
Keputusan PMR telah diumumkan. Seramai 28,188 orang pelajar telah mencapai semua A dalam mata pelajaran yang diambil, berbanding dengan 26,378 pada tahun lalu. Ini menampakkan satu pertambahan iaitu sebanyak 2.78 peratus dan marilah kita ucapkan tahniah pada kejayaan anak-anak kita itu.
Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah betapa kita telah berjanji pada anak-anak kita bagi memberangsangkan mereka untuk berjaya. Dan apabila telah berjanji itu, apabila mereka telah berjaya seharusnya ditunaikanlah apa yang telah dijanjikan, lagi pun mereka anak-anak kita juga. Janganlah berjanji sahaja sebagaimana "orang politik" berjanji, yang amat sukar untuk ditunaikan kecuali semasa dekat dengan pilihan raya.
Oleh itu janji yang telah kita buat dengan anak-anak kita itu mesti ditunaikan segera semasa mereka masih lagi bergembira dengan kejayaan itu. Seperti mana kata orang tua-tua , sekiranya kita mengupah orang melakukan sesuatu kerja, maka semasa peluh masih menitik itu lebih afdal untuk diberikan upahnya. Samalah juga dengan apa yang kita janjikan dengan anak-anak kita itu, pada masa inilah sepatutnya kita menunaikan segala janji itu supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar.
Kebetulan juga anak saya juga salah seorang yang mendapat 8A dalam PMR yang baru sehari dua diumumkan dan saya telah berjanji untuk membeli hadiah "handset" baru padanya. Dan janji itu telahpun ditagihnya dan Insya Allah pada esok hari saya akan membawanya ke kedai bagi membeli handset baru. Itulah anak-anak sekarang yang tidak lagi seperti kita masa dahulu yang mana hadiah seperti kasut, baju dan basikal pun sudah kira lumayan.
Tetapi anak-anak zaman ini telah berubah dan gemarkan sesuatu yang baru sesuai dengan perkembangan dunia moden pada hari ini. Dan bagi menggembirakan mereka serta memberikan semangat baru, terpaksalah menunaikan segala janji itu dengan harapan mereka akan lebih tekun lagi pada masa hadapan. Dan pemberian hadiah ini juga perlu juga diawasi supaya anak-anak kita itu tidak menggunakannya untuk tujuan yang tidak berfaedah.
No comments:
Post a Comment