Thursday, May 13, 2010

Al-Fatihah, Ustaz Ashaari Muhammad kembali ke Rahmatullah


Bekas Ketua Al-Arqam yang pernah diharamkan Ustaz Ashaari Muhammad telah kembali ke Rahmatullah tengah hari tadi. Beliau sejak kebelakangan ini agak uzur tetapi masih gigih berusaha untuk mengembangkan dakwahnya serta menyatukan perniagaan kumpulannya. Bagi masyarakat Islam di Malaysia, beliau begitu besar juga jasa yang ditinggalkanya khususnya dalam bidang perniagaan khususnya peruncitan untuk orang Islam.

Walaupun beliau ditohmah dengan pelbagai, tetapi tidak melunturkan azamnya dan dengan kecekalan itu corak perniagaan kumpulan Arqam dan kini oleh kumpulan Ikhwan sentiasa mendapat sambutan masyarakat Islam dan bukan Islam. Niat mereka adalah ikhlas iaitu menyediakan kedai barangan yang halal bagi kegunaan orang Islam.

Walaupun tidak semua menjadi pengikut kumpulan ini tetapi rata-rata masyarakat Islam yang cintakan agamanya tetapi memberi penghormatan pada khidmat perniagaan kumpulan ini dan sentiasa memberi sokongan walau di mana sahaja. Semoga usaha ikhlas mereka mendapat ganjaran dari Allah dan Al-Fatihah kepada pengasas kumpulan ini Allahyarham Ustaz Ashari MUhammad.

Ashaari Muhammad meninggal dunia
Mei 13, 10 5:16pm

Bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada jam 2.10 petang kerana jangkitan paru-paru.
Menurut Utusan Malaysia Online, jenazah beliau akan dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.

Ashaari yang juga Pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di Ipoh dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Bernama memetik seorang kakitangan syarikat berkenaan, Marzuki Hussein bahawa jenazah Ashaari yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.



Katanya, Ashaari berada di Ipoh selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lalu selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkenaan sementara itu berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang tadi.

"Ini siri lawatan biasanya ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan," kata Marzuki kepada Bernama selepas jenazah Allahyarham Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di Ipoh.

Marzuki berkata rumah berkenaan adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau berlepas dari rumah berkenaan pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Kira-kira 200 pengikut Allahyarham turut berada di rumah berkenaan.

2 comments:

  1. al fatihah.mge abuya tenang disana.amiin

    ReplyDelete
  2. terima kasih, sama-sama kita doakan beliau digolongkan bersama orang-orang soleh..amin

    ReplyDelete