sama anggota kumpulan telah menggerakkan Rabbani hingga muncul sebagai satu Kumpulan Nasyid disegani di tanah air dan muncul sebagai Kumpulan atau artis Nasyid popular pada Anugerah Bintang Popular selama 8 tahun berturut-turut.

Sehingga kini Kumpulan Rabbani telah berjaya menghasilkan sebanyak 19 buah album nasyid yang kesemuanya telah mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat.

Allahyarham Ustaz Asri juga sering diundang memberikan ceramah dan membentangkan kertas kerja khususnya dalam seminar yang berkaitan dengan kesenian Islam dan pandangan beliau berkenaan kesenian Islam amat dihormati oleh semua.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Allahyarham dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin

Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-51, Malaysia Johan Qariah


Dalam Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-51 yang baru selesai sebentar tadi, Malaysia telah mendapat Johan peringkat Qariah. Cik Sharifah Khasif Fadzillah Binti Syed Mohd. Badiuzzaman Al-Yahya yang mewakili Malaysia telah mendapat 94.75 % markah dan menjadi Johan Qariah. Tempat kedua dimenangi oleh Natipa Manasia dari Thailand, ke 3 Dayang Hajjah Nurul Akmalina dari Brunei, ke 4 Rosita Amran dari Indonesia dan ke 5 Attiqah Suhaimi dari Singapura.

Manakala peringkat Qari, Usama Bin Abdullah Qari dari Iraq telah muncul sebagai Johan dengan memperolehi 91.6% markah. Naib Johan dimiliki oleh Qari dari Iran, Jaafar Hadi Fardi Aghchy, ke 3 Azhar Darma Djunaidi dari Indonesia, ke 4 Mohd. Sadid Abdul Latif dari Singapura dan ke 5 Haji Awang Fahmi Mat Husin dari Brunei Darussalam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh DYMM Sultan Kedah dan Sultanah Kedah dan diiringi oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan isteri serta YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir serta isteri.

Mampukah Datuk Lee Chong Wei menggalas kejuaraan


Badminton Kejohanan Dunia sedang berlangsung di Hyderabad, India. Dalam posting saya 30 Julai lalu ada menyentuh tentang unggulkah badminton kita di kejohanan dunia ini. Nampaknya setakat ini beliau telah melepasi 2 halangan, sementara beregu veteren Lee Wan Wah dan Chong Tan Fook telah pun terkeluar awal iaitu seawal pusingan pertama apabila tewas pada lawan.

Turut mengiringi di pusingan ke 3 pemain veteran Chong Han dan dua beregu lelaki negara. Namun esok bakal menentukan apakah mereka layak untuk ke pusingan seterusnya. Manakala pemain dunia lain juga melepasi halangan seperti Juara Dunia Lin Dan , Taufik Hidayat dan Peter Gade,serta Sonny Dwi Koncoro. Kita harapkan Lee Chong Wei akan mempersembahkan yang terbaik bagi menemui Lin Dan dan seterusnya membawa balik Kejuaraan Dunia yang berprestij itu. Walaunpun pemain dunia ramai yang tidak meletakkan Chong Wei bakal beraksi di pentas akhir bertemu Lin Dan, saya percaya pentas akhir nanti akan menemukan dua pemain terbaik ini memandangkan Taufik Hidayat agak merosot permainannya akhir-akhir ini, sementara Peter Gade sendiri semakin kurang kudratnya dimamah usia.

Friday, August 7, 2009

H1N1@Selsema Babi; PM sifatkan ancaman serius selepas 15 mati

Wabak penyakit Selsema Babi semakin menjadi-jadi malah semakin menjadi "gila babi" (gila khinzir?) dan sehingga kini 15(7 Ogos2009) orang telah menjadi korban. Setelah sampai tahap ini PM telah mengumumkan bahawa wabak ini kini ancaman serius terhdap negara. Dengan campurtangan PM sendiri diharapkan Kementerian Kesihatan akan mengambil langkah yang lebih bersungguh-sungguh lagi.

Pada hari ini ahad 9 Ogos seramai 8 orang lagi menjadi korban menjadi 26 semuanya.
Wabak ini semakin menunjukkan tanda-tanda ia akan memakan korban lebih ramai lagi. Alhamduliullah, kesedaran telah timbul. Bagi masyarakat beragama Islam adalah digalakkan melalukan Solat Hajat memohon doa kepada Allah agar dihindarkan dari wabak ini. Di Kelantan, di masjid-masjid telah dilakukan dan minggu ini nampaknya masjid di Selangor pun sudah memulakannya. Menteri ayang menguruskan berkaitan agama Islam YB Datuk Jamil Khir juga telah menyuarakan agar dilakukan Solat Hajat dan pada minggu hadapan seluruh Masjid di WP akan membaca khutbah khas berkenaan perkara ini.

Selain memohon doa kepada Allah , kita juga disuruh berikhtiar dan berusaha untuk mengawal wabak ini. Untuk itu peranan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan juga agensi agensi lain yang berkaitan termasuk PBT harus bergabung tenaga bagi mengawal daripada merebaknya penyakit ini. Kempen besar-besaran patut dilakukan di seluruh negara dan di semua peringkat.

AlFatihah buat Pak WS Rendra


Tokoh budayawan dan penyair tersohor Indonesia, WS Rendra telah kembali ke rahmatullah pada malam 5 Ogos disebuah Rumah Sakit di Jakarta, Indonesia setelah lebih sebulan Allahyarham mendapatkan rawatan sakit jantung.

Rendra, 74 tahun meninggalkan 11 orang anak daripada 3 orang isterinya, dua daripadanya telah diceraikan. Pak Rendra telah memeluk agama Islam pada tahun 1970 dan menukar namanya kepada Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Rendra. Allahyarham terkenal sebagai penyair bukan sahaja di Indonesia bahkan di Malaysia dan seluruh Nusantara. Allaharham juga pernah dianugerahkan Penghargaan Adam Malik 1989, SEA Writes Award 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri 2006.

Rendra juga seringkali diundang membaca puisi di Malaysia dan beliau adalah seorang penyair yang amat berpengaruh sehingga sajak-sajaknya dikatakan turut ditakuti oleh pemerintah Indonesia lantaran kritikan kerasnya terhadap pemerintah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin

Saturday, August 1, 2009

Selsema babi, sudah 6 mati

Selsema babi masih menghantui. Hingga hari ini 2 Ogos telah memakan korban 6 orang semuanya. Terbaru kanak-kanak yang berusia 11 tahun di Johor Bahru telah meninggal dunia akibat jangkitan selsema babi ini. Peningkatan semakin terjadi dari sehari ke sehari dan apakah kita hanya menunggu untuk mati? Adalah dianggarkan 5500 hingga 28,000 orang rakyat Malaysia akan mati ekoran wabak selsema babi ini iaitu anggaran 20% daripada jumlah penduduk Malaysia dijangkiti. Daripada 20% ini iaitu kira-kira 5.5 juta orang yang dijangkiti dan dianggarkan kdar kematian 0.1% hingga 0.5% sahaja' ia akan melibatkan 5500 hingga 28000 mati. Itu anggaran dari Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. David Quek. Beliau memetik unjuran yang dibuat oleh Pengarah Penyakit Berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr.Tee Ah Sian, dalam satu mesyuarat mengenai wabak ini.

Walaupun anggaran itu tak semestinya terjadi, tetapi ia agak cukup menakutkan. Bayangkan selama ini serangan sakit jantung dan kemalangan jalan raya telah menyumbang angka kematian yang besar di Malaysia, kini ditambah pula dengan jumlah angka kematian akibat selsema babi pula. Mengikut pihak WHO juga penawar bagi penyakit ini belum lagi ditemui dan dijangkakan hanya dapat diwujudkan akhir tahun ini.

WHO juga menganggarkan wabak ini akan berterusan sehingga 2 tahun lagi dan akan reda sama ada ianya semakin lemah atau vaksin penawarnya ditemui. Untuk itu dalam jangka masa 2 tahun ini kerajaan perlu bersedia dengan langkah-langkah secukupnya bagi membendung wabak ini dari terus menular.

Bila Tun Dr. Mahathir masih berkata-kata...


Kelmarin semasa berucap dalam satu majlis forum berkaitan kedudukan orang Melayu yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Serdang di Bangi, Tun Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa ahli-ahli UMNO tidak perlu menyokong pemimpin parti secara membuta tuli, jika mahu UMNO berjaya. Menurutnya kegagalan UMNO dalam PRK12 dahulu adalah kerana ahli UMNO gagal memberikan peringatan kepada para pemimpin partinya.

Melalui kenyataan-kenyataannya akhir-akhir ini Dr. Mahathir menunjukkan beliau masih lagi tidak senang dengan beberapa dasar kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri DS Najib. " kadang-kadang kita membuat keputusan yang kurang bijak seperti membatalkan jambatan bengkok dan mahu membina jambatan lurus ke 3, yang kemudiannya tidak dipersetujui Sultan Johor". Kenyataannya ini seolah-olah beliau masih lagi terkilan projek diasaskannya itu dibatalkan.

Bagaimanapun beliau juga menyatakan bahawa peringatannya bukannya bermakna dia cuba membuatkan pemimpin parti tidak popular, tetapi memberikan pendapat yang betul. Beliau katanya seboleh-bolehnya tidak mahu kelihatan memperendahkan pemimpin parti atau menjadikan mereka tidak popular. Sebelum ini semasa Pak Lah menjadi PM, beliaulah begitu lantang mengkritik pentadbiran Pak Lah yang dikatakan kununnya dikuasai "budak-budak tingkat empat" JPM.

Beliau juga kurang senang dengan pembatalan PPSMI dan pengenalan dasar Liberalisasi ekonomi. Malah berkenaan dengan 1Malaysia beliau memberikan pandangan bahawa beliau sendiri kurang faham apa yang dimaksudkan adakah sama dengan Malaysian Malaysia atau sebaliknya. Adalah mustahil beliau kurang faham, tetapi dipercayai beliau kurang senang juga kerana berkemungkinan boleh menghakis kekuasaan Melayu hanya kerana inginkan sedikit undi kaum minoriti. Sebaliknya beliau memperkatakan tentang Wawasan 2020 iaitu dasar yang diciptanya yang seolah-olah para pemimpin UMNO hari ini tidak lagi menghayati lagi dasarnya itu.

Walaupun Tun Dr.Mahathir telah lama meninggalkan pentadbiran kerajaan tetapi legasinya agak kuat dan sukar bagi para pemimpin lain mengatasinya buat masa ini. Oleh kerana itulah kata-katanya masih "berbisa" di kalangan orang UMNO.

Demonstrasi ISA...


Pada hari ini satu demonstrasi anti ISA telah berlaku di ibu negara yang agak melumpuhkan pegangkutan awam dan urusan di kawasan sekitar demonstrasi. Demo yang pada awalnya dijangka berlaku pertembungan dua pihak iaitu anti dan pro ISA nampaknya tidak menjadi kerana pihak pro akhirnya membatal saat akhir, kemungkinan tidak ramai sambutan. Dilaporkan sekitar 1000 orang lebih sahaja puak pro yang datang berhimpun.

Sementara puak anti ISA seperti anggaran ramai pihak sekitar 50,000 orang lebih walaupun ada yang mengatakan sehingga 80,000 dan ada juga mendakwa 100,000 orang. Bagaimanapun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara kerana telah dikepong pasukan polis dan ditembak gas pemedih mata serta pancutan air. Maka berlakulah apa yang dikatakan "pertempuran" dan kejar-mengejar antara dua pihak. Sumber terkini menyatakan 589 orang pendemonstran telah ditahan polis dalam peristiwa pada petang 1 Ogos itu. Kedua -dua pihak dikatakan berjaya dalam misi mereka. Pendemonstran mendakwa telah berjaya menggerakkan sehumlah begitu ramai anggota demonstran walaupun gagal berarak ke Istana dan pasukan polis pula berjaya menghalang mereka daripada berarak.

Agak mengecewakan puak pro ISA yang dikatakan awalnya mampu mengerahkan tenaga sehingga 80,000 orang bagi memnunjukkan kekuatan mereka, tetapi hanya mampu mengumpul sekitar 1000 sahaja. Mana perginya jumlah diwar-warkan itu.

Bagaimanapun impak daripada peristiwa ini tidak nampak lagi dalam jangka masa terdekat dan kerajaan dilaporkan masih mengkaji pengubahsuaian terhadap akta ISA ini, tetapi belum diketahui sejauh mana berjalannya. Kalau semasa Tun Razak membentangkan akta ini dahulu tujuannya untuk mengekang kegiatan komunis dan anasir subersif negara. Apakah pengubahsuainnya juga menuju ke arah itu, dan jika ini terjadi masyarakat mungkin dapat menerima seadanya walaupun tuntutan pemansuhan dilakukan.