Monday, October 19, 2009

Perihal Dua Anak Musa Dari Kelantan



Saya tiba-tiba teringat kepada sebuah buku politik yang saya pernah baca suatu ketika dahulu yang kalau tak silap saya ditulis oleh Sdr MSO yang judulnya juga kalau tak silap Antara Dua Anak Musa. Terpampang juga pada kulit buku itu dua gambar orang berkenaan iaitu Datuk Annuar Musa (kini Tan Sri) dan juga Husam Musa (kini Datuk). MSO menghuraikan kedua-dua tokoh itu adalah ikon pada kedua-dua politik di Kelantan pada masa itu iaitu UMNPO dan PAS dan kedua-dua tokoh ini juga banyak mewarnai corak politik Kelantan sekurang-kurangnya pada waktu itu.

Kini kedua-duanya menjalani nasib yang agak berbeza sama sekali. Datuk Annuar Musa kini terpinggir dari arus politik Kelantan setelah tidak lagi memegang teraju Ketua Perhubungan UMNO dan nampaknya beliau lebih terserlah mengemudikan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan masa ini. Walaupun masih lagi sebagai Pengerusi KADA, firasat saya berat mengatakan beliau akan terus terpinggir kecuali beliau dapat menggerakkan para penyokongnya dan memenangi semula parlimen atau DUN dalam PRU yang akan datang. Itu pun jika namanya lekat sebagai calon dalam PRU itu. Jika tidak beliau akan kekallah sebagai Ketua Bahagian UMNO Ketereh, itu pun juga jika tidak ada sesiapa yang melawannya sebagai Ketua Bahagian.

Bagi Husam Musa pula selepas beliau gagal dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS baru-baru ini, telah menggencatkan sedikit populariti dan juga namanya dalam politik tanah air khususnya di kalangan penyokong PAS. Apakah tindakannya bertanding itu sebagai sesuatu yang gopoh atau sebaliknya saya tidak akan mengulasnya di sini, mungkin dalam posting yang akan datang. Ketokohannya sebagai calon pengganti Menteri Besar Kelantan juga akan sedikit tergencat dengan kekalahannya itu. Walaupun beliau masih lagi menduduki AJK PAS Pusat, tetapi perlantikan itu ibarat hadiah sagu hati sahaja.

Dipersada politik Kelantan sendiri pun nama Husam agak menurun ketika ini, apa lagi ada desas desus mengatakan beberapa teman pendokong kuatnya semakin meminggirkan diri dan berhenti berkhidmat dengan beliau. Lantas bagaimanakah beliau akan memacu kekuatan politiknya bagi menduduki kerusi MB Kelantan jika orang-orang kuat seakan meminggirkannya. Dan buat masa ini "calon" bagi menduduki kerusi MB Kelantan masih lagi "terbuka" dan tidak mustahil akan ada tokoh lain akan mengisinya berikutan kesuraman politik Husam Musa pada masa ini.

Saya masih lagi ingat sewaktu berbual dengan Gemulah Ayahanda Saufi Kuchelong pada suatu tengahari di Kedai Makan Sumatera Pak Mi. Ayahanda adalah seorang yang pernah terkedus hati dengan Husam, tetapi pendapat yang dikatakannya tidak memperlihatkan dia bias pada Husam. Ini pandangan orang tua dan lama bergelumang dengan parti dan intisari pendapatnya orang belajar agama juga kena jadi MB Kelantan. Kata Ayahanda " Awe...kot mana-mana pun Nik Amar(kini Datuk) kena jadi MB" ...tu baru ikut kepimpinan ulama". Apakah telahan ayahanda ini akan menjadi kenyataan? Klaau Tuhan panjangkan umur sama samalah kita saksikan nanti.

Secara jujur saya juga percaya begitu, tetapi Ustaz Nik Amar ini seorang yang tidak mahu ke depan, entahlah...mungkin itu sifatnya. Tetapi saya percaya jika beliau menjadi "kepala" kelak, beliau juga akan mampu menguruskan pentadbiran negeri dan parti dengan baik. Saya kenal beliau semasa beliau belajar di UKM lagi walaupun kami dari fakulti yang berbeza dan itulah juga perangainya pada masa itu.

Dan ini mengingatkan saya pada satu kuliah Tok Guru MB berkenaan dengan perlantikan Khalifah Umar Abdul Aziz. Semasa Khalifah Sulaiman Abdul Malik gering, baginda meminta anak-anak beliau dipakaikan pakaian Raja-Raja dan dipakai pedang, tetapi semuanya tak kena "sajaknya" kerana anak-anak Khalifah masih kecil, pedang pun meleret sahaja bila dipakai di pinggang. Semasa dipanggil para putera kerabat baginda masuk mengadap bagi memilih calon Khalifah( kerana anak-anak Khalifah masih kecil), Umar Abdul Aziz paling lewat masuk, malah sengaja lewat masuk sambil membetulkan tali kasut, kerana beliau bimbang Khalifah akan memilihnya jika dia masuk awal. Dan semasa Khalifah mengeluh mengatakan , "alangkah beruntungnya jika ada anak-anak yang telah besar", tatkala orang lain diam, Umar memperbetulkan kata-kata Khalifah dengan menyatakan Allah menyatakan "Beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya" bukan yang "ada anak besar (bagi menggantinya Khalifah)". Inilah sifat tawadhu' Umar Abdul Aziz yang tidak tergopoh dengan jawatan dan berani menegur sesuatu yang tidak betul walaupun ianya dari Khalifah.

Lalu saya terfikir apakah Ustaz Nik Amar ini seorang yang tidak terlalu "terliur" dengan jawatan MB dan sebagainya serta menjiwai fikrah Umar Bin Abdul Aziz yang terkenal itu. Jika demikian tidak mustahil suatu hari nanti beliau akan menduduki kerusi itu berdasarkan keadaan yang berlaku pada masa ini. Saya tidak ingin mengulas lanjut kerana tulisan ini lebih tertumpu pada tajuk Dua Anak Musa. Isnya Allah saya akan membuat posting lain mengenai bintang politik Ustaz Nik Amar ini.

Tatkala Annuar Musa telahpun agak terpinggir dari arus perdana politik Kelantan sekurang-kurangnya pada masa ini, keadaan Husam Musa pula masih lagi "tidak tentu" dan sinar politiknya agak suram sedikit berbanding dengan sewaktu beliau sebagai Naib Presiden PAS dahulu. Namun sekiranya tsunami politik berterusan dalam PRU yang diramalkan pada 2013 nanti, beliau mungkin dapat bangkit kembali sekiranya PR dapat menguasai Pusat dan menjadi "orang kuat" diperingkat Pusat. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment