
Walaupun media arus perdana dan juga musuh-musuh politiknya memainkan isu peralihan kuasa supaya Menteri Besar Kelantan itu berundur, namun kenyataan tegas Tok Guru, beliau tidak akan berundur selagi parti PAS mahukan khidmatnya. Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh pihak media hari ini. Selagi PAS dan juga rakyat Kelantan mahukan kepimpinannya beliau akan terus memimpin Kelantan
Kalau setakat UMNO mendesaknya berundur, Tok Guru menyatakan itu memang kerja UMNO dan telah lama UMNO memintanya berundur dan terbaru dalam demonstrasi di depan pagar Kompleks Darulnaim baru-baru ini. Tetapi kalau PAS memintanya berundur, beliau akan akur. Beliau juga mengakui , banyak kerja-kerja pentadbiran negeri diberikan pada Dato' Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar. Beliau juga menyatakan "mengikut hirarki" parti PAS di Kelantan pun Dato' Ahmad Yaakob paling kanan.
Penegasan Tok Guru ini membayangkan telahpun ada perancangan pelan peralihan sekiranya beliau perlu berundur. Dua orang lagi nama yang disebut-sebut ialah Datuk Husam Musa dan Dato' Nik Mohd Amar Abdullah. Namun kedua-duanya telah menyatakan "tidak mahu" pada jawatan itu. Husam menyatakan beliau tidak akan menerima jawatan MB walaupun jika ditawarkan dan Nik Amar juga sedia menyokong Dato' Ahmad Yaakob selalu tokoh paling kanan dalam parti. Namun dalam soal Ahmad Yaakob, Tok Guru juga ada menyatakan soal orang ramai boleh terima atau tidak itu wallahu a'lam. Tetapi dari segi hirarki dan logiknya dia adalah calon utama.
Namun Ahmad Yaakob telah "diganggu dengan nakal" apabila pejabatnya diserbu oleh para peniaga di Kota Bharu berkaitan Bazar Tok Guru dan bloger Kickdefeela ada menulis bagaiamana dalam peristiwa itu "terpacul perkataan bodoh" yang katanya dari Timbalan Menteri Besar itu tetapi tidak dapat dipastikan ia dituju pada para peniaga atau merujuk pada suasana pertemuan "hangat" itu (seolah-olah satu kerja bodoh datang menyerbu pejabat TMB). Apakah ini "suara nakal" untuk menggerhanakan kekananan Ahmad Yaakob untuk menjadi Menteri Besar. Sedangkan sebelum ini beliau terkenal sebagai seorang yang penyabar dan lemah lembut orangnya.
Apapun, rasanya PAS Kelantan tidak ketandusan pengganti Tok Guru sekiranya beliau terpaksa berundur dalam masa terdekat ini sama ada disebabkan kesihatannya ataupun bagi memberi peluang pada pelapis yang telah dibentuk sebelum ini. Dalam PRU 13 nanti Kelantan akan tetap dapat dipertahankan walaupun Tok Guru berundur dari pentadbiran negeri. Dan seeloknya walaupun beliau berundur, jadikanlah sebagai Penasihat kerajaan negeri dan pada paeringkat nasional beliau telah menyatakan kesanggupannya untuk menjadi " Spiritual Leader" kepada Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment