

Suatu perkara yang agak menyedihkan telah berlaku pada 11 Januari lalu iaitu "kapak terbang" telah memecahkan cermin kereta seorang blogger kickdafella di rumahnya di Kampung Demit, Kota Bharu, Kelantan. Walau dalam keadaan apa sekalipun dan atas sebab apapun seorang yang waras fikirannya tidak akan bersetuju dengan cara ugutan tersebut gara-gara laporan dan pendedahan penulis blog tersebut. Di sini bukanlah bermakna saya bersetuju dengan penulis itu tetapi cara yang "kuno" telah dikembalikan semula dalam suasana kegawatan politik di Kelantan itu yang saya tidak setuju sama sekali.
Kalaupun tidak bersetuju atau marah dengan pendedahan demi pendedahan oleh penulis itu, lawanlah secara penulisan juga (hendaknya jangan ada pula yang melarang sepertimana seorang YB Kelantan sebelum ini menyatakan tidak manis pendedahan seorang bloger serisuri dalam tulisannya) ataupun berjumpalah dan berbincang secara berdepan dengan lapang dada, bukannya ugutan fizikal. Cara "kuno" ugutan fizikal itu telah lama berlalu dalam politik Kelantan. Seingat saya lewat tahun 1960an dahulu iaitu semasa zaman Pemuda Tahan Lasak dan seorang YB PAS, Abdul Samad Gol Mianji, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu, telah "terkorban" ekoran serangan "kapak terbang".
Saya teringat pada bulan Disember lalu ada terbaca dalam blog penulis sama iaitu kickdafella tentang YB Abdul Samad Gol Mianji tersebut. Apakah "badi" Abdul Samad Golitu telah "terkena batang hidung" kickdafella pula? atau hanya secara kebetulan sahaja! Dan kebetulan juga mereka baka yang sama iaitu "bagha" kata orang Kelantan iaitu baka Tok Sheikh.
Saya rasa adalah elok jika pihak kerajaan Negeri menerusi EXCOnya seperi Datuk Husam Musa yang dikatakan mempunyai pengaruh ke atas penulis blog memanggil pertemuan antara penulis blog di Kelantan dan juga aktivis parti PAS bagi menjernihkan suasana. Panggillah semua penulis blog dan juga media lain untuk berdialog dari hati ke hati;jemput semua penulis sama ada yang pro pada tokoh tertentu atau yang kontra supaya satu suasana yang harmoni dapat diwujudkan.
Panggillah juga Abang Ramli Abdul Halim atau dikenali blognya "Kapak Jangak" yang saya percaya "kapak"nya itu tidak ada kena mengena dengan insiden di atas. Beliau juga yang sebelum ini pernah bertugas dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dan banyak menerbitkan bulletin Urusetia itu. (Kini beliau agak kontra dengan kerajaan negeri dalam penulisannya) Usaha ini patut disegerakan bagi mengharmonikan semula keadaan semasa politik pentadbiran kelantan, agar penulis blog tidak disifatkan "celaka" secara borong begitu sahaja. Hak dan kebebasan menulis adalah terjamin selagi mana ianya tidak disalahgunakan dengan fitnah atau pembohongan tanpa bukti dan fakta. Sekiranya mempunyai fakta yang jelas dan nyata, anggaplahianya sebagai satu teguran dan terima lah dengan hati terbuka dan berusaha bagi mengelakkan perkara salah yang ditegur itu berulang pada masa akan datang.
Sekiranya usaha mempertemukan semua penulis blog terutamanya di Kelantan (dan juga yang banyak menulis mengenai Kelantan) dengan para aktivis PAS yang juga banyak yang menulis dalam blog masing-masing, saya percaya satu "keharmonian" dapat diwujudkan dan masa serta tenaga dapat ditumpukan pada usaha-usaha lain yang lebih aula seperti memperjuangkan royalti petrolium dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment