Saturday, May 28, 2011

Najib: Sendayan, pangkalan baru TUDM ganti Sg Besi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menamakan kawasan Sendayan di Negeri Sembilan sebagai pangkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan pangkalan TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Sendayan terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban.
Najib mengumumkan perkara itu ketika ditanya pemberita selepas selesai melawat Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu atau saiz pengkalan yang bakal dibina.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berada dalam sesi media yang sama berkata: "Satu pengumuman yang lebih lanjut mengenainya akan dibuat nanti,".

Akhbar hari ini memetik Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud sebagai berkata lokasi pangkalan udara baru itu telah dikenal pasti tetapi enggan menyatakan lokasinya kerana kontrak mengenainya akan ditandatangani pertengahan Jun.

Katanya TUDM akan menjadikan pangkalan itu sebagai pangkalan latihan dan menempatkan unit-unit latihan yang terdapat di setiap pangkalan udara di seluruh negara di satu lokasi sahaja.

Sementara itu dalam isu lain, Najib memberitahu, kerajaan akan melaksanakan strategi baru untuk memastikan saiz kakitangan awam yang bersesuaian.

Pada masa sekarang, terdapat pembekuan selama tiga bulan dari pengambilan kakitangan baru untuk menggantikan jawatan-jawatan kosong, katanya.

Saiz yang bersesuaian ini akan memberi manfaat kepada negara iaitu para pegawai dan kakitangan yang lebih produktif.

"Ini juga bermakna kakitangan kerajaan akan mendapat ganjaran yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Di atas adalah petikan dari berita malaysiakini, bagaimana perkara yang diwar-warkan sebelum ini khususnya oleh pembangkang telah menjadi nyata. Persoalannya yang rakyat perlu ketahui ialah bagaimana "deal" yang dibuat bagi memajukan tapak tanah di Sungai Besi. Apakah ianya menguntungkan kerajaan atau "mengkayakan" sesetengah kroni.Sekiranya perkara ini terjadi tanpa sesuatu tender terbuka secara telus, maka pihak kerajaan akan menerima akibatnya apabila dijadikan modal oleh pembangkang.

Apa pun alasannya, pihak kerajaan akan menerima akibatnya dari tindakan ini. Rakyat sekarang sedang memerhati denmgan teliti tindak tanduk kerajaan yang pada sesuatu masa meminta rakyat memahami kesulitan kerajaan, dan masa yang lain nampaknya kerajaan terlalu memanjakan syarikat kroni. Lihat sahaja persoalan IPP yang mendapat subsidi petroleum dan gas hampir RM 19 billion , sedangkan rakyat biasa dihapuskan subsidi peringkat demi peringkat.

Untuk itu perkara ini perlu dilakukan dengan telus dan jangan menampakkan ianya memberi kerugian pada kerajaan , dan lebih-lebih lagi menampakkan memberi projek pada kroni. Wasallam.

No comments:

Post a Comment