
Dalam akhbar Sinar Harian edisi Kelantan hari ini (sila baca sebahagian petikannya di bawah)memuatkan kenyataan Datuk Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, saya merasakan ada sesuatu yang yang tidak kena dengan kenyataan itu kerana orang yang mula menyatakan wujudnya 'budaya cah keting' ini iaitu Tok Guru sendiri belum lagi memperincikannya secara jelas pada siapa ditujukannya. Ini bererti kenyataan Husam itu mendahului penerangan secara lebih jelas oleh Menteri Besar itu.
Nik Aziz tuju doa ‘cah keting’ kepada UMNO
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menjelaskan doa ‘cah keting’ yang dibacakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lalu ditujukan kepada UMNO yang mahu menjahanamkan pemimpin Pas Kelantan.
Husam berkata, doa itu diamalkan Nik Abdul Aziz sejak lebih 30 tahun lalu untuk mengelak ‘tikaman dari belakang’ dan bukannya merujuk kepada budaya cantas mencantas dalam Pas.
“Doa ini dibacakan oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz) sejak 30 tahun lalu yang bermaksud ‘janganlah kawan-kawan kami menikam dari belakang’, yang menikam Tok Guru dari belakang ialah UMNO. Kita akan terus bersatu untuk menahan tikaman ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat dewan harian Pas di sini, semalam. :
Husam berkata, UMNO memainkan peranan dan berada di sebalik pelbagai isu yang melanda pentadbiran Pas Kelantan sekarang.
Minggu lalu akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengakui wujudnya budaya ‘cah keting’ sehingga menimbulkan kepincangan dalam Pas.
Nik Abdul Aziz bagaimanapun dilaporkan tidak menjelaskan secara mendalam sejauh mana seriusnya perkara itu sehingga menyebabkan beliau membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan ‘cah keting’ Jumaat lalu.
Bagaimanapun ramai yang beranggapan bahwa ianya ditujukan pada orang dalaman PAS sendiri khususnya di negeri Kelantan. Malah kenyataan beberapa pemimpin PAS seperti YB Salahuddin Ayub yang tidak menolak adanya budaya itu dalam PAS kerana ahli PAS adalah 'manusia biasa' yang tidak dapat lari dari membuat kesalahan.
Malah jika diamati ayat yang digunakan Tok Guru " janganlah kawan-kawan kami menikam dari belakang" rasanya lebih menjurus kepada orang-orang dari PAS sendiri kerana UMNO bukan kawan PAS tetapi musuh politiknya. Pada pandangan saya ianya jelas ditujukan kepada anggota dalam Jamaah PAS sendiri dan ini juga saya rasakan berikutan adanya 'usaha terancang" pihak-pihak yang inginkan Tok Guru berundur dari jawatannya dengan segera. Ini juga dapat dilihat dari serangan bertubi-tubi blog-blog tertentu yang cuba menggambarkan kegagalan Menteri Besar itu mentadbir Kelantan. Ianya bukan lagi 'pukul menantu, sindir Tok Guru' tetapi lebih kepada 'pukul menantu nyah Tok Guru'.
Bagaimanapun saya percaya masyarakat ramai khususnya pendokong PAS yang sayangkan Tok Guru tidak rela Menteri Besarnya diperlakukan begitu rupa. Serangan bertubi diselangi Surat Terbuka dan sebagainya itu kini dirasakan dihalakan ke batang tubuh Menteri Besar itu, bagaikan 'hendak senjah turun' beliau dari kerusi Menteri Besar.
Apakah tiada lagi secalit kasih dia atas usaha serta jasa beliau mentadbir Kelantan selama 20 tahun itu? Apakah ada jaminan'orang yang beriya' menggantikannya itu lebih baik dari pimpinan beliau?
Saya tinggalkan jawapannya kepada para pembaca sekalian untuk merenunginya. Bagaimanapun saya masih tetap beranggapan bahawa 'isu cah keting' yang ditimbulkan oleh Tok Guru ini adalah ditujukan pada orang-orang PAS sendiri bukannya kepada orang UMNO dan lain-lain. Terpulanglah pada tanggapan anda pula untuk menilainya. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment