Blog Archive

Saturday, August 29, 2009

Kenangan berpuasa di New Delhi


Berpuasa di rantau orang buat pertama kali kami sekeluarga agak menyedihkan juga. Maklumlah nun jauh di rantau orang dan makanannya juga asing dari kebiasaan. Namun kerana India juga mempunyai ramai penduduknya beragama Islam, masalah makanan tidak terasa. Cuma tinggal lagi kena rajin memasak sendiri sesuai dengan selera masakan Melayu.

Barangan seperti bahan mentah tidak susah didapati. Pergi sahaja ke Ina Market, semuanya ada. Pasarnya tidak jauh tempat kami tinggal setahun di New Delhi iaitu di Green Park Extension. Ayam ada dan boleh kita minta untuk sembelih sendiri ayamnya bagi pastikan halal. Tetapi kalau peniaga muslim memanglah kita yakin halal. Daging kambing jangan dikira kerana rata-rata masyarakat India baik yang beragama Hindu atau Islam gemar memakan daging kambing. Cuma daging lembu memang sukar didapati. Yang ada hanya daging kerbau dan kena rajin ke Pasar di Nizamuddin.

Bila sebut Nizamuddin, teringat tempat berkumpulnya para Jamaah Tabligh( di Masjid Nizamuddin) dan saya sering temui Jamaah dari Malaysia di Nizamuddin. Di sini ada dijual daging kerbau yang tidak jauh bezanya dari daging lembu kerana kerbau yang disembelih adalah kerbau muda. Restoran-restoran di Nizamuddin juga boleh kita jumpai Nasi Briani, Bukhari dan sebagainya.

Bulan puasa di sini amat meriah juga. Pada waktu malam Solat Tarawihnya penuh masjid dan pada kebiasaannya Solat Isya' akan diimamkan Imam Masjid, tetapi bagi Solat Tarawih diimamkan oleh kanak-kanak atau belia yang hafiz quran. Di Malaysia sekarang pun trend menjemput para huffaz menjadi Imam Tarawih telah berkembang. Ahli Jamaah terutama golongan kaya muslim sentiasa memberikan derma dalam bulan berkat ini sama ada makanan atau wang. Pendeknya kemurahan rezeki bulan mulia ini amat dihargai oleh para gelandangan atau fakir miskin yang mendatangi masjid.

Kemeriahan dan pergaulan dengan masyarakat setempat membuatkan hati lupa bahawa kami berpuasa sebulan di New Delhi. Kemesraan semasa bertegur sapa setelah selesai Solat Tarawih benar-benar menjalinkan silatur rahim antara saudara sesama muslim. Sayangnya saya tidak sempat Solat Tarawih di Masjid Jame' Old Delhi iaitu masjid terbesar yang agak jauh sikit dari tempat kami tinggal. Dalam masa sebulan Ramadhan kami hanya solat di Masjid Hauz Khas sahaja. Walaupun agak kecil Masjidnya tetap diimarahkan oleh masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment