Blog Archive

Sunday, January 17, 2010

Isu maklumat sulit bocor dan asakan blogger


Dalam Mingguan Malaysia hari ini, kenyataan salah seorang ECXO Kelantan Datuk Takiuddin Hasaan tentang kebocoran maklumat sulit Mesyuarat EXCO saya rasa bukannya usaha untuk "divert" pada persoalan semasa seperti mana telahan beberapa blogger yang berlawanan dengan status quo pentadbiran PAS negeri Kelantan hari ini. Beliau bercakap tentang bagaimana sesuatu butiran sulit mesyuarat begitu cepat disiar dalam blog. Sila perhatikan petikannya di sini.

Petikan Mingguan Malaysia 17.01.2010
Takiyuddin persoal maklumat mesyuarat Exco bocor
KOTA BHARU 16 Jan. – Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan mempersoalkan bagaimana keputusan mesyuarat Exco negeri itu berhubung pembelian aras bawah Bazar Tok Guru di sini boleh bocor kepada pihak tertentu.
Beliau yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri turut hairan bagaimana pemilik laman blog Kickdefella memperoleh maklumat tersebut kerana keputusan mesyuarat pada Rabu lalu itu masih belum disahkan.
Justeru, beliau meminta Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjalankan siasatan tentang kebocoran maklumat tersebut kerana ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)
“Keputusan ini dibuat pada Rabu lepas dan minit mesyuaratnya pun belum disahkan lagi, soalnya bagaimana maklumat ini boleh bocor.
‘‘Saya minta Menteri Besar supaya menjalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat ini kerana kita bimbang akan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya pada masa depan,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengakuan Nik Abdul Aziz bahawa kerajaan negeri telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru.
Menurut blog Kickdefella, kerugian itu dikatakan melibatkan nilai sebanyak kira-kira RM50 juta termasuk nilai tapak projek itu yang diserahkan kepada sebuah syarikat swasta seluas 3.36 hektar.
Ketika menjelang pilihan raya umum lalu, Menteri Besar dikatakan berjanji untuk memberikan aras bawah bangunan berkenaan kepada peniaga di Arked Uda dan Bazar MPKB kerana projek yang bakal dimajukan PMBK tidak berorientasikan keuntungan.
Namun, peniaga di dua tempat itu hanya diberikan ruang berniaga di tingkat satu dengan harga RM80,000 sehingga RM90,000 seunit selepas projek berkenaan diambil alih syarikat swasta berkenaan.
Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan yang kerajaan negeri tidak mengalami kerugian sebanyak RM50 juta seperti yang digambarkan dalam blog tersebut.
Katanya, ia disebabkan setiap lot perniagaan aras bawah bangunan yang dibeli balik kerajaan negeri itu akan dijual kembali kepada para peniaga yang terlibat.
“Kita tidak rugi apa-apa, kerajaan hanya sediakan tapak untuk dibangunkan bersama di antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan sebuah syarikat, Sensa Timur Sdn. Bhd. bagi membina sebuah bazar.
“Sebagai timbal balas, syarikat itu memberikan aras satu dan dua yang bernilai RM40 juta kepada kita.
‘‘Bagaimanapun, pada mesyuarat Exco baru-baru ini kita memutuskan untuk membeli aras bawah yang bernilai RM23 juta dan kesemua lot perniagaan terbabit akan dijual semula bagi mendapatkan kembali wang yang dikeluarkan itu,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak menetapkan harga tertentu untuk semua lot perniagaan tersebut bagi dijual kepada para peniaga dari kedua-dua pasar berkenaan.
“Kita akan menjual semula lot-lot perniagaan ini setelah ia dibahagikan dengan harga belian aras bawah yang bernilai RM23 juta itu.
“Saya juga ingin tegaskan bahawa tidak timbul isu kerajaan negeri rugi RM30 juta untuk nilai tanah tapak itu kerana kita mendapat pulangan sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal,” katanya.


Dan seperti yang dinyatakan oleh penulis blog terbabit, beliau bersedia untuk didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) ekoran penyiaran isu ini dalam blognya. Ini bermakna beliau tidak menafikan sumbernya itu adalah sulit yang tertakluk di bawah OSA, cuma beliau menyatakan kehairanannya kerana pembangkang sebelum ini menentang OSA dan Akta lain yang menindas, kini seakan menyokong OSA. Blogger itu juga menyatakan dalam blognya dan juga diulang dalam blog rakan penyokongnya bahawa "yang pasti maklumat yang beliau dapatkan itu bukan dari Datuk Husam Musa".

Saya kurang pasti apakah "erti" kenyataan tersebut, apakah beliau "berbau" sesuatu bahawa tanggapan umum memang ke arah itu dan cepat-cepat menepisnya. Tetapi Takiuddin tidak pernah menyebut dan membuat tohmah siapa yang memberikan maklumat tersebut cuma secara umum menggesa Tok Guru untuk menyiasat. Itu sahaja.

Dan dalam blog Datuk Husam Musa juga dalam blognya amat bersetuju Tok Guru menyiasat perkara ini dan Husam sempat juga memberikan pandangan bahawa "apa yang dikatakan kerugian" dalam blog kickdefeela itu . Husam juga hanya memberikan komen pendek tulisan kickdefella seperti katanya,

"Apabila artis cuba mentafsir angka, fakta ekonomi sudah menjadi lukisan abstak.

Mengeluarkan pendahuluan untuk membeli aset sebanyak 23 juta, bukan bermakna kerugian. Tidak sama sekali. "

"Bagaimana jumlah RM 23 juta yang merupakan harga bagi tingkat bawah Bazar itu yang akan diperolehi semula oleh Kerajaan boleh dikatakan kerugian?

Jika ia dikatakan kerugian, itu bukan rumusan ekonomi tetapi sebuah karya seni. Apa motif karya seni dihasilkan sedemikian, terpulang."


Itulah ulasan Husam yang nampaknya agak "berlapik", malah beliau juga menyatakan kebocoran maklumat itu tidak semestinya dari Mesyuarat EXCO sahaja kerana perkara tersebut juga dibincang dalam mesyuarat lain dengan pihak penjaja. Bagaimanapun beliau setuju Tok Guru memulakan penyiasatan itu bermula dari mesyuarat EXCO lagi supaya dapat menghindarkan suasana tohmahan dan sebagainya.

Dalam pada itu saya dapati akhir-akhir ini menjadi kebanggaan pada blogger untuk menulis sesuatu yang baru yang orang lain belum tahu atau hanya dia seorang sahaja ada maklumat itu. Tidak kiralah ianya maklumat dalam yang sulit atau tidak, asalkan ianya dapat menjulang namanya dan juga memberi "mileage" pada penaungnya sama.

Sebagai seorang yang berpendidikan undang-undang, Takiuddin faham akan kesannya jika segala maklumat sulit dalam tersebar tanpa dapat dikawal kerana ianya akan menggambarkan seolah-olah pentadbiran kerajaan tidak dapat mengawal lagi suasana perjalan pentadbiran, dan ini tentunya akan memberi kesan yang tidak baik kepada kerajaan.

Hubaya-hubaya akan golongan yang hanya mementingkan puaknya sahaja tanpa memikirkan kerajaan pada keseluruhannya, dan jika tumbangnya kerajaan yang mereka turut berteduh itu; mereka akan turut sama hanyut oleh arus deras tanpa dapat berpaut pada apa-apa lagi. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment