Blog Archive

Sunday, January 3, 2010

Kenaikan harga gula 20 Sen, Hadiah Tahun baru?


Bermula 1 Januari 2010, harga gula telah dinaikkan sebanyak 20 sen bagi sekilogram. Bagi orang kebanyakan kenaikan itu tidaklah begitu membebankan, tetapi dibimbangi kenaikan itu berjangkit pula pada kenaikan harga barangan berkaitan dengannya terutama sekali dalam makanan lain dan juga minuman. Kalau nak diharapkan pada peniaga untuk "menyerapkan" kenaikan ini dalam kos lain, jangan diharaplah.

Berikutan itu lahirlah ungkapan-ungkapan yang kurang enak didengar seperti "hadiah tahun baru dari kerajaan", "rakyat diutamakan, gula dinaikkan" dan pelbagai ungkapan lain yang memperlihatkan satu inovasi yang baik di kalangan masyarakat dalam menyindir pihak-pihak yang berkuasa dalam perkara ini. Cuma yang agak menghairankan pada kali ini bukan sahaja pihak yang disifatkan pro pembangkang membantahnya, tetapi juga sayap parti kerajaan sendiri iaitu Pergerakan Pemuda UMNO turut sama berkongsi pendapat mengatakan kenaikan ini tidak sepatutnya berlaku. Apakah era Pemuda UMNO pada zaman Syed Jaafar Albar dan Dato' Harun Idris telah kembali mengisi jiwa para pemuda UMNO kini?

Maka seperti biasa banyaklah pandangan-pandangan diutarakan sama ada menyokongnya dari puak kerajaan dan menentang kenaikan ini dari pihak pembangkang dan ahli masyarakat yang prihatin terhadap kenaikan ini. Namun seperti biasa pandangan pihak kerajaan agak "klise' iaitu berkenaan subsidi. Sampai bila kerajaan mahu memberi subsidi kepada harga gula ini dan alasan paling biasa ialah "harga gula dalam negara masih rendah berbanding negara lain". Alasan sebegini rasanya telah saya dengar sejak duduk di sekolah rendah lagi, dan sehingga kini alasan itu diulangi lagi buat sekiaan kalinya. Cuma pada kali ini alasan ini diberi nafas baru bersama alasan penggunaan gula berlebihan menyebabkan penyakit kencing manis. Mengikut kenyataan Perdana Menteri DS Najib di Pekan hari ini , "kerajaan membelanjakan hampir RM 1 billion setiap tahun bagi memberi subsidi gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis dalam negara adalah yang tertinggi di dunia".

Adakah ini hanya satu alasan kurang bijak bagi menjustifikasikan kenaikan harga gula itu? Ini kerana kalau alasan itu diambil kira kerana untuk mengelakkan rakyat dari mendapat sakit kencing manis, bagaimana dengan arak dan juga tembakau yang turut menyebabkan pelbagai penyakit kronik lain. Hapuskan terus arak dan kilang arak di Malaysia adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara! Hapuskan terus jualan rokok kerana ia juga banyak mendatangkan pelbagai penyakit. Malah kedua-duanya ini lebih banyak sumbangannya pada pelbagai penyakit daripada gula.

Oleh sebab itu kita rasakan alasan itu terlalu dangkal untuk diterima walaupun ianya ada asas. Banyak pihak merasakan ada faktor lain yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Dan jangan pula kita lupa bahawa taikun gula telah beralih tangan. Robert Kuok telah meninggalkan indistri gula dan digantikan dengan taikun lain pula. Apakah ini ada kaitannya?

Kalau untuk menjaga kebajikan rakyat kata seorang kawan blogger, ikut alasan ini pengeluaran kereta patut dikurangkan kerana kereta mengeluarkan gas karbon dioksid yang amat merbahaya dan boleh mendatangkan banyak penyakit! Hospital pula kena diperbanyakkan kerajaan bagi merawat pesakit bukannya diswastakan hospital dan banyak lagi yang dikatakan kawan itu. Munasabah juga alasan kawan itu. Pokok perkara katanya "bisnes" dan dalam perniagaan memerlukan keuntungan, itu sahaja katanya.

Oleh itu kita lihatlah dalam masa terdekat ini barangan apa pula yang akan dinaikkan harga atau apabila subsidi dikurangkan. Tetapi saya kira satu perkara yang tidak boleh dikurangkan penggunaannya walaupun jika ia dinaikkan harga iaiitu SIMEN kerana jika dikurangkan penggunaan simen, banyak bangunan kerajaan akan runtuh sebagaimana yang telah banyak berlaku di negeri Terengagnu itu.

No comments:

Post a Comment