Sunday, October 18, 2009

Ibrahim Ali: Mengapa susah buat keputusan sertai UMNO


Semalam sepertimana dilaporkan berita MP Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sedang menimbang untuk menyertai UMNO kerana menurutnya UMNo kini telah berubah dan di bawah kepimpinan yang baru iaitu di bawah DS Najib. Kita boleh faham mengapa beliau berkata demikian, pertamanya pergeseran dengan PAS iaitu parti yang membenarkannya bertanding sebagai MP Pasir Mas dan keduanya beliau tidak dilantik semula sebagai Ketua Penaja UMNO Pasir Mas dahulu semasa Datuk Seri Abdullah Badawi(kini Tun).

Namun ramai yang tertanya-tanya mengapa begitu susah untuk beliau kembali kepada UMNO sehingga menyatakan beliau masih mempertimbangkannya dsn katanya lagi kalau dia masuk pun bukan dalam waktu yang terdekat. Ini menggambarkan seolah-olah ada "tarik tali" antara yang hendak memasuki UMNO dengan pihak yang akan menerima kemasukannya itu. Dengan PAS, nampaknya Ibrahim sudah boleh melupakan kerjasama antara keduanya kerana Tok Guru Menteri Besar Kelantan sendiri telahpun mengeluarkan kenyataan yang tegas meminta Ibrahim mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas jika benar Ibrahim gentlement. Pintu rundingan dan kerjasama dengan PAS nampaknya sudah tertutup rapat bagi Ibrahim dan mahu tak mahu beliau terpaksa "menginding" untuk kembali menyertai UMNO.

Persoalannya apakah UMNO Kelantan begitu mudah untuk menerima Ibrahim memandangkan rekod lampau beliau yang bertanding menentang UMNO dalam pilihan raya. Pada hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menerusi Ketuanya Bazlan Baharudin memeinta Majlis Tertinggi (MT) UMNO supaya membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan Ibrahim Ali bagi " mengelak pisang berbuah dua kali". Ini berbeza dengan ADUN Pengkalan Kubur Datuk Nor Zahidi yang seakan menyokong kemasukan Ibrahim bagi memperkuatkan lagi UMNO Kelantan, bahkan Beliau dikatakan rela memberikan kawasan yang diwakilinya untuk Ibrahim bertanding dalam pilihan raya.

Cuma suara dari Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad belum kedengaran lagi. Rasanya Tok Pa juga belum bersedia untuk menerima Ibrahim Ali memandangkan Ibrahim sebelum ini sering memperlekehkan Tok Pa terutama dalam bab mengadakan program besar UMNO. Dalam bab ini Ibrahim sering menyatakan dia lah sahaja yang dapat mengerahkan kehadiran orang ramai bagi menganjurkan program besar. Mungkin dalam hal ini ada kebenarannya kerana selepas dilantik Ketua Perhubungan UMNO Negeri Tok Pa belum lagi mengadakan program besar UMNO Kelantan. Dan mungkin juga stail Tok Pa berlainan dan program besar bukannya menjadi tumpuan beliau sebaliknya usaha memasyarakatkan UMNO dilakukan secara tersusun menersui program program kecil.

Ada juga kedengaran suara-suara nakal mengatakan Ibrahim terlalu "demanding" untuk memasuki UMNO dengan meletakkan syarat-syarat tertentu seperti kononnya meminta jawatan tertentu bagi beliau kembali pada UMNO. Kalau untuk jawatan Menteri atau Timbalan Menteri misalnya, "mengamuklah" orang UMNO kalau Ibrahim melawan UMNO tiba-tiba diberi jawatan itu bagi memujuknya kembali pada UMNO. Besar sangatkah pengaruh Ibrahim sampai begitu sekali ditatang kembali pada UMNO dan berjayakah UMNO tumbangkan PAS di Kelantan jika Ibrahim kembali pada UMNO. Semua ini perlu diambil kira oleh kepimpinan UMNO Kelantan dan juga Pusat dan juga pemberontakan dalaman UMNO di Pasir Mas jika Ibrahim diterima kembali.

Nampaknya dalam waktu terdekat ini kita tidak dapat melihat kemasukan semula Ibrahim ke dalam UMNO seperti katanya sendiri, dan juga sudah ada riak-riak yang menentang kemasukannya kembali bagi mengelakkan "pisang berbuah dua kali". Itulah harga yang terpaksa dibayar Ibrahim berikutan tindak tanduk politiknya yang tidak konsisten dan tidak istiqamah dalam perjuangan.

No comments:

Post a Comment