Blog Archive

Sunday, January 3, 2010

Persekolahan sesi 2010 bermula bagi anak-anak kita


Pada hari ini ahad 3 Januari 2010 telah bermula sesi baru persekolahan anak-anak kita. Bagi yang bercuti dan menaiki ke kelas lain tidak menjadi masalah kerana mereka telah biasa dengan suasana persekolahan. Apa yang ingin dicoretkan di sini ialah persekolahan bagi anak-anak kita yang mulai masuk Darjah satu atau kini diberi nama baru Tahun satu.

Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak, saat ini merupakan satu ujian getir. Beban yang ditanggung adalah besar jika tidak dirancang dari awal. Masakan tidak anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan memerlukan segala peralatan termasuk pakaian dan buku serta alat tulis lain. Itu belum masuk lagi peralatan bagi anak-anak yang bersekolah sedia ada.Kalau yang telah sedia ada di sekolah 3 orang dan ada satu atau dua orang lagi memasuki alam persekolahan agat memeritkan juga. Itu belum masuk lagi perbelanjaan yuran sekolah bagi 4 atau 5 anak itu.

Pada tahun lepas heboh juga diperkatakan tentang "yuran percuma" yang kemudiannya ternyata kena bayar juga gara-gara Pak Menterinya yang terlalu terburu membuat pengumuman tanpa perbincangan dan penelitian dengan pihak sekolah dan PIBG. Akhirnya isu yuran itu telah dijadikan senda gurau oleh para ibu bapa kemudiannya selepas mendapat penjelasan dari pihak sekolah.

Pada tahun ini tiada lagi diperkatakan isu yuran, mungkin semuanya sudah memahami dan orang atasan pendidikan juga tidak mahu lagi "mengambil mileage" politik dari isu pendidikan ini. Baguslah begitu...perkara mengenai pendidikan anak-anak kita ini perlu ditangani bersama tanpa mengira bangsa dan agama serta kedudukan seseorang. Perbezaan politik juga harus diketepikan bagi menjamin kejayaan sistem pendidikan dan untuk masa hadapan anak-anak kita yang akan mewarisi kepimpinan negara kita suatu hari nanti.

Saat sebegini jika ada sedikit pertolongan dari para pemimpin politik ataupun golongan korporat bagi persiapan anak-anak ke sekolah amat dihargai sekali. Bagi golongan berpendapatan rendah dan masyarakat kampung dan juga bandar yang miskin seharusnya mendapat bantuan bagi meringankan beban. Pihak Pusat Zakat misalnya hulurlah sedikit bantuan pada keluarga yang kurang mampu tersebut dan janganlah menunggu sahaja di Pejabat untuk didatangi pemohon bantuan; sebaliknya berikhtiar mengenal pasti golongan dan turun ke padang bagi menghulurkan bantuan.

Saya percaya sekiranya kerjasama sebegini dapat dilakukan, anak-anak kita akan mendapat pendidikan yang baik dan sempurna dan inilah harapan kita agar mereka akan muncul sebagai warga negara yang dapat berbakti pula pada negara pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment