Sunday, October 18, 2009

Roadshow 1Malaysia ulangi program Semarak ?


Malam tadi bermulanya roadshow 1Malaysia yang dimulakan di negeri Perak. Entah bagaimana saya teringat akan roadshow hampir serupa pada masa Tun Dr.Mahathir dulu iaiitu program Semarak yang diadakan seluruh negara. Pada masa itu Menteri yang jaga Penerangan ialah Datuk Mohamad Rahmat yang mesra dipanggil Tok Mat. Tok Mat telah berjaya menganjurkan roadshow itu di setiap ibu negeri dalam Malaysia ini. Kehadirannya amat memberangsangkan sekali. Intipati utamanya juga bagi memperkuatkan perpaduan di kalangan rakyat. Dan perkara ini diadakan kerana UMNO pada masa itu mengalami masalah besar bila ia dihiidupkan semula ekoran pembatalan oleh Mahkamah. Untuk menghidupkan semula UMNO itu program Semarak diadakan besar-besaran.

Kini 1Malaysia pula dijadikan roadshow dan akan diadakan setiap negeri. Apakah UMNO kini juga menghadapi masalah serupa dengan semasa program Semarak dulu diadakan? atau sekurang-kurangnya menghampiri keadaan itu. Kalau nak dikirakan semasa dulu itu UMNO sahaja yang bermasalah, tetapi kini lebih teruk lagi apabila MCA MIC dan komponen lain juga bermasalah...BN sedang hadapi masalah. Kalau program Semarak dibawah orang kuatnya Tok Mat dulu dikatakan berjaya menghidupkan kembali UMNO, apakah 1Malaysia juga akan berjaya memperkasakan kembali BN dan seterusnya akan bangkit dalam PRU akan datang. Hanya masa dan keadaan ayang akan menentukannya di samping ketentuan Allah SWT yang paling hakiki.

Dalam laporan akhbar arus perdana puluhan ribu masyarakat pelbagai kaum telah menghadiri program 1 Malaysia malam tadi. Maka media pro UMNO telah menonjolkan betapa rakyat Perak kini telah menyokong UMNO dan BN. Saya teringat bagaimana cara-cara bagi mengumpulkan ramai orang bagi kebiasaan program anjuran UMNO atau BN iaitu dengan mengenakan jumlah peserta yang perlu hadir kepada jabatan kerajaan dan Ngos yang menerima bantuan kerajaan ataupun jabatan pelajaran arahkan guru supaya hadir, pasti ramai jumlahnya. Tetapi kehadiran sebegitu tidak mencerminkan sokongan sebenar terhadap program itu.

Walau bagaimanapun apabila saya menatap berita dari Malaysain Insider agak terkejut juga kerana laporannya jauh mendahului jangkaan saya dan berlawanan sekali dengan laporan Agenda Daily yang pro UMNO. Dalam Malaysia Insider , di bawah tajuk utamanya " Some spectators claim they were paid to attend 1Malaysia launch". Ini dah lebih dari jangkaa saya. Dikatakan juga dalam berita itu mereka yang menghadiri program 1Malaysia itu diangkut dengan bas dari pelbagai tempat dan diberikan kupon RM30 yang boleh ditukarkan dengan wang tunai di pintu masuk stadium. Wah...kalau dibayar RM30 dan pengangkutan percuma...itu sudah lumayan. Sebab itulah ramai yang datang malam tadi walau pun agak jauh dari Ipoh kerana faktor wang percuma itu.

Itu sebagaimana dilaporkan Malaysia Insider, tetapi dalam program serupa pada masa lalupun begitulah keadaannya. Sekurang-kurangnya T Shirt dan nasi bungkus pada masa dahulu, nampaknya kini berubah trend pada wang tunai. Macam mana nak banteras politik wang kalau begini caranya...bagaimana nak berubah, kalau masih ikut stail lama.

Program 1Malaysia ini juga rasanya akan berubah mengikut keadaan dan tempat sebagaimana Semarak dahulu...kalau di Terengganu, Kedah dan Kelantan yang masyarakat berpegang kuat pada agama, rasanya program itu akan tiada nyanyian artis sebaliknya akan ditampilkan nasyid ataupun Forum Perdana diadakan bagi mengisi slot itu.

Bagaimanapun diharapkan program ini dapat menghindari pembaziran wang kerajaan secara terlampau sedangkan kita mengalami masalah kelesuan ekonomi malah dalam Belanjawan negara nanti bajet defisit telah dijangkakan. Dalam keadaan ini berhemahlah dalam perbelanjaan kewangan kerajaan secera keseluruhannya dan tumpukan pada apa yang patut dan perlu diutamakan sesuai dengan slogan "rakyat didahulukan".

No comments:

Post a Comment