
Saya ingin memulakan persoalan mengenai politik Kelantan ini dengan persoalan di atas. Mengapa masih wujud lagi suara-suara yang berkumandang mendesak pengunduran segera CEO tersebut, sedangkan pelan asalnya Mac 2010. Ertinya telah ada pelan pemberhentiannya, tetapi masih lagi ada suara suara menghalau beliau segera. Penulis bukan bermaksud mempertahankan sesiapa tetapi cuba meninjau apa permasalahannya.
Memamng jawatan CEO itu agak panas. Ramai yang "mengidam" mendudukinya terutama mereka yang berkecimpung dalam politik termasuklah pemudannya. Dan jawatan itu juga mempunyai kaitan dengan Menteri Besar sebagai pengerusinya (Pengerusi PMBK) yang juga melambangkan perancangan dan hasrat MB sendiri bagi memajukan negeri Kelantan. Dan tentunya seseorang yang boleh menduduki jawatan itu adalah orang yang sangat dipercayai oleh MB. Seperti yang saya tuliskan sebelum ini kesilapan besar ialah semasa perlantikan Ariff Fahmi dahulu MB tidak mendapat nasihat sepatutnya yang mana atas merit apa sekalipun ahli keluarga tidak harus dilantik bagi mengelakkan " fitnah dan kecelaruan" pada masa hadapan. Kalau dahulu Tok Guru begitu cermat dalam hal ini dan entah mengapa kali ini beliau terlepas pandang atau tidak dinasihatkan.
Saya ada berbincang dengan beberapa Pegawaim Kerajaan Negeri yang menyatakan persoalan ini menampakkan ada pertentangan hala tuju antara dua kelompok ke atas PMBK ini. Dahulunya penguasaan seorang EXCO kanan amat dominan ke atas arah tuju PMBK ini dan boleh dikatakan memonopolinya dan apabila teraju PMBK ini dipegang oleh Arif Fahmi, ia mengubahnya bagi mengimbangi kuasa exco tadi dan menggerakkan hala tuju berbeza sedikit dan inilah yang menimbulkan pertentangan.
Cuma yang anehnya exco itu tidak pernah "membuka mulut" atas persoalan ini sekarang sejak ianya "terburai" selepas serangan blogger kickdefeela, salah seorang orang kepercayaan exco tersebut ekoran penamatan kontrek blogger itu dari PMBK. Ekoran dari itu bertimpa-timpa masalah muncul hinggalah kepada isu kerusi MB sendiri, hingga Menteri Besar menyatakan beliau telah ada penggantinya iaitu "orang paling kanan" dalam hirarki iaitu Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang. Sehingga itu ianya reda meskipun ada usaha nakal seorang bloger "mengusik" Ahmad Yaakob ekoran "keriuhan" perjumpaan beliau dengan para peniaga di pejabatnya.
Apakah ini juga usaha usaha bagi mensasarkan kerusi MB oleh golonagan tertentu itu? Ianya tidak dapat dipastikan, hanya orang politik yang boleh menjawabnya. Apapun nampaknya dari aspek persoalan "hala tuju" PMBK yang mahu didominasi golongan tertentu telah meleret pada kerusi MB sendiri. Apakah ini satu "bentuk" tekanan secara halus oleh golongan tertentu khususnya golongan pemudanya. Walau pun Zaki Ibrahim salah seorang ADUN yang juga bekas Ketua Pemuda Kelantan menafikannya ia satu tekanan, tetapi ramai yang kurang yakin dengan penafiannya. Apatah lagi beliau juga dikenali orang yang rapat dengan salah seorang exco kanan. Dan Zaki juga tidak menyokong Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz semasa perebutan jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang dimenangi Ustaz Abd Latif Abdul Rahman.
Terbaru Zaki seakan menempelak Nik Amalina kerana tulisan dalam blognya Seri Suri dikatakan terarah menyerang kepimpinan negeri dan menyatakan Nik Amalina tidak memahami "adat berjemaah". Apakah ini bermakna tulisan Nik Amalina juga telah dirasai oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Saya rasakan Nik Amalina terjun sebagai blogger tidak salah dan beliau bebas memberikan pandangannya dan beliau juga bukan seorang ahli politik yang mempunyai sebarang kepentingan. Beliau hanya mempertahankan maruah keluarganya yang diserang bertubi-tubi oleh blogger kickdefeela sahaja. Hatta selepas suaminya mengumumkan perletakan jawatan pun serangan masih ditujukan pada keluarganya.
Kebanyakan yang berkokok isu ini ialah para pemimpin muda seperti Datuk Mahfuz Omar dan juga Idris Ahmad. Atas alasan mahu menjaga integriti kepimpinan , mereka menghala serangan kepada Nik Amalina pula yang dikatakan "membuka pekung" dan mengundang musuh memanipulasi keadaan. Soalnya mereka juga bercakap atas isu yang hampir selesai, perletakan jawatan telah dibuat, cuma tarikhnya Mac 2010 dan mereka mahukan sekarang! Nah satu lagi persoalan...apakah ada insan yang terlalu "mengidam" kerusi ceo itu sehingga tidak sempat Mac 2010. Seorang pemimpin Pemuda Kelantan , Dr. Rosli Allani Abd Kadir yang beriya-iya mempersoalkan kelewatan berhentinya CEO PMBK telah "menerima" pukulan terpaksa meletak jawatan ekoran "masalah pernikahan" keduanya keluar di mahkamah.
Apakah "badi" kerusi CEO PMBK itu akan terkena pada pemimpin lain pula? sama sama kita tunggu dan Menteri Besar sendiri telah menyatakan "pelan perletakan jawatan" telah dibuat iaitu Mac 2010 ini dan direstui Pimpinan Atasan PAS, dan "mari Datuk mana sekali pun, beliau tak akan melayannya". Kenyataan agak keras Tok Guru ini telah menyebabkan Mahfuz Omar tersentak dari kenyataan awalnya dan tidak mahu komen lagi apabila ditanyakan soalan oleh Malaysian Insider.
Mungkin inilah yang disifatkan Nik Amalina dalam blognya, ada pemimpin "gatal mulut" membicarakannya di dada akhbar seolah mahukan publisi murahan. Sedangkan dalam hal yang lebih besar mereka tidak pula teruja memperkatakannya pada saat musuh politiknya UMNO berada dalam keadaan kelemasan ekoran pendedahan demi pendedahan kelemahan pentadbiran.
Pada perkiraan saya, isu ini akan lenyap sedikit masa lagi, dan kepimpinan MB Kelantan masih utuh dan disokong rakyat terbanyak. Mustahil usikan-usikan kecil seperti itu boleh membuatkan Tok Guru berundur dan sekiranya MB berundur awal sebelum PRU 13, satu petanda bahawa Kelantan bakal tumbang.