Blog Archive

Saturday, January 9, 2010

Kesempatan menziarahi sahabat di Hospital Selayang


Pada petang tadi, kira-kira jam 12.30 tgh telefon berdering dan saya tengok keluar nama Ust Azhar pada paparan. Dia bertanyakan di mana sekarang dan saya jawab terus di KL, dan memangnya saya bercuti empat lima hari kerana urusan persekolahan anak dan juga uurus rumah sewa anak perempuan yang tidak dapat tinggal lagi di asrama UiTM, Shah Alam.

Sememangnya kami sahabat lama sekampung, tetapi anehnya berkenalan di India tahun 1990 semasa beliau menuntut di sana dan saya berkursus juga di sana. Pernah juga saya sampai ke Universiti Deoband, Saharanpur kira-kira 4 jam perjalanan keretapi dari New Delhi,tempat beliau dan Ust Nik Abduh belajar pada masa itu. Beliau dan Ust Nik Abduh kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir pula selepas itu.

Beliau menyatakan baru habis mesyuarat dan berhajat untuk menziarahi Ust Wan Ismail ADUN Melor di Hospital Selayang. Jelasnya, Ust Nik Abduh juga ada sama ni. Tanpa membuang masa saya nyatakan kebetulan saya tak ada apa-apa urusan pada masa ini dan akan datang menjemputnya di Jalan Raja Laut.(saya juga belum sempat menziarahi Ust Wan,sahabat lama masa belajar di kampus dulu) Dalam masa lebih kurang 30 minit saya sampai dan menjemput kedua-dua Ustaz itu ke Hospital Selayang. Semasa kami tiba di wad bilik 24, wad 9B tersebut En Kamaruzzaman, Pensyarah Sejarah UKM dan En Suhaimi seorang consultant baru bangun untuk beredar kerana katanya telahpun lama, mungkin juga untuk memberi ruang pada kami pula.

Alhamdulillah, keadaan Ustaz Wan Ismail semakin pulih dan beliau sudah boleh berjalan sekeliling bilik wadnya serta kami berbual mesra kerana banyak perkara. Baik mengenai hal isu semasa hinggalah pada kawan-kawan lama semasa belajar dahulu. Dalam rancak berbual tamu lain pula tiba iaitu Ustaz Dato' Abu Bakar Chik dari Terengganu dan kawannya. Maka semakin rancaklah perbualan kami semua dan daripada Ustaz Abu Bakar Chik juga dimaklumkan bahwa Ustaz Dato' Harun Taib juga sakit pada masa ini ekoran serangan "minor stroke" dan berehat di Hospital Kuala Terengganu. Diharapkan kesihatan beliau akan segera sembuh bagi meneruskan tugas perjuangan Islam yang tiada penghujungnya.

Tatkala jam menunjukkan pukul 3.15 petang, Ustaz Abu Bakar Chik memohon berundur kerana ada program lain dan kemudian Ust Azhar dan Ustaz Nik Abduh juga meminta diri dari Ust Wan Ismail kerana ada urusan lain. Saya yang tadinya menjemput mereka tidak payah lagi menghantar kerana ada orang lain yang sedia mengambilnya. Ust Nik Abduh ada program di Negeri Sembilan dan Ust Azhar akan pulang ke Kelantan. Tiba-tiba Ust Wan Ismail berkata pada saya , " PokKu tak usah kelik lagilah, kita berbual dulu". Saya menurut sahaja , tetapi minta untuk Solat Zuhur dulu di Surau dan beliau juga hendak solat tetapi dalam bilik wadnya sahaja.

Selepas solat, agak lama juga kami berbual sehingga jam 5.00 petang. Pada waktu itu tamu lain pula datang iaitu seorang kawan Ust Wan dan juga Haji Sayuti Omar atau MSO dan isterinya. Kami sempat lagi berborak dan saya mengusik MSO dengan berkata selama ini kami berhubung secara maya sahaja samada dalam facebook atau blog. Baru hari ini kami bersua muka dan kenal wajah masing-masing. Sdr MSO sempat juga menghulurkan akhbar Siasah keluaran terbaru syarikatnya yang banyak memaparkan isu-isu semasa.

Lebih kurang jam 5.15 petang saya meminta izin untuk beredar dan bersalam dengan Ust Wan Ismail dan beliau juga katanya ingin Solat Asar kerana lepas ini mungkin tamu datang lebih ramai lagi. Betul jangkaannya, mengikut blog MSO malam tadi, ramai lagi kawan-kawan Ust Wan datang ziarahnya termasuk YB Zulkifli Mamat, ADUN Pulai Chondong. Nasib tidak menyebelahi saya kerana tak sempat jumpa YB Zul yang juga kawan alam semasa di kampus dahulu.

Pada Ust Wan, rajin-rajinlah makan ubat dan teruslah "berpantang" seperti arahan Dr. agar cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas sebagai Wakil Rakyat seperti biasa. Mengikut beliau juga Insya Allah akhir bulan ini mungkin pihak Hospital membenarkan beliau keluar kerana keadaan kesihatannya semakin baik.

No comments:

Post a Comment