Saturday, February 13, 2010

Harga sebuah "keterbukaan" dalam politik dan organisasi


Dalam dunia siber yang tanpa sempadan hari ini, banyak pertukaran maklumat berlaku dengan begitu pantas sekali. Penyebarannya juga berlaku selaju-lajunya tanpa dapat disekat lagi. Pandangan dan ide dapat dikongsi di seluruh pelusuk dunia. Itulah dunia tanpa sempadan yang telah "menggerhanakan" dunia persuratkhabaran tradisional.
Cuma yang peliknya golongan wartawan khususnya media arus perdana seakan membuatkan tidak menyedarinya atau pura-pura tidak sedar kerana masih dibelenggu tahap pemikiran lama atau sememangnya mereka dikongkong oleh Ketua Editor yang memanipulasi berita yang dituliskan.

Di negara jiran Indonesia lewat beberapa tahun lalu berlaku gelombang "reformasi" yang bukan sahaja mencorakkan suasana politik yang lebih terbuka, malah dalam media pun mereka lebih terbuka daripada kita. Daripada satu segi ia ada kebaikannya, cuma dari beberapa segi lain ianya mungkin dapat diperbahaskan lagi. Sejak Pak Habibie menjadi Presiden, dan di zaman Allahyarham Pak Gus Dur, keterbukaannya agak ketara sekali khususnya setelah tumbangnya Rejim Soeharto dahulu. Dalam negara juga ada tempiasnya, sejak Tun Dr.Mahathir mengundurkan diri, Pak Lah telah membawa era keterbukaan sedikit dan Datuk Seri Anwar dibebaskan dari Penjara.

Dalam PRU12 berlaku gelombang besar yang banyak menghanyutkan BN dan bila BN tidak lagi memonopoli kuasa, berlaku sedikit keterbukaan dalam pandangan-pandangan politik dan juga penyebaran maklumat, hingga isu penggunaan nama Allah juga telah mula diperdebatkan oleh masyarakat umum. Apakah ini "harga keterbukaan" yang terpaksa dibayar? Saya tidak mahu mengulasnya, tetepi saya percaya ianya akan dapat diselesaikan dengan baik dengan syarat ketepikan kepentingan politik masing-masing dalam perbincangannya dan jangan ada usaha mendapatkan "mileage" politik dari isu ini terutama sekali pemerintah dan juga lawannya.

Kita dapati juga keterbukaan ini telah menular jauh ke dalam organisasi politik khususnya PKR dan PAS dan juga UMNO sendiri. Sebelumnya kita tidak terbayang bagaimana seorang ahli UMNO dan pemimpinnya sendiri seperti YB Tengku Razaleigh Hamzah boleh berceramah di pentas PAS bersama para pemimpin PAS. Kalau di barat ianya tidak heran lagi kerana dalam Parlimen pun tidak semestinya Ahli Parlimen menyokong partinya dan tidak ada tindakan pun dikena ke atasnya. Di Malaysia lain pula amalannya, Ahli Parlimen BN misalnya mesti sokong sesuatu usul partinya walaupun "tidak setuju" sekalipun , kalau tidak alamat gelap masa depan. Inilah yang membezakan politik di Malaysia dengan di barat walaupun mengakui demokrasi berparlimen kita meniru ala westminster itu.

Kita berharap semua pihak menyambut baik keterbukaan ini, dapat dapat menguruskannya dengan baik. Dalam PKR sehari dua ini berlaku penghijrahan meninggalkan parti itu, dan anggaplah lah ianya "kemucut" dalam perjuangan. Mana-mana yang gugur di tengah jalan biarkanlah kerana parti akan dianggotai oleh mereka yang benar-benar ikhlas berjuang. Dalam PRU13 kelak pastikanlah calon adalah mereka yang iklas dan mempunyai sifat "tsiqah" dalam perjuangan.

Isu Jawatankuasa Disiplin dalam PAS juga sedikit sebanyak ada kaitannya dengan keterbukaan politik hari ini. Betul organisasi ada saluran bagi menyampaikan teguran, tetapi bagaimana jika teguran mengikut saluran tidak diambil peduli. Lalu laman bloglah yang menjadi medianya. Teguran itu jika ada asasnya, adililah dengan baik bagi memuaskan hati semua pihak. Saya kira di sini, kita belum lagi " berlapang dada" dalam menerima kritikan dan teguran. Budaya Melayu masih tebal sebenarnya, sebarang teguran menyentuh "status quo" dilihat sebagai tidak elok.

Persepsi ini memakan masa untuk mengalami transformasi. Dan saya yakin budaya Melayu ini akan sedikit terhakis sedikit masa lagi. Ambillah contoh baik dari "barat" yang boleh bertegang leher dan berbalah dalam sesuatu perbincangan, tetapi akan akur bila keputusan dibuat. Tetapi keputusan itu biarlah wajar dan tidak berat sebelah. Kita telah banyak belajar sama ada dalam pembacaan atau usrah dan sebagainya tentang sikap Saiyyidina Ali dalam perbicaraan mengenai baju perangnya yang ada di tangan yahudi yang Ali tidak dapat memberi pembuktian dan juga sifar rendah diri Sayyina Umar. Tetapi untuk menghayatinya , itu perkara yang agak sukar.

Apapun saya kira semua pihak khussunya para pejuang Islam istiqamahlah dalam perjuangan dan ikhlaskan diri sebaik mungkin. Sifat wala' yang ada yang persoalkan itu pun juga perlu ada selagi mana ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.
Salam perjuangan. Wasallam.

No comments:

Post a Comment