
Alkisah timbul lagi tuduhan yang tidak sedap didengar itu terhadap Malaysia. Rasanya telah banyak kali tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan kepada Malaysia oleh negara jiran Indonesia itu. Dalam masa lain apabila mereka berdiplomasi dan inginkan sesuatu mereka akan katakan Malaysia dan Indonesia adalah "negara serumpun" dan banyak lagi kata-kata manis yang lain. Namun apabila mereka marah akan Malaysia, lain pula kata-katanya.
Kalau semasa PEMILU Presiden pada JUlai lalu, mungkin ahli-ahli politik mereka ingin menunjukkan kejuaraan dengan memperli Malaysia sehingga ada ahli politik yang mempersoalkan isu Ambalat dengan emosi hatta mengatakan Indonesia sedia berperang dengan Malaysia demi Ambalat. Begitu juga kata-kata pedas dilempar ekoran penderaan tenaga kerja Indonesia di Malaysia sehingga penghantarannya diberhentikan sementara.
Namun Malaysia tetap tidak menunjukkan tindak balas secara emosi tetapi secara berunding demi semangat bangsa serumpun itu. Dalam posting saya yang lalu pada 20 Jun 2009 di bawah tajuk " Berita Dari Seberang 1" ada budayawan Indonesia yang mempersoalkan "Naskhah kuno Indonesia digelapkan ke Malaysia" . Mengikut budayawan itu "pemboyongan cagar budaya asli Indonesia tersebut" telah lama berlaku terutama naskhah-naskhah dari Riau.
Nah, sekarang isu berkenaan timbul semula bila Indonesia mengatakan " Malaysia pencuri budayanya. Ini berikutan dalam promosi pelancongan Malaysia di Discovery Channel yang memuatkan Tarian Pendet yang merupakan satu tarian di Bali. Ahli politik yang juga wakil rakyat Bali lantas menggelar Malaysia " kurang ajar dan pencuri budaya". Agak keras kenyataannya itu dalam konteks hubungan antarabangsa apa lagi ia diucapkan seorang ahli politik pemerintah. Menteri pelancongan Indonesia juga menyatakan akan menyaman Malaysia kerana menggunakan tarian pendet itu dalam promosi pelancongan Malaysia. Bagi kerajaan Malaysia promosi ini bukannya dibuat oleh kerajaan tetapi oleh swasta, tetapi pada masa akan datang ianya juga perlu diperhalusi.
Sebelum ini juga timbul isu serupa iaitu Malaysia dituduh mencuri tarian barongsai, malah masakan seperti masakan padang, alat muzik angklong, pembuatan batek dan sebagainya adalah telat dicuri dari Indonesia. Betulkah begitu? Apa kata kalau India yang merupakan leluhur agama Hindu sehingga kini mendakwa Indonesia juga banyak mencuri budaya India. Tetapi apa yang nyata semasa saya berada di India selama setahun iaitu dari 1990-1991 dahulu, mereka bangga kerana agama Hindu dan adat budaya Hindu diamalkan di Bali, Indonesia.
Janganlah hanya kerana perkara kecil sahaja hendak diperbesarkan. Janganlah Indonesia berbaik-baik dan menganggap Malaysia negara serumpun ketika ditimpa bencana dan musibah sahaja seperti gempa bumi, tsunami dan lain-lain. Apabila memerlukan bantuan sahaja ingin bersahabat. Bagaimanapun dengan lebih 1 juta warga Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia dan dibawa pulang, Malaysia tidak pernah mempersoalkannya. Bagaimana dengan jenayah yang dilakukan warga Indonesia di Malaysia sama ada yang mmasuki secara haram atau sah yang semakin menjadi-jadi kini. Fikirkanlah sendiri sebelum membuat tuduhan yang tidak menguntungkan.