
Selepas dipecat dari partinya PKR, YB Zulkifli Nordin Ali Parlimen Kulim-Bandar Baharu kelmarin mengumumkan dia menjadi Ahli Parlimen Bebas setelah "test market"nya pada PAS ditolak bulat-bulat oleh kebanyakan pemimpin kanan parti PAS, sehinggakan beliau menggelarkan " badut hingusan" pada beberapa pemimpin PAS yang terang-terang menolaknya dalam PAS.
Dan yang lebih menghairankan lagi pada hari ini parti GERAKAN yang juga komponen BN telah menggesa UMNO supaya jangan terima YB Zul dalam UMNO. Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan menggesa UMNO dan Barisan Nasional supaya jangan menerima YB Zul kerana beliau disifatkan oleh Dr Teng sebagai "pelampau agama dan rasis". Itu adalah pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga sebagai Naib Presiden Gerakan. Bagaimana pun apa yang ingin diketengahkan di sini bukannya tuduhan " sebagai pelampau agama dan rasis"(yang masih boleh dipertikai) itu tetapi soal parti komponen BN sendiri yang turut menggesa UMNO dan BN jangan terima YB Zul.
Jadi bermakna YB Zul besar kemungkinan akan kekal Bebas sehingga tamat tempoh penggal parlimen dalam dalam PRU 13 nanti apakah beloiau akan bertanding sebagai calon Bebas atau berundur terus dari arena politik. Kalau beliau bertanding Bebas pun rasanya sukar untuk menang dalam pertarungan 3 penjuru, UMNO-BN, PKR dan Bebas. Itulah nasib yang menimpa beliau bila tidak sehaluan dengan parti. Dalam politik di Malaysia tidak ada lagi calon Bebas sama ada MP atau ADUN yang menang selama beberapa penggal kecuali Cikgu Jabar di Batu Laut, Selangor dahulu.
Ini juga seolah satu tamparan pada pandangan awal TPM Tan Sri Muhyiddin bahawa pintu UMNO sentiasa terbuka sesiapa sahaja yang ingin menjadi anggotanya termasuk YB Zulkifli. Kalau anggota BN sendiri sudah menentang kemasukannya ke dalam UMNO-BN, agak sukarlah untuk UMNO menerima Zulkifli. Keadaannya seolah semacam "ayam tak patuk, itik tak sudu" menimpanya dan selepas PRU13 kelak hilanglah riwayat YB Zul sebagai seorang ahli politik, jika tiada mana-mana parti yang sudi menerimanya.
No comments:
Post a Comment