
Dalam politik Kelantan sama ada penyokong UMNO atau pun PAS dan juga masyarakat keseluruhannya melihat faktor Tok Guru yang mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar yang membawa obor perjuangan Islam masih utuh walaupun dilanda asakan hebat daripada pihak musuh politiknya serta media termasuk blog yang cuba meruntuhkan reputasi beliau sebagai Tok Guru dan Menteri Besar.
Sememangnya musuh politik beliau telah mencuba sedaya upaya untuk menganggu-gugat pentadbirannya dan reputasi beliau dengan pelbagai helah dan taktik, tetapi sehingga kini beliau kekal tanpa dapat ditumbangkan , malah telah mentadbir Kelantan telah 20 tahun. Benar, beliau dibantu oleh para pendokong yang berwibawa seperti Datuk Husam Musa, Dato' Nik Mohd. Amar Nik Abdullah serta Timbalan MB Dato' Ahmad Yaakob dan juga barisan EXCO lainnya; tetapi batang tubuh Tok Guru sendiri sebagai pucuk pimpinan dan pemutus kata adalah tonggak utama kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau.
Dalam dua tiga hari lepas, 2 orang ahli akedemik iaitu Prof Mohd.Agus Yusuf dari UKM dan Prof Abu Hasaan Hasbullah dari UM menyatakan dari sudut kajian beliau mendapati serangan pihak musuh politik dan media tidakpun menggugat Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan pemimpin utama PAS Kelantan. Sebaliknya serangan tersebut yang kadangkala diselingi isu remeh seperti hadiah kek berharga RM500 itu bukan sahaja tidak berkesan malah mengundang simpati masyarakat dan para penyokong Tok Guru, berbanding isu besar negara seperti Skandal PKFZ, kecurian enjin Jet F5E dan lain-lain yang tidakpun diambil perhatian oleh para pengkritik Tok Guru. Di sinilah masyarakat dapat membezakan para pemimpin mana yang perlu diberi kepercayaan untuk mengetuai kerajaan baik di peringkat negeri atau Persekutuan.
Kita ketepikan dahulu serangan musuh politik Tok Guru itu kerana sememangnya dalam dunia politik pihak musuh sentiasa mencari jalan menjatuhkan lawannya. Ini kerana tokoh politik Kelantan lawannya itu baik yang bertaraf Menteri atau Timbalan Menteri, apa lagi Ketua Bahagian bukannya tandingan Tok Guru; sebabnya banyak urusan dalam UMNO Kelantan sendiri masih belum selesai dan masih belum bersatu antara satu sama lain.
Kalau musuh politik Tok Guru gagal dalam usaha meluntur kredebiliti Tok Guru, apa lagi menjatuhkannya dari tampuk pemerintahan; maka apalah yang ada pada segelintir penulis blog yang cuba merendah-rendahkan kredebilitinya. Kalaulah mereka ini mewakili seseorangpun, masyarakat umum masih lagi menaruhkan kepercayaan kepada Tok Guru. Hendaknya janganlah ada usaha-usaha dalaman sendiri yang cuba meruntuhkan apa yang telah dibina. Tok Guru bukanlah ingin berada ditampuk pentadbiran selama-lamanya dan akan berundur juga suatu hari nanti. Saya kira selepas PRU13 adalah masa paling baik bagi Tok Guru berundur, maka sebelum itu perkukuhkan sokongan dan nasihatilah beliau secara baik demi kelangsungan perjuangan Islamnya.
Saya tidak mahu mengulas isu berkaitan PMBK dan juga Ariff Fahmi kerana tidak begitu arif dalam kes tersebut dan dibimbangi faktanya tidak betul, dan juga isu itu dalam perhatian SPRM sendiri; biarlah mereka yang menjalankan penyiasatan. JIka dalam penyiasatan itu ada buktinya terpulanglah pada pihak berkuasa itu untuk mengambil tindakan susulan. Bukan tugas kita menguar-uarkannya kalau mempunyai maklumat sekalipun sebaliknya serahlah pada pihak yang berkuasa.
Penulis bukannya apa cuma tidak sedap hati dengan segelintir kritikan yang seakan "menghalakan" kepada batang tubuh Tok Guru dan seakan mendesaknya untuk berundur segera. Saya pun tak tahu apa hajatnya berbuat demikian, ada antaranya berbentuk surat terbuka dan nasihat yang agak boleh diterima, tetapi pada penghujung nasihatnyanya ada sedikit berupa gesaan yang tidak manis. Pernah seorang blogger Herman Samsudin membuat teguran dalam blognya, tetapi Herman pula dibahasakan pula dengan kesat. Inikah jenis orang yang "ingin memberi nasihat" yang memulakan bicara nasihatnya dengan cukup indah dan berseni sekali dan diiringi quran dan hadis serta kisah-kisah zaman kegemilangan Islam, tetapi sayangnya pada akhir bicara seolah cuba menuba dalam polemik kemelut dalam parti sendiri. Hindarilah perasaan buruk sangka dan bersangka baiklah sesama kita apalagi dalam saf perjuangan yang sama. Kalaupun ada yang terbuku dihati berjumpalah dan berbincang secara berlapang dada.
Saya akhiri coretan ini dengan berpesan pada diri saya sendiri dan juga para pembaca sekalian supaya fikirlah dengan tenang dan hati terbuka sesuatu maklumat baik dalam blog ataupun medeia lainya dan buatlah penilaian sendiri, jangan terpengaruh dengan tulisan-tulisan dan pandangan tersebut. Seeloknya ambillah kesempatan membandingnya dengan pandangan lain supaya maklumat itu berimbang. Wasallam.
No comments:
Post a Comment