
Pada petang tadi saya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu untuk ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Air Asia jam 3 petang. Orang ramai mula berkumpul di pekarangan Lapangan Terbang untuk menyambut keberangkatan pulang YMM Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dari Kuala Lumpur. Pada masa saya tiba itu suasana masih kurang sibuk lagi tetapi kawalan keselamatan telah bermula yang diketuai oleh Ketua Polis Kelantan sendiri.
Beberapa spanduk kelihatan termasuk yang mewakili dari pelbagai pihak termasuk spanduk dari Masyarakat Cina, India, Siam serta NGOs dan sebagainya. Penyokong PAS dan UMNO juga ramai yang datang menyambut baginda dengan membawa spanduk menyatakan Taat Setia kepada baginda selaku Pemangku Raja Kelantan.
Malangnya saya tidak sempat untuk bersama dalam suasana tersebut dan mengambil gambar-gambar detik bersejarah itu kerana sebaik Pesawat Khas yang membawa baginda mendarat, pesawat Air Asia yang kami naiki pula berlepas ke Kuala Lumpur.
Saya difahamkan dari laporan Harakah Daily serta blogger, di antara VIP yang menyambut ketibaan baginda termasuklah Menteri Besar Dato' Nik Abd. Aziz Nik Mat,Dato' Ahmad Yaakob, TMB, Speaker DUN Ust Nasaruddin Daud, Para EXCO Negeri, Wakil-Wakil Rakyat dan juga Para Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Turut sama ialah Datuk Abdul Halim,Pengelola Istana serta pegawai kanan Istana. Masyarakat pelbagai lapisan termasuk alim ulama serta para pelajar pondok yang berjubah putih turut sama menyambut baginda dan dianggarkan sekitar 5,000 orang.
Tengku Muhammad Faris Petra begitu terharu dengan sambutan rakyat jelata tersebut dan pada wajah baginda kelihatan menitis air mata di atas sokongan dan sambutan rakyat jelata tersebut. Sebelum berangkat pulang ke Istana baginda bersama rakyat jelata mengamin doa yang dibacakan oleh Timbalan Mufti Kelantan, dan sebelum menaiki kenderaan , baginda sempat menyatakan " Terima kasih kerana sudi datang" kepada rakyat jelata.
Apa yang mahu dipaparkan di sini ialah semangat permuafakatan semua lapisan rakyat jelata tanpa mengira fahaman politik untuk menyambut keberangkatan pulang ke Kota Bharu YMM Pemangku Raja tersebut. Jelas baginda dihormati dan disayangi segenap lapisan masyarakat rakyatKelantan baik kalangan masyarakat Melayu, Cina ,India serta masyarakat Siam.
Pada malam ini majlis Solat Hajat akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV yang juga akan dihadiri oleh Pemangku Raja yang bertujuan untuk memohon kepada Allah supaya mengembalikan kesihatan DYMM Al-Sultan yang kini gering serta memohon kesejahteraan dan keamanan negeri Kelantan. Semua lapisan rakyat dijemput hadir.
No comments:
Post a Comment