Blog Archive

Saturday, January 2, 2010

Umpanan Media Tak Dimakan Pemimpin PAS


Dalam ruangan rencana Mingguan Malaysia pada Ahad lepas, wartawannya ada mengulas panjang lebar tentang cadangan anak negeri Kelantan sebagai calon Ahli Parlimen. Dalam beberapa blog sebelum ini termasuk penulis ada menegur cadangan yang dianggap berpatah balik ke belakang itu. Bagaimanapun dalam rencana media di atas ulasannya mudah dibaca hasrat apa yang ingin dipancingnya.

Walaupun beberapa fakta dikemukakan termasuk kebolehan beberapa Ahli Parlimen PAS sekarang yang terdiri dari bukan anak Kelantan seperti Salahuddin Ayub,(Kubang Kerian) Dr.Mohd. Hatta Ramli(Kuala Krai) dan Nasharuddin Mat Isa (Bachok) adalah lebih aktif berucap di Parlimen dan boleh diharapkan bagi mengemukakan pandangan dan mengolah isu-isu yang lebih bersifat ilmiah dan daya fikir yang tinggi. Begitu juga dengan Saifuddin Nasution (PKR- Machang) adalah seorang Ahli Parlimen yang baik dan berwibawa di Parlimen berbanding dengan Ahli Parlimen anak negeri Kelantan sendiri.

Oleh itu kesimpulannya rencana itu menggesa kepimpinan PAS Kelantan supaya membatalkan sahaja cadangan itu dan memberikan alternatif lain iaitu mengambil balik kerusi-kerusi parlimen yang diberikan kepada PKR dalam PRU lalu seperti parlimen Tanah Merah, Ketereh dan beberapa DUN juga. Anehnya rencana itu tidak pula mencadangkan PAS mengambil balik Parlimen Pasir Mas (Bebas atas tiket PAS) yang diwakili Datuk Ibrahim Ali. Mungkin juga pada pandangannya kerusi Pasir Mas itu sememangnya akan diambil PAS ekoran "perbalahan" Ibrahim Ali dengan PAS dan calon yang sedia menunggu ialah Ustaz Ismail Noh, iaitu bekas MP Pasir Mas sebelum kerusi itu diberikan pada Ibrahim. Kalau pun Ibrahim bertanding dna berlaku pertandingan 3 penjuru PAS-UMNO-Ibrahim, PAS akan memenangi kerusi itu.

Acahan rencana itu tidak mendapat sambutan kepimpinan PAS. Malah Ahli Parlimen PAS yang bukan anak Kelantan yang ditemubual media juga enggan bercakap tentang cadangan itu. Cadangan itu asalnya dikemukakan oleh Datuk Mohamad Daud Irag dan diulas oleh Tok Guru Menteri Besar dengan kata-kata " kita boleh kaji" cadangan iaitu. Oleh kerana ianya keluar dari mulut Tok Guru maka media telah mengambilnya sebagai bahan berita penting.

Walau bagaimanapun kita faham usaha media pro BN cuba menggambarkan sesuatu yang bercelaru dalam kepimpinan Kelantan pada masa ini. Ia juga seolah mengacah supaya PAS dan PKR bertembung dalam soal pengagihan kerusi dalam PRU nanti. Benar PKR Kelantan seolah-olah "mati" tanpa aktiviti partinya dan hanya menumpang pada PAS sahaja. Bagaimanapun berdasarkan permuafakatan semasa dahulu ianya perlu diteruskan dan sebarang perubahan perlulah dibawa dalam perbincangan dalam susasan kekeluargaan.

Usaha mengheret pergeseran PAS-PKR di Kelantan ini nampaknya gagal bila Tok Guru MB kemudiannya menjelaskan dalam kenyataannya bahawa beliau hanya mengulas cadangan Mohamad Daud sahaja, dan buat masa ini PAS Kelantan masih memerlukan khidmat Ahli Parlimen PAS yang bukan anak negeri Kelantan. Oleh itu tidak timbul lagi soal hanya anak Kelantan sahaja yang akan menjadi Ahli Parlimen di Kelantan.

No comments:

Post a Comment