Wednesday, June 9, 2010

Selamat bermuktamar pimpinan PAS


Kalau pada bulan lepas (28-30 Mei)Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan Kongres Nasional nya yang ke-6 di Kota Bharu dan pada bulan ini bermula esok 9 Jun - 12 Jun PAS mula akan bermuktamar iaitu Muktamar ke-56 di PUTIK, Pengkalan Chepa. Dan berkebetulan dengan cuti persekolahan, tentu sekali Kota Bharu akan dipenuhi orang ramai. Hotel juga Rumah Penginapan tentu sekali penuh dan tempat-tempat perniagaan akan rancak urus niaganya.

Kongres dan Muktamar sebegini sekali sekali boleh diadakan di luar Kuala Lumpur, dan bagi PR elok juga sesekali diadakan di negeri-negeri tertentu. Elok juga jika DAP membuat mesyuarat agungnya di Kota Bharu dan pada tahun depan ketiga-tiga parti PKR,PAS dan DAP boleh pula buat mesyuarat agung masing-masing di Pulau Pinang atau Kedah.

Kalau ini terjadi tentu sekali menampakkan kesepakatan yang baik, di samping memberi keuntungan perniagaan pada negeri-negeri yang diadakan mesyuarat agung atau muktamar itu. Pada tahun ini tentu Kelantan mendapat keuntungan kerana PKR dan PAS mengadakannya di Kota Bharu.

Sempena dengan muktamar ini saya ucapkan selamat bermuktamar buat pimpinan PAS semua peringkat terutama teman-teman yang menduduki saf pimpinan. Semoga ianya berjalan dengan baik dalam merangka hala tuju perjuangan Islam yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Selamat bermuktamar.

Isu Yahudi dan Judi di Stadium Selayang malam tadi


Selepas solat isya' di surau, malam ini agak berlainan sedikit dan jumlah makmun agak ramai melebihi 3 saf seperti kebiasaannya. Dan ramai yang kami anak kariah tempatan tidak kenali dan antaranya ramai yang berseluar bukannya kain pelikat walaupun ada yang memakin baju Melayu berseluar biasa serta kopiah putih.

Rupanya mereka adalah dari Taman Bolton, Batu Caves dan juga mereka dari kawasan Seri Gombak. Menurut mereka satu ceramah yang sepatutnya diadakan di Dewan Orang Ramai di Taman Bolton telah diarah dibatalkan. Malah 4 orang pimpinan pemuda PAS Gombak telah ditahan polis berkaitan dengan penganjuran ceramah ini. Bagi mengadakan dan menyelamatkan rancangan ceramah itu, stadium MPS Selayang digunakan sebagai gantinya.

Walaupun pemindahan tempat diadakan dalam waktu singkat kira-kira 1-2 jam sahaja, tidak membantut kehadiran orang ramai. Kira-kira 1500 orang hadir dalam ceramah malam tadi yang mana penceramah utamanya DS Anwar Ibrahim, Tok Guru DS Abdul Hadi Awang, Datuk Mahfuz Omar dan YB Dr. Tan Seng Giaw serta 2 sukarelawan Malaysia yang terlibat dengan penahanan oleh Rejim Israel , Sdr Jamaluddin Elias dan Sdr Mustafa Mansor.

Isu utama ceramah pada malam tadi berkisar pada kekejaman yahudi dan juga isu judi. Malah apa yang menariknya, Dr. Tan Seng Giaw telah membaca petikan makna dari Al-Quran , surah Al-Baqarah (kalau tak silap ayat 219) berkenaan larangan judi dan minum arak oleh Allah SWT. Mungkin ini kesannya apabila pemimpin Cina DAP berkawan dengan PAS, dan mereka mula memahami Islam. Ini juga satu tempelak pada orang Melayu dan juga pemimpin Melayu yang terlibat dengan isu -isu ini.

Walaupun pada malam tadi kehadiran bukan Melayu terutama Cina dan India tidaklah ramai tetapi ulasan Dr Tan tentang judi itu telah memukau orang Melayu; betapa Cina juga tidak mahu pada judi. Beliau juga sempat berseloroh berkenaan tauke judi Vincent Tan dengan mengatakan, "bukan semua Tan itu jahat dan kaki judi" sebab dia pun Tan juga, dengan disambut deraian ketawa orang ramai.

Umumnya majlis ceramah malam tadi yang berlaku secara "bidan terjun" di Stadium MPS tetap dihadiri ramai dan dapat memberikan hebahan tentang penentangan isu judi bola sepak dan juga isu kekejaman Israel serta kekesalan pihak kerajaan Persekutuan yang masih lagi berurusan dengan entiti haram Israel di sebalik nama perdagangan seperti mana ulasan oleh Sdr Mahfuz Omar. Malah kerajaan Malaysia masih belum menamatkan kontrak dengan APCO Worldwide yang ada kaitan dengan yahudi itu.

Sunday, June 6, 2010

Judi bolasepak: TS Vincent Tan merayu kerajaan Pakatan


Berita hari ini Jutawan Vincent Tan telah membuat rayuan pada negeri-negeri Pakatan yang terdiri dari Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang tidak membenarkan premis judi bolasepak Piala Dunia di negeri masing-masing. Beliau dilaporkan akan berjumpa dengan ketua kerajaan negeri-negeri tersebut. Di tambah dengan negeri Kelantan yang sememang dari dahulu tidak membenarkan apa-apa judi sekalipun , jumlahnya ada 4 buah negeri.

Setakat ini negeri Pulau Pinang telah memberi maklumbalas awal yang menolak rayuan itu. Tidak cukup dengan itu beliau juga dikatakan akan memberi sumbangan hampir setengah billion pada badan kebajikan keuntungan dari syarikat judinya.

Nampaknya beliau telah mula nampak "kesan" daripada negeri-negeri yang tidak bersetuju denmgan judi bolasepak ini. Keuntungannya nanti akan banyak berkurangan apabila 4 buah negeri ini gagal dimasuki syarikat judi bolasepaknya' sedangkan sepak mula ada 3-4 hari lagi.(bermula Piala Dunia)

Walaupun kerajaan Persekutuan telah meluluskan judi bolasepak pada syarikatnya, lesen untuk premis judi itu terletak di bawah kerajaan negeri pula. Ini yang membuatkan taikun judi itu pening kepala, bimbang tak dapat kaut untung yang besar. Lebih-lebih lagi di negeri Pulau Pinang yang majoriti masyarakat Cina yang disifatkan suka berjudi( ramai juga Orang Cina yang tak suka judi). Negeri jiran Kedah juga tak mahu bagi lesen premis itu...tak kan peminat judi nak kena pergi sampai Perlis!

Dalam Mingguan Malaysia hari ini TS Harussani Zakaria , Mufti Perak juga telah menulis panjang lebar tentang judi termasuk judi bola sepak ini. Biasanya kerajaan akan "mendengar" nasihat dari mufti yang agak kanan ini. Agaknya apakah MB Perak juga akan turut serta tak mahukan judi bola sepak ini di Perak? Beranikah beliau!

Saya kira kalau kerajaan betul-betul "mendahulukan rakyat", dengarlah keluhan rakyat. Demonstrasi telahpun diadakan membantah judi bola ini, semua menentangnya. Pihak parti-parti opembangkang yang menguasai beberapa negeri juga menyatakan tidak setuju, hanya kerajaan BN sahaja yang bersetuju meluluskannya. Saya percaya kalau dibuat referendum seluruh negara pun, nescaya rakyat menolak judi bola ini.

Kalau semasa menarik balik cadangan Cukai GST dulu dari dibentang di parlimen, atas aalasan menghormati pandangan rakyat yang membantahnya, apakah kali ini tiada "ruang ihsan" bagi kerajaan untuk menarik balik kelulusan judi bola sepak itu? Masanya masih ada sehingga jumaat ini apabila sepakmula Piala Dunia bermula.
Wallahu a'lam

Friday, June 4, 2010

Apabila sindrom "kerajaan belum membuat keputusan muktamad" menjangkiti PM


Dalam beberapa perkara dasar terakhir ini pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Sri Mohd.Najib Tun Razak telah beberapa kali membuat kenyataan bahawa "kerajaan belum membuat keputusan muktamad" mengenainya. Apakah ini satu trade mark baru beliau bagi menjawab soalan sukar atau soalan "mengena" para wartawan.

Dalam perkara berkenaan Dasar Baru Ekonomi, apabila pertubuhan NGO PERKASA telah membantah keras peminggiran agenda Melayu, Najib menjawab bahawa dasar itu belum lagi muktamad. Begitu juga dalam soal kelulusan Judi bolasepak Piala Dunia juga belum muktamad dan kerajaan masih lagi mengkaji, walaupun ada sumber menyatakan ianya telah diluluskan. Manakah satu yang benar!

Kalau kerap sangat perkara "belum muktamad ini", sampai bila ianya akan menjadi muktamad. Satu persoalan yang perlu pada jawabannya. Isu subsidi juga belum lagi muktamad walaupun kerajaan berhasrat membatalkannya atau sekurang-kurangnya mengurangkan subsidi kerajaan sebanyak RM 74 billion setahun itu. Cadangan mengenakan cukai GST juga masih difikirkan dan belum lagi muktamad apabila rakyat terbanyak menentangnya.

Diharapkan Najib jangan terlalu kerap sangat menggunakan perkataan "belum muktamad" ini, dibimbangi nanti terlekat badinya. Kalau zaman Tun Abdullah dahulu, perkataan "masih dalam kajian, atau belum dapat laporan" banyak diungkapkan dan menjadi sindirin pihak pembangkang. Dalam masa agenda 1Malaysia yang seakan kendur sedikit pada masa ini, janganlah Najib memberikan ruang atau peluang pihak musuh politiknya sama ada diluar atau di dalam menmdapat "bola tanggung" bagi smash balik pada beliau. Dan antaranya ialah perkara "belum muktamad" ini, sehingga ada yang kaitkan perlantikan Datuk Syed Hamid Albar menjadi Pengerusi Lembaga Tabung Haji antara bukti "belum muktamad itu" kerana apabila ada campurtangan orang kedua dalam keluarga, perlantikan itu "terbatal" dan digantikan dengan Sed Hamid dilantik menjadi pengerusi Suruhanjaya lain pula.

Sebagai peneraju kerajaan, beliau perlu membuat keputusan yang tegas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dan sebarang keputusan hendaklah menyebelahi rakyat terbanyak bukannya para cukong ekonomi atau pengampu politik yang sentiasa mencari peluang memperkayakan diri dan kroni.

Untuk itu agenda pembangunan dirintis Allahyarham Tun Razak bapanya adalah antara model terbaik untuk beliau ikuti bukannya model yang dibisikkan oleh sesetengah para penasihat atau orang disekelilingnya. Wallahu a'lam.

Antara ROKOK dan agenda Yahudi


Pada hari ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan anda semua perkara berkaitan rokok. Ini bukan kerana saya telah berhenti dari tabiat buruk ini yang menyebabkan saya berani berkata demikian. Malah sebelum ini pun bila kawan sindir saya, bahawa merokok memperkayakan Yahudi, saya jawab saya hisap rokok keluaran Indonesia - Gudam Garam yang tak ada kena mengena dengan Yahudi.

Sebenarnya saya pernah berhenti dahulu hampir 2 bulan juga tetapi entah bagaimana sambung semula. Tetapi kali ini biarlah ianya berkekalan, dan sehingga saat ini hampir sebulan lebih. Yang penting sekali kesihatan saya semakin baik sekarang sejak meninggalkan tabiat buruk itu. Ini kerana ada kawan yang mempersoalkan datuknya atau neneknya masih sihat dan panjang umur pun walau merokok. Bagi saya ajal dan maut itu adalah urusan Allah.

Berbalik pada isu rokok yang dikaitkan dengan yahudi. Ini kerana syarikat Yahudi adalah pengeluar dan pengedar terbesar rokok di dunia. Antara jenama terkenal di Malaysia termasuklah Mallborough,Bensons & Hedges, Saleem, dan sebagainya itu adalah keluaran syarikat Yahudi. Kawan saya pernah katakan pada rakan-rakan lain, "tak usahlah kamu nak berdemo lawan Israel kalau tak mampu nak berhenti merokok". Begitu sinis sekali kata kawan itu yang "menusuk kalbu". Ada kebenarannya juga kata-katanya itu.

Untuk itu fikir-fikirkanlah, dan yang penting sekali ialah kesihatan dan juga fatwa pengharamannya juga telah dikeluarkan walaupun tidak dikuatkuasakan dengan tegas. Walau bagaimanapun berdasarkan suasana keadaan politik dan juga senario anti Israel hari ini baiklah kita sama-sama berhenti MEROKOK bagi semua rakyat Malaysia. Ianya tidak menyumbangkan kekayaan pada syarikat Yahudi itu, di samping menjimatkan wang kerajaan Malaysia khususnya Hospital yang merawat penyakit ekoran penyakit akibat merokok.

Di bawah ini saya kepilkan satu artikel dari blog Tranungkite yang begitu baik ulasannya tentang sudut agama Islam dan aspek kesihatan ekoran rokok; dan sekali lagi saya menyeru dan mengajak semua rakan yang masih merokok agar BERHENTI MEROKOK demi agama dan kesihatan kita. Jangan bantu YAHUDI itu.

Kesan & Akibat Tabiat Merokok. Bahaya Kandungan Rokok Kepada Perokok & Orang Di Sekeliling Pengenalan

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :

1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)

2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)

3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)


Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.


Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :

- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :

- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak


Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.


Faedah Berhenti Merokok

- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat