Blog Archive

Thursday, January 28, 2010

Puluhan Ribu Rakyat Kelantan hadiri penjelasan royalti - Ku Li



Pada pagi ini saya tercari-cari juga rungan akhbar yang menceritakaan peristiwa di atas. Namun hampa kerana kebanyakan media perdana menggelapkan peristiwa besar yang berlaku di Kota Bharu malam tadi itu. Saya tidak pasti apakah ini juga merupakan satu "tindakan profesional" para wartawan media perdana yang dikatakan mempunyai kod etika kewartawanannya itu.

Dua hari lepas dalam Majlis Penerangan yang serupa yang dianjurkan oleh UMNO Kelantan di Hotel Renaissance ada dalam ruangan akhbar yang mana antara penceramahnya Datuk Mustapha Mohamad, Datuk Awang Adek Hussin dan Datuk Ibrahim Ali. Pada majlis itulah Tok Pa mengumumkan Kelantan bakal memperolehi Wang Ehsan sebanyak RM 20 juta mulai Mac 2010 ini. Manakala seperti biasa Ibrahim Ali mempersoalkan kerajaan Kelantan yang belum lagi mencabar isu ini ke Mahkamah dan beliau sendiri katanya akan memfailkannya di mahkamah. Nampaknya Ibrahim Ali kini sudah dapat duduk semeja dengan Tok Pa, dan apakah perseteruan mereka sebelum ini sudah pulih dan Ibrahim bakal diterima oleh UMNO Kelantan? sama-samalah kita lihatnya nanti.

Apabila media baru iaitu blog banyak yang memuatkan peristiwa itu, maka masyarakat kini terpaksa beralih kepada berita dalam blog sebagai maklumat yang ingin dicari. Maka pihak akhbar seharusnya memikirkan perkara ini kalau tidak mahu mengalami kepupusan pembaca suatu hari kelak seperti disaran YB Menteri Penerangan sehari dua ini.

Malam tadi walaupun tidak dapat menghadirkan diri kerana saya ke Kuala Lumpur pada petangnya, tetapi menurut maklumat yang diperolehi kawan yang hadir lebih 50.000 orang telah menghadiri majlis itu. Tok Guru Menteri Besar, TMB serta para EXCO, para ADUN, Pegawai Kerajaan serta orang ramai turut hadir dalam Majlis Penjelasan Royalti Minyak oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah itu. Majlis dimulai dengan Solat Maghrib yang diimamkan oleh Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan MB, Solat Isyak diimamkan oleh YB Momamad Mustafa (ADUN Demit) dan Solat Hajat yang diimamkan olh Tok Guru Menteri Besar.

Pada sidang medianya Ku Li menyatakan kehadirannya pada sesi penerangan malam tadi yang dianjurkan NGO GERAK itu telah mendapat perkenan Istana Kelantan. Ku Li juga tetap menegaskan Kelantan berhak mendapat royalti minyak 5% daripada PETRONAS.
" Saya maklum kepada Tuanku perkara ini,Tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus Tok Li,bagus." Untuk makluman dalam titah ucapan Pemangku Raja pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan tempoh hari juga baginda telah membangkitkan isu tuntutan royalti kepada Kelantan ini.

Ku Li seterusnya menyatakan dia juga tidak peduli apa juga yang diperkatakan orang berhubung penjelasannya malam ini. Apa yang dilakukannya itu adalah demi rakyat khususnya rakyat negeri Kelantan. Malah dalam sidang medianya itu Ku Li menganggap Datuk Mustapha Mohamad "mengampu" berikuatan kenyataan wang ehsan yang diperkatakan Tok Pa itu. Pengasas PETRONAS itu tidak bersetuju sama sekali dengan wang ehsan. Katanya "royalti bukan wang ehsan, wang ehsan bukan royalti".

Pada beliau apabila Kerajaan Pusat tidak patuh pada Perjanjian yang telah dibuat (Perjanjian PETRONAS dengan negeri-negeri yang ada minyak), maka jangan diharapkan para pelabur akan datang melabur sekiranya kita tidak mematuhi perjanjian yang telah dibuat. Ini kerana perkara ini telah nyata dalam Perjanjian, bukannya "janji manis pilihanraya" yang tidak ada hitam putihnya.

Adalah diharapkan semua pihak akan merenung kembali butir-butir perjanjian itu dan mematuhinya baik yang ditandatangani oleh Kelantan dengan PETRONAS dan juga negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan juga Terengganu yang juga mengeluarkan hasil minyak dari perut buminya.

No comments:

Post a Comment