
Pada akhir-akhir ini banyak kemalangan maut yang melibatkan bas ekspress terutamanya bagi perjalanan malam. Banyak faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut selain dari kecuaian manusia. Ianya termasuklah keadaan permukaan jalan raya, tanda arah dan signage yang mengelirukan, keadaan kenderaan itu sendiri dan sebagainya. Pada malam Isnin lepas 28 Disember 2009, saya juga telah menggunakan bas ekspress untuk balik ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur.
Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dari perbualan pemandu bas yang saya naiki dengan para pembaca sekalian. Kebetulan biasanya bagi perjalanan malam, saya sukar untuk tidur berbanding dengan perjalanan siang hari. Bagi saya perjalanan menggunakan bas adalah pilihan lain yang ada selain pengangkutan udara; dan biasanya saya memilih mana yang paling murah dan menjimatkan. Sekiranya tiket penerbangan murah sekitar RM50.00, saya ambil penerbangan, biasanya perlu tempah awal menerusi internet. Jika tidak menggunakan bas atau kalau rasa "cekat" (kuat) saya memandu kenderaan sendiri sahaja. Biasanya saya pulang ke Kl sekali seminggu menguruskan isteri dan anak-anak dan kembali bekerja di Kota Bharu dan tinggal bersama emak dan ayah di kampung. Begitulah rutin saya sejak diarahkan bertukar ke Kota Bharu Jun 2009yang lalu.
Berbalik pada cerita pemandu bas yang saya dengar perbualannya. Katanya tidak ada seorang pemandu pun yang mahu terlibat dengan kemalangan. Betul katanya. JIka mereka tahu lebih awal sudah tentu hari itu mereka tidak akan memandu, dan janganlah bila berlaku kemalangan dihempaskan ke atas bahu pemandu bas semata-mata. Mereka juga manusia yang ada hati dan perasaan. Tertarik saya mendengar perbualan pemandu dengan kawannya itu. Kita setiap kali nak bawa bas, baca semua ayat-ayat Quran yang diingatseperti doa menaiki kenderaan dan sebagainya sebagai ikhtiar, di samping memndu secara berhemah. Kebetulan pemandu malam itu agak berusia dan memakai kopiah putih dan saya dengar betul dia membaca doa sebelum memandu bas.
Katanya lagi, ada penumpang yang bila jejak kaki ke tangga bas sahaja dah tanya pemandu, jam berapa boleh sampai Kota Bharu. JIka dijawab jam 6 pagi, mereka akan meminta boleh cepat lagi tak. Itulah sikap penumpang yang mahukan bas cepat sampai ke destinasi tanpa memikirkan faktor keselamatan lainnya. Malah dalam perjalanan pun ada penumpang yang meminta diperlajukan bas supaya cepat sampai. Itu baru bab penumpang, belum lagi ambil kira bab syarikat bas lagi. Kadang-kadang semasa syarikat kekurangan pemandu,seseorang pemandu terpaksa memandu bas dari Kota Bharu bagi perjalanan pagi dan sampai di Kuala Lumpur petangnya, malam nanti dia juga akan membawa bas pulang ke Kota Bharu selama beberapa hari. Bayangkan berapa jam sahaja mereka dapat tidur dan berehat.
Dalam perbualan mereka juga saya dapat mengetahui bahawa ada juga pemandu muda yang agak laju memandu bas. Mereka ada sebutkan beberapa nama pemandu tetapi saya tidak berapa ingat kerana nama itu disebut dengan gelarannya sekali seperti misalnya Mamat Lipas, Dolah Pelesit dan pelbagai nama gelaran. Yang pentingnya dalam perbualan mereka memang ada dan mereka akui pemandu berdarah muda yang memandu laju. Dan satu lagi yang dituturkan mereka tentang ada pemandu yang membuat kerja sampingan dengan kerjasama syarikat bas juga iaitu membawa "surat-surat/barang-barang courire" yang tidak sepatutnya terjadi kerana lesen bas hanya bagi mengangkut penumpang sahaja bukannya barangan courier, dan ini menjadi kesalahan sebenarnya. banyak berlaku kelewatan bas kerana pemandu kena mengambil barangan tersebut. Sepatutnya pihak berkuasa sesekali membuat pemeriksaan ke atas perkara ini.
Saya agak tertarik juga apabila mereka memperkatakan tentang keadaan jalan raya. Menurut mereka jalan raya ke Kota Bharu terutama dari Kuala Lipis hinggalah Gua Musang amat tidak sesuai sekali. Jalannya bengkang bengkok dan agak sempit dan tidak layak sama sekali untuk bas ekspress, apa lagi kalau bas dua tingkat. Sebab itulah banyak berlaku kemalangan di kawasan Bukit 7 dan sekitarnya yang mana keadaan jalannya begitu teruk sekali. Tetapi kata mereka pa boleh buat hanya itulah sahaja jalan raya yang ada dan mereka terpaksa juga melaluinya. Berhubung dengan bas 2 tingkat , mereka berpendapat ianya amat tidak sesuai sekali bagi jalan raya yang tidak elok seperti perjalanan ke Kota Bharu. Kalau perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan pun yang agak baik berlaku kemalangan, apa lagi pada jalan raya yang tidak begitu baik keadaannya. Mereka juga melahirkan kehairanannya bagaimana Bas 2 tingkat diluluskan penggunaannya untuk perjalanan ke Kota Bharu. Sesekali mereka ketawa berderai bila mengatakan masing-masing ada bahagiannya iaitu syarikat bas dapat untung, yang melulus pun ada hasilnya (hasil pada kerajaan) bahkan kata mereka pegawai yang beri kelulusan kot-kot ada juga. Masing-masing "masyuuukk" dan mereka ketawa berderai lagi. Keselamatan penumpang belakang kira, kalau kemalangan ayat biasa keluar, kita akan membuat kajian dan siasatan. Berapa banyak kaji daa!
Apabila mereka beralih pada topik perbincangan lain khususnya mengenai isu-isu semasa seperti kehilangan enjin Pesawat F5E dan sebagainya serta politik negara saya lebih kagum pada pemandu ini. Rupanya mereka begitu peka pada keadaan semasa. Sesekali saya terhibur juga dengan telatah perbualan mereka berkenaan isu rasuah bila mereka kaitan dengan filem P Ramlee, " satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau dua untuk aku..." dan diiringi deraian ketawa mereka. Mereka juga inat filem-filem Melayu dan dikaitkan dengan amalan rasuah, " Ahamd Nisfu bagi rasuah untuk masuk ke satu majlis.."Dua puluh, Tak Cukup" dan mereka sama-sama ketawa lagi.Dari Kuala Lumpur hinggalah ke Merapuh apabila bas berhenti rehat untuk para penumpang makan dan minum, saya begitu terhibur dengan perbuala mereka. Apabila meneruskan perjalanan mereka berbual lagi pasal politik Kelantan khususnya tentang "Royalti minyak". Rupa-rupanya mereka adalah antara penyokong PAS kerana dari perbualan mereka itu saya dapati mereka juga penggiat PAS di Kawasan masing-masing.