
Tahun 2009 telah melabuhkan tirainya dan tahun 2010 mengambil tempat. Dalam tahun 2009 keadaan politik Malaysia mengalami suasana yang agak panas dengan beberapa siri Pilihan Raya kecil selepas PRU 12 dulu yang menyaksikan BN mengalami kekalahan banyak kawasan walaupun masih menjadi Kerajaan di peringkat pusat. Beberapa negeri juga jatuh ke tangan pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang,Kedah dan Perak (Perak dapat dikuasai semula BN tetapai belum stabil). Manakala Kelantan kekal di bawah pentadbiran PAS.
Masyarakat Malaysia yang semakin celik politik masa kini mengharapkan politik bercorak permuafakatan untuk tahun 2010 ini. Ini kerana suasana "pertentangan" tidak akan membawa keuntungan kepada rakyat keseluruhannya. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih suram di kala ini dan hambatan-hambatan lain ekonomi dunia akan terus memalapkan lagi perkembangan ekonomi negara. Walaupun beberapa kenyataan para pemimpin dan ramalan pakar ekonomi, itu hanyalah untuk menyedapkan hari sahaja dan kebarangkalian kebenarannya masih lagi kabur.
Bagi masyarakat keseluruhannya adalah lebih baik para pemimpin politik mengurangkan "politiking" mereka tidak kiralah dari pihak kerajaan ataupun pembangkang. Carilah jalan permuafakatan tanpa merugikan mana-mana pihak, sebaliknya lebih menguntungkan rakyat. Kalau sesuatu benda itu baik, apa salahnya semua menyokong tidak kiralah pendapat itu dari pihak mana sekali pun.
Misalnya pada hari ini Pergerakan Pemuda UMNO membantah kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilo. Setiausaha Pergerakannya Megat Firdaouz Megat Junid dalam kenyataannya kepada media menyatakan kenaikan ini tidak patut berlaku kerana dibimbangi akan melibatkan kenaikan harga barangan lain yang berkaitan. Oleh itu beliau mengharapkan kerajaan membatalkannya atau menangguhkan kenaikan itu. Isu ini walaupun ditimbulkan oleh Pemuda UMNO, rasanya boleh diambut oleh Pemuda PAS, PKR, DAP dan lain-lain kerana ianya melibatkan pepentingan rakyat. Sekiranya berlaku permuafakatan dalam siu-siu seperti ini boleh menjadi satu "desakan" yang kuat kepada kerajaan untuk mengkaji balik keputusannya itu.
Begitu juga dalam kes lain dan yang mutakhir ialah isu penggunaan perkataan "Allah" oleh pihak Gereja Kristian dalam terbitan keluarannya. Permuafakatan di antara parti-parti politik dalam negara yang majoritinya beragama Islam termasuk UMNO dan PAS serta DAP boleh diadakan bagi mencari jalan penyeledaikan dan mencadangkan kepada pihak berkuasa.
Alangkah indahnya suasana politik demikian jika ianya terjadi. Ahli UMNO atau Ahli Parlimennya bebas mengkritik dan tidak menyokong usul di Parlimen jika ianya tidak menguntungkan rakyat. Sebagai contoh lain YB Tengku Razaleigh Hamzah yang diundang bagi mempengerusikan Jawatankuasa Kaukus di Parlimen berkaitan isu Royalti kepada kerajaan Kelantan, sepatutnya tidak dihalang kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat. Syabas kepada YB Tengku Razaleigh atas tindakan "beraninya" yang tidak akan menghiraukan larangan mana-mana pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri selaku Ketua Whip pihak Kerajaan, dan akan terlibat dalam Jawatankuasa itu.
Akan adakah Ahli Parlimen lain yang akan mengikuti jejak beliau, hanya masa yang akan menentukannya. Sekiranya sistem ini diikuti, diharapkan pihak yang memegang tampuk kuasa tidak akan berani membelakangkan kepentingan rakyat jelata yang membayar cukai setiap tahun. Dan kuasa rakyat akan menjadi "kuasa keramat" dalam dunia politik baru ini.
No comments:
Post a Comment