
Sepertimana di duga ramai PAS berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pasir menerusi calonnya Ustaz Salleh Man. Tahniah kepada Ustaz Salleh dan selamat berkhidmat sebagai wakil rakyat, dan contohilah wakil rakyat terdahulu Allahyarham Datuk Hamdan.Ustaz Salleh memperolehi 9618 undi, manakala Rohaizat memperolehi 5067 undi iaitu majoriti 4551 undi. Peratusan keluar mengundi 73.1 % agak rendah berbanding sasaran 80%.
Bagaimanapun apa yang tidak diduga ialah kemenangan yang besar majoritinya itu bagi PRK ini. Pada kebiasaannya dalam PRK calon pembangkang sukar untuk mencapai majoriti yang begitu besar. Ini membuktikan pemulihan UMNO seperti yang dilaungkan tidak berlaku sebenarnya dan impak Manek Urai tidak menjadi di Permatang Pasir. Lalu para pemimpin UMNO dalam gundah gulana telah bermadah mengatakan kes Permatang Pasir adalah terpencil. Mereka mengharapkan apa yang berlaku di Manek Urai berulang di Pengkalan Pasir iaitu walaupun kalah tetapi dapat mengurangkan majoriti dengan banyak.
Tetapi harapan itu tidak menjelma dan sebagai mencari dalihnya mereka katakan orang Permatang Pasir menolak usaha-usaha pembangunan. Ini satu lagi sindrom penafian (denial syndrome) yang masih tidak berubah di kalangan para pemimpin UMNO. Sebenarnya faktor kekalahan calon UMNO bermula seawal pemilihan calon hinggalah kepada gerak kerja kempen yang masih ditakuk lama iaitu bermodalkan pembangunan. Rakyat telah sedar sesiapa pun yang menjadi kerajaan adalah wajib melaksanakan pembangunan dan memancing undi dengan pembangunan adalah taktik dekad-dekad yang lalu dan tidak sesuai lagi sekarang. Semoga para pemimpin UMNO belajar dari kekalahan ini untuk bangkit kembali. JIka tidak rakyat akan menolak mereka dalam PRU 13 akan datang.
Apa pun kedua-dua pihak yang bertanding perlu membuat post mortem ke atas hasil PRK itu sama ada yang menang atau yang kalah. Kajian terperinci perlu dilakukan dan memahami kehendak rakyat dan tulus ikhlas dalam membela kepentingan rakyat.
No comments:
Post a Comment