Sunday, October 11, 2009

PAS gagal membuat kejutan PRK Bagan Pinang


Di atas kertas dan andaian-andaian tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam pengundian. Sejarah masa lalu juga tidak menjadi ukuran pola pengundian sebenar dalam PRK Bagan Pinang. Oleh itu bebrapa andaian sebelum ini telah meleset kerana andaian itu berdasar pola pengundian sebelum ini yang tinggal dalam lipatan sejarah.

TS Mohd. Isa Samad calon BN telah berjaya mengekalkan kerusi BN bagi N31 Bagan Pinang dengan memperolehi 8013 undi berbanding calon PAS Zulkefly Mohd. Omar yang memperolehi 2578 undi dan sebanyak 223 undi rosak. Majoriti Mohd Isa 5435 undi iaitu lebih besar dari PRU 2008 dahulu dengan peningkatan 110%. Tahniah kepada Mohd. Isa dan semoga berkhidmatlah dengan baik untuk rakyat.

Bagi penganalisa politik kemenangan yang begitu besar ini agak mengejutkan juga walaupun telah menduganya kerana faktor undi pos. PAS telah kehilangan undi pos lebih 1000 undi berbanding dengan PRU 2008 lalu. Andaian pola undi pos akan memihak pada BN memang dijangkakan tetapi di sekitar 60:40 atau lebih sedikit tetapi andaian itu tidak terjadi.

Begitu juga dengan andaian peti undi di tiga tempat iaitu Pekan Silliau, Ladang Atherton dan Sua Betong yang dimenangi PAS dalam PRU lalu juga tidak menjadi kenyataan. Para pengundi India di ketiga-tiga tempat tersebut telah beralih arah menyokong BN menyebabkan undi PAS merosot.

Apakah ini signal dari masyarakat India yang mula kembali kepada BN setelah penubuhan parti baru Parti Makkal Sakti. Adalah terlalu awal bagi membuat kenyataan sebegini kerana parti itu baru sahaja dilancarkan. Apa pun andaian berdasarkan pada pola pengundian masa lalu kali ini tidak menjadi kenyataan.
Dan kerana itu PAS gagal membuat kejutan di Bagan Pinang. Bagaimanapun usaha berterusan perlu dilakukan bagi menghadapi PRU 2013 yang akan menyaksikan keadaan sebenar pola pengundian kerana PRK biasanya tidak menjadi ukuran sebenar.

No comments:

Post a Comment