
Isu penggunaan nama Allah dalam terbitan Gereja Katolik, Herald yang mana Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu memberikan kebenaran telah mengundang kemarahan umat Islam di Malaysia. Rata-rata masyarakat Islam di seluruh negara telah bangkit menentang keputusan Mahkamah itu sama ada menerusi penulisan ataupun mengadakan demonstrasi aman.
Isu ini agak sensitif bagi kebanyakan umat Islam di negara ini. Dalam penghakimannya Hakim Datuk Lau Bee Lan telah menyatakan "mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian". Dalam erti kata lain orang bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah bagi tujuan pengajaran agama mereka, walaupun ia menjadi kesalahan kalau untuk mendakyahkan penganut agama Islam.
Berikutan itu timbul pelbagai pandangan dari pihak NGOs dan juga masyarakat serta parti-parti politik. Rata-rata tidak bersetuju dengan kebenaran oleh Mahkamah itu. Pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah itu dan telah pun difailkan pada hari ini. Para ulama juga telah bangkit menentang keputusan ini termasuk Persatuan Ulama Malaysia dan lain-lain.
Saya kira sekiranya isu ini muncul di India atau Pakistan telah lama berlaku rusuhan dan serangan ke atas Gereja ataupun para penganut Katolik yang cuba menguji tahap kesabaran umat Islam itu. Namun di negara ini masyarakat Islamnya masih lagi berlembut dan menyuarakan bantahan secara aman sahaja di samping mengharapkan pihak kerajaan mengatasinya. Dan apakah ini menjadi satu wadah bagi pihak pemerintah untuk meraih popularitinya yang semakin merosot itu.
Dalam banyak pandangan saya tertarik dengan pandangan Tok Guru Menteri Besar Kelantan dan juga Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin bekas Mufti Perlis. Pandangan mereka berdua ini agak sama yang mana menurut mereka, pada dasarnya penganut agama Samawi tidak salah menggunakan perkataan Allah tetapi perlu diperincikan garis panduannya bagi mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam di Malaysia. Lebih-lebih lagi pihak Gereja Kristian akhir-akhir ini semakin menampakkan usaha "dakwah"(sebenarnya dakyah) bagi menarik penganut Islam kepada agama Kristian. Perkara ini pernah heboh suatu masa dahulu dengan pendedahan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Mana mungkin nama Allah yang difahami oleh umat Islam itu sama dengan konsep triniti dalam agama Kristian. Dalam Islam Allah itu Esa, Tidak Beranak dan Tidak diperanakkan. Sedangkan dalam Kristian ada konsep 3 dalam satu (triniti), anak Tuhan dan sebagainya. Maka sebab itulah ianya sama sekali tidak ada persamaan dengan konsep ketuhanan dalam Kristian yang selama ini menyebut "God" bagi merujuk pada Tuhannya. Mengapa tiba-tiba pula ingin mnegambil nama Allah kalau bukan tujuannya yang ada "udang di sebalik batu".
Pada penulis permuafakatan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan kesucian agama Islam ini perlu sekali. Musuh-musuh Islam tidak akan berani menguji tahap kesabaran kita sekiranya semua umat Islam bersatu hati dalam perkara ini. Cuma apa yang diharapkan ialah semua usaha-usaha ini dilakukan dengan ikhlas dan tujuannya nyata bagi mempertahankan aqidah dan kebenaran, bukannya mencari populariti dan sokongan.
Mungkin sebab itulah ada pihak-pihak yang agak berhat-hati dalam mengutarakan pandangannya kerana dibimbangi diputarbelitkan. Namun jika kita ikhlas Alalh akan menunjukkan jalan kebenarannya. Pihak Berita TV3 dalam Berita Perdananya malam ini telah membetulkan kesilapannya berkenaan kenyataan Menteri Besar Kelantan dalam isu ini. Ini kerana pada malam semalam ianya memberikan penekanan pada aspek tertentu, sedsngkan Menteri Besar Kelantan menyatakannya dalam konteks yang lebih luas lagi seperti mana yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Ini menampakkan Utusan Malaysia pada kali ini telah memberikan liputan yang profesiaonal berkenaan pandangan Tok Guru Nik Aziz itu.
Sekiranya kita bersungguh-sungguh mempertahankan nama "Allah" itu pada kali ini, hendaknya jangan pula ada pada waktu yang lain kita memperlihatkan kebodohan diri sendiri apabila "tidak mempertahankan hukum Allah" sama ada hukum Allah itu seperti dalam soal judi, zina, minum arak, hudud dan sebagainya. Mana perginya ketegasan kita mempertahakan nama Allah itu, jika kita tidak pula menyokong hukum-hukum Allah.
Semoga permuafakatan pada kali ini membuahkan satu fikrah yang sama dalam menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment