Blog Archive

Saturday, September 5, 2009

H1N1: Penurunan kesnya sebagai Rahmat Allah sempena Ramadhan


Banyak perkara yang berlaku kadang-kadang di luar jangkaan dan pemikiran kita. Kadang-kadang ia berlaku kerana Allah mahu memperlihatkan kebesaran-Nya kepada kita supaya kita sentiasa berfikir serta mematuhi perintah-perintah Allah. Bayangkan sebelum Ramadhan boleh dikatakan setiap hari ada kes kematian akibat H1N1 atau Selsema Babi ini, sekurang-kurangnya 2 atau 3 kematian sehari.

Namun apabila tiba sahaja bulan Ramadhan dari 1 hingga 4 Ramadhan tiada kes kematian dalam negara berlaku. Menakjubkan bagi mereka yang berfikir dan yakin dengan kebesaran Allah SWT. Benarlah apa yang disebut dalam hadis bahawa pada permulaan Ramadhan adalah rahmat Allah, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya terlepas dari api neraka. Selepas itu ada satu dua kes kematian sahaja dan sehingga 15 Ramadhan kes kematian akibat Selsema babi kekal 73 orang.

Kalau nak dikirakan, berapa ramai orang berkunjung ke Bazar Ramadhan yang ada disegenap pelusuk tanah air yang boleh menyebabkan merebaknya virus ini. Tetapi ia tidak berlaku, syukur kita kepada Allah SWT atas rahmatNya sempena Ramadhan ini. Saya teringat menjelang Ramadhan dulu ada ura-ura dan pendapat dari pihak Kementerian Kesihatan supaya Solat Tarawih di Masjid dan Surau dicadang dilakukan dirumah sahaja bagi mengelak berlakunya penyebaran wabak ini. Ini memandangkan sekolah dan kolej sebelum ini pun ditutup bagi mengelakkan penyebaran wabak maut ini.

Sekali lalu cadangan itu munasabah sama ada dari segi fiqahnya dan juga mudaratnya, kerana Solat Tarawih hanya sunat sahaja dan boleh dilaksana dirumah. Tetapi apabila pada event lain seperti konsert hiburan dan sebagainya tiada pula cadangan supaya dibatalkan kerana dibimbangi penularan wabak ini. Nah, begitu naifnya pemikiran kita dalam hal ini yang tidak berpandukan agama.

Sekarang ternyata Solat Tarawih pada Ramadhan tidak menyebabkan menularnya wabak ini. Rahmat Allah mengatasi segala-galanya dan dalam hal ini sebagai muslim kita perlu yakin dengan pertolongan Allah SWT. Untuk itu juga ura-ura membatal atau mengurangkan jemaah haji dari berhimpun di Makkah dalam urusan mengerjakan haji dan umrah juga tidak perlu. Yakinlah akan pertolongan Allah di samping kita berikhtiar bagi menanngani wabak ini.

No comments:

Post a Comment