
Mengikut Laporan Malaysiakini, Perdana Menteri yang juga Presiden BN dalam mesyuarat Majlis tertinggi parti itu telah menyatakan bahawa tindakan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen UMNO/BN Gua Musang memberi penjelasan isu royalti minyak pada Kelantan sedang 'diteliti'. Parti masih meneliti kandungan ucapan Ku Li, Ahli Parlimen itu yang menyertai perhimpunan di Stadium Sultan Muhamad IV di Kota Bharu semalam yang dihadiri lebih 50,000 orang.
Oleh itu PM menyatakan beliau masih belum dapat membuat keputusan 'tindakan sepatutnya' ke atas Ahli Parlimen itu. Dan menurutnya berilah masa padanya untuk mendapatkan butir-butir ucapan itu dahulu. PM juga menjelaskan tentang kepentingan mematuhi 'disiplin parti' dan ucapan Ku Li itu akan dibincang secara lanjut oleh parti sebelum membuat keputusan.
Media sebelum ini juga pernah melaporkan bahawa TPM ada menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan YBM Ku Li memberi penjelasannya berkaitan isu royalti minyak Kelantan anjuran kerajaan negeri. Dan pada malam tadi majlis itu bukan lagi dianjurkan oleh kerajaan negeri tetapi oleh NGO, GERAK (Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat).
Mungkin kerana sambutannya di luar dugaan menyebabkan ramai pemimpin UMNO yang agak "perit" untuk menerima hakikat ini yang juga menyebabkan Datuk Rais Yatim menuduh kehadiran yang ramai itu dikatakan diupah. Amat malang sekali kenyataan itu dibuat secara semberono dan jauh meleset. Mungkin kalau program UMNO ianya perlu diupah tetapi bagi program kerajaan negeri atau lebih-lebih lagi NGO bebas yang mengundang penceramah berkualiti dan mempunyai integriti dan ditambah dengan tajuk yang menarik, tettu sekali akan mendapat jumlah kehadiran yang ramai melimpah-ruah.
Berbalik pada kenyataan PM tadi, apakah ianya hanya mengacah untuk mengambil tindakan atas Ku Li itu bagai memberi amaran ataupun lebih dari itu. Saya kira kalau ada pun cadangan mana-mana pihak untuk "memecat" keahlian UMNO Ku Li semata-mata beliau berceramah di Majlis anjuran NGO itu, rasanya kurang bijak. Sanggupkah UMNO untuk memperbanyakkan lagi senarai musuhnya yang sedia banyak itu! Dan bagi kes di Kelantan, sekiranya Ku Li dipecat dari UMNO, pendek kata hasrat UMNO untuk menawan Kelantan dari PAS akan musnah sama sekali.
Dan bagi Ku Li, seperti kenyataannya dia tidak pedulikan sesiapa, kerana apa yang dibuatnya itu untuk kepentingan rakyat serta supaya rakyat tahu sebenarnya-benarnya fakta dalam Perjanjian PETRONAS dengan kerajaan Kelantan, bukannya auta yang sering diperkatakan kononnya di luar perairan atau kawasan pertindihan dan sebagainya. Sebenarnya mereka yang bercakap merewang-rewang itu sendiripun belum lagi memijakkan kaki ke pelantar minyak dan meninjau sendiri seperti mana dibuat kerajaan Kelantan dengan membawa rombongan para Juru ukur, Ahli Akademik dan juga media massa sedikit masa dahulu.
No comments:
Post a Comment