

Kalau pada 14 Januari 2010 lepas seluruh masyarakat dalam negara menyaksikan satu peristiwa bersejarah berlaku di stadium ini bila YMM Tengku Muhammad Faris Petra, Pemangku Raja Kelantan telah mengimami Solat Hajat bagi memohon kesihatan ayahanda baginda yanmg sedang gering dan juga keselamatan negeri Kelantan.
Peristiwa ini menyentuh kalbu seluruh rakyat kerana buat pertama kalinya rakyat dapat berimamkan seorang Raja. Saat penuh syahdu ini banyak diperkatakan orang ramai bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh negara bahkan baginda kini menjadi harapan seluruh rakyat untuk menjadi contoh ikutan yang baik serta mempertautkan kembali hubungan akrab antara Raja dan para pemimpin serta rakyat jelata.
Tok Guru Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS dalam reaksi telah menyambut baik usaha ini. Apa yang dilakukan Pemangku Raja itu menepati kehendak Islam, dan sangat menggembirakan rakyat. Tok Guru sendiri amat gembira sekali. Bagi beliau peristiwa ini akan terakam dalam sejarah Kelantan, dan doa dan permohonan yang baik-baik untuk Kelantan dan rakyatnya yang hendak diajukan kepada Allah, lebih aula dimohon sendiri oleh Raja sebagai Ketua Negeri. Dan doa yang dibacakan baginda dan diaminkan seluruh makmum pada malam itu termasuk Menteri Besar, para EXCO serta pegawai kerajaan adalah menepati kaedah Islam.
Itu peristiwa pada 14 januari lalu, tetapi pada 28 januari ini bakal menyaksi satu lagi periatiwa penting iaitu Pidato Penerangan Tuntutan Royalti Minyak oleh Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan. Pada kali ini seorang lagi "anak Raja" iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah akan menyampaikan pidato penerangannya pada malam itu. Adalah dijangkakan ratusan ribu rakyat Kelantan akan membanjiri stadium dan pekarangannya bagi mendengar sendiri butir bicara anak raja itu yang terlibat secara langsung dalam penunuhan PETRONAS dan juga perjanjian antara PETRONAS dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Khabarnya ada satu majlis juga akan diadakan oleh pihak UMNO Kelantan bagi menerangkan isu serupa di satu premis yang lain sama ada pada malam yang sama atau lebih awal yang akan membarisi Datuk Mustapha Mohamad, Datuk Awang Adek Husin dan Datuk Ibrahim Ali sebagai para pemidatonya. Seluruh rakyat akan dapat menilai dari segi "fakta dan juga auta" sekiranya menghadiri kedua-dua majlis ini. Tetapi bagi syaa lebih elok lagi pertemukan sahaja mereka atas satu pentas untuk pidato ini, itu pun jika mereka bersetuju dan berani berhujah secara berdepan.
Diharapkan majlis itu akan berlangsung dengan baik bagi memberi penerangan kepada seluruh masyarakat dan soal penerangan itu diterima atau tidak, itu terpulang pada kebijaksanaan masing-masing menganalisis maklumat yang diterima itu. jangalah hendaknya rakyat dihalang dari mendapat maklumat dan penerangan yang berfaedah itu.
No comments:
Post a Comment