Friday, November 6, 2009

Wang Ehsan Kepada Kelantan Ganti Royalti?


Pada dua hari lepas PM DS Najib semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat telah menyatakan bahawa Kelantan akan diberikan Wang Ehsan mulai tahun 2010. Daripada satu segi tuntutan royalti minyak yang dibuat oleh kerajaan Kelantan sebelum ini nampaknya telah membuahkan hasil walaupun tidak seperti mana yang diharapkan.

Ini juga bermakna kerajaan Persekutuan telah menyedari dan mengakui rakyat Kelantan berhak untuk mendapat royalti itu kerana hasil minyak yang diperolehi dari perairan Kelantan. Namun jumlahnya tidak lagi dinyatakan sama ada 1 billion atau kurang ataupun lebih. Ini semua bergantung kepada banyak mana hasil minyak yang dikeluarkan dari perut bumi Kelantan atau perairannya. Kalau mengambil kira Perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Kelantan dan PETRONAS tahun 1975 dulu, Kelantan berhak memperolehi royalti sebanyak 5% seperti mana diperolehi oleh Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Walaupun pengumuman itu masih disambut dingin oleh kerajaan negeri, setatpi sekurang-kurangnya usaha awal telah berjaya. Apa lagi dalam pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini Pemangku Raja Kelantan telah bertitah berkenaan dengan royalti kepada Kelantan. Mungkin adanya Titah Diraja ini juga telah membuka hati kerajaan Persekutuan untuk memberikan Wang Ehsan kepada kelantan.

Rasanya rundingan masih boleh diadakan bagi mencari mekanisme yang terbaik untuk mengagihkan hasil ini kepada rakyat jelata negeri Kelantan sama ada menerusi Kerajaan Persekutuan seluruhnya atau kerajaan negeri seperti mana dalam perjanjian atau separuh-separuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan. JIka Wang Ehsan itu diberikan menerusi kerajaan Persekutuan sepenuhnya, ia mengundang pelbagai persoalan lain khususnya persoalan politik, walaupun pada ia seakan memberikan manfaat kepada UMNO Kelantan.

Bagaimana jika wang ini akan berlegar di sekitar elit UMNO tertentu dan kelompoknya sahaja sama ada melalui projek atau bantuan khusus. Ini akan memakan diri UMNO sendiri jika keadaan ini terjadi. usahkan untuk menarik golongan atas pagar atau penyokong PAS. Keadaan di Terengganu yang boleh diambil kembali UMNO dari PAS pada tahun 2004 yang dikatakan salah satu puncanaya kerana adanya Wang Ehsan tidak semestinya berjaya dilaksanakan di Kelantan.

Manakala bagi kerajaan negeri Kelantan, ruang untuk berunding masih lagi ada dan janganlah terus menolaknya apa lagi membatalkan perjanjian seperti yang diura-urakan oleh seorang dua tokoh politik PAS Kelantan. Kenyataan MB Tok Guru secara rasminya belum lagi keluar, tetapi diberitakan beliau akan tetap menunaikan "puasa nazarnya" selama 3 hari itu kerana berjaya memperolehi "royalti" itu.

Mungkin dalam masa terdekat ini Tok Guru Menteri Besar akan memperkatakannya dan diharapkan kedua-dua pihak berunding lagi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua belah pihak tanpa meminggirkan semangat federalisme. Kesediaan Perdana Menteri memberikan "Wang Ehsan " kepada Kelantan ini dalam masa yang tidak lama selepas tuntutan kerajaan Kelantan seakan memberikan "signal" bahawa kerajaan Persekutuan kini ditadbir oleh pemimpin lain yang tidak lagi menghukum rakyat Kelantan semata-mata atas dasar politiknya yang menyokong PAS. Ini telah memberikan sedikit kelainan dari PM yang sebelumnya. Apapun kita mengharapkan kerjasama yang semakin baik akan terjalin antara kedua-dua pihak demi kepentingan rakyat negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment